2.2 Ada Apa Pada Nama?
Bab 2.2: Ada Apa Pada Nama?
![]() |
| Menjadi pelabuhan lebih mulia daripada menjadi pantai kosong. |
“Nak lepak kat studio seni lepas kelas nanti?” sapa Arni, dagu bersandar malas di atas lengan yang berlipat. Suaranya membawa rehat kepada hari yang penat.
“Cikgu Fairuz tak ada. So technically… It's free for us.”
“Great.” Andrey senyum tanda setuju sambil tunduk menyimpan buku ke dalam beg.
Studio seni petang itu sunyi seperti biara terbiar. Mereka duduk bersila di atas lantai kayu, masing-masing dengan pensel dan kertas. Tidak mendesak bicara. Andrey melukis, sementara Arni duduk bersila di sisi. Mata pensel digenggaman tak mencecah kertas, sama seperti matanya yang leka memerhati Andrey melakar.
“Aku tahu kau bukan macam orang lain…” suara Arni muncul macam desah angin yang menyentuh leher.
Andrey menoleh, sedikit terkejut. Arni tak senyum, tak juga ragu. Wajahnya tenang, setenang dia menyimpan kata-kata itu, sekian lama.
“Bukan perempuan… bukan lelaki tapi tak juga macam yang orang kenal.” Dia tersenyum, memperdengarkan teka-tekinya kemudian menyambung, “but I see you and I like what I see.”
Andrey diam. Tangannya masih memegang pensel. Lakaran terhenti di daun maple yang koyak. Dia menutup sketchbook, lalu bangun menyimpan buku itu dalam beg.
“Lebih baik ada satu telinga yang mendengar daripada sejuta yang tersumbat.” Katanya, sambil meletakakan kanvas atas easel.
Arni ketawa, turut bangun dan menyediakan peralatan melukis. Teruja sebenarnya. Setiap kali Andrey buka mulut, hatinya tak sabar nak dengar lagi. Itu yang buat dia selesa dan entah mengapa itu juga buat dia rasa istimewa.
“Aku pun nampak kau. Betul-betul.” Sambung Andrey. Dia perasan, Arni selalu dikelilingi ramai, tapi tak pernah terasa ditemani. Wajahnya sering dipuji, kehadirannya dicari. Tapi semuanya datang macam senja.
“Kau tak gunakan aku atas nama kawan...” Wajah Arni berubah, sedikit suram. Matanya memandang dinding studio seni yang dipenuhi lukisan-lukisan penuh makna. “Kalau aku ni salah satu lukisan kat dinding tu, kaulah pelukisnya.”
Andrey tunduk bersama satu perasaan halus mengetuk dada. Sejenak ingatannya dilambai wajah manis Kak Zu. Ini bukan kali pertama seseorang memahaminya. Tapi kali ini berbeza; Arni menyuarakan kefahaman itu dengan keberanian. Dengan pengertian yang ingin mendekat lebih rapat.
“Arni…” Andrey bersuara perlahan. “Kau tak takut?”
“Tak,” balasnya ringkas, tanpa perlu mimpi soalan diperjelaskan. “Apa yang patut aku takut? Nak jadi diri sendiri? Itu bukan dosa. Kalau orang lain takut, itu cerita diorang. Bukan kita.”
Studio TBC sunyi, kecuali desiran halus dari sistem penghawa dingin yang cuba melawan panasnya hari. Sinar matahari petang malu-malu, menjenguk masuk dari jendela separa tertutup, mencermin debu yang menari-nari di udara.
Di tengah-tengah keheningan yang dipenuhi bau cat linseed dan terpentin, Andrey dan Arni berdiri di depan easel masing-masing seperti dua patung yang tenggelam dalam dunia warna. Mereka tidak berbicara; tak perlu. Perbualan diganti geseran berus atas kanvas. Satu-satunya bahasa adalah gabungan warna yang bercampur di palet.
Di ruang sunyi ini, mereka adalah dua jiwa yang berasingan, tetapi diikat oleh satu nafas yang sama: nafas penciptaan. Momen itu adalah milik mereka. Sebelum seseorang datang dan memecahkannya.
Pintu dikuak. Sepasang kaki melangkah masuk dengan gaya yakin. Zikri. Pelajar tingkatan lima, jaguh hoki TBC. Terkenal dengan ikon senyuman ‘abang-abangnya’, perfume yang kuat, dan kata-kata yang jarang bertapis.
“Weh... lawa lukisan kau.” Berdiri di belakang Andrey, dia menegur. Entah pujian, entah gurauan berlapis.
“Kalau kau lembut sikit, try pakai tudung ke… confirm cun gila. Muka dah ada. Sayanglah...”
Andrey diam. Senyum nipis. Berus di tangan masih bergerak.
“Serius lah. Kau ada potential, tau. Bukan selalu jumpa yang rare macam kau ni. Si Arni ni, gaya je lebih pegang berus tapi lukis ayam jadi katak.” Sindir Zikri, diikuti ketawa sendiri. Dia menjeling sekilas ke arah Arni yang memalingkan muka, menunjukkan rasa meluat.
“Kalau kau tweak sikit, kalah si Arni ni... TBC pun boleh meletup.”
Arni berhenti melukis, tajam memandang Zikri dengan mata tak berkedip.
“Relaks la anak pengetua. Aku bergurau je. TBC ni kaulah ratunya. Mana ada awek lain boleh challenge.” Zikri masih lagi dengan senyuman dan gelak kecil dihujung suara.
“Tak siapa mintak pendapat kau kat sini.” Balas Arni, agak kasar.
Zikri tergelak. “Chill la Arni. Nak kawan pun kena marah. Aku blah dulu.”
Dia melangkah keluar, santai, meninggalkan kesan kata-katanya, berputar dalam udara di ruang itu.
Andrey tak cakap apa-apa. Tangannya tertumpu pada kanvas. Fikiran terlayang bersama lukisan helang yang terbang ke syurga.
“Thanks…” Ucapnya perlahan, hampir tak kedengaran.
“Si Zikri tu… mulut kalah makcik bawang, otak tumpul. Poyo!”
Rungutan Arni disambut ketawa kecil. “Biarlah dia...”
Arni mengeluh lalu mendekati Andrey.
“Jangan ucap terima kasih.” Kata sambil menyentuh bahu Andrey. “Tak payah jadi orang lain. Itu pun dah cukup cantik.” Arni menyelak rambut Andrey yang sedikit terjuntai menutup mata.
Tanpa disangka, Zikri muncul semula. Senyumnya sinis, dan suaranya cukup kuat. Cukup menyakitkan hati.
“Padanlah cover line baik punya… rupanya ada special menu.”
Pintu studio ditutup.
Ketawa Zikri makin mengecil dan akhirnya tenggelam bersama langkah yang menjauh.
“Shit!” Arni berpaling.
“It's OK. Dont worry too much.”Andrey cuba menenangkan, walaupun retak halus takungan rasa dalam dadanya semakin pecah.
Langit masih membiru dan angin masih sama. Hari-hari berikutnya di TBC tak ada berbeza. Namun suara-suara manusia kini menjadi bayang yang mengekori setiap langkah.
Gosip bukan lagi sekadar cakap-cakap biasa. Zikri telah jadi saksi dan bukti yang mengesahkan segalanya. Di mata orang, Arni dan Andrey bukan sekadar kawan rapat. Mereka adalah pasangan kekasih; tanpa ikrar, tanpa sentuhan. Dunia sendiri beri label dan ia melekat.
Selepas makan tengah hari, mereka duduk di atas bangku konkrit berhampiran sebuah blok lama. Andrey di sebelah, bersandar di dinding.
“Hal aritu dah sahkan apa yang orang tunggu-tunggu.”
“Zikri, si speaker rosak tu... kenapa dia tak puas hati sangat kat kita?” Arni ketap bibir. Geram.
Andrey diam. Dia beri ruang kepada Arni untuk bersuara.
“Bila orang ulang-ulang cerita... kita pun mula tanya diri sendiri, kan? Mungkin... kita sayang lebih dari sekadar kawan?”
Andrey angkat muka. Pandang mata Arni. “Apa maksud kau... sayang lebih dari kawan? Kau sayang aku ke?”
Arni tertawa. Agak kuat. Dia menggeleng kecil. Membalas pandangan mata Andey. Tepat. Tulus.
“Kau sayang aku tak?” Arni berteka-teki. Pertanyaan itu memecah ketawa dari dada Andrey.
“Sayang… more than all drama cinta kat TV yang kau tengok.” Jawab Andrey dalam nada gurauan sambil menyelitkan satu kebenaran.
Pipi Arni merah sedikit. Mungkin teruja, mungkin juga malu tapi yang pasti jawapan Andrey buat dia rasa lega.
“Aku tak tahu apa nama hubungan kita, ni. Yang aku tahu, aku tak nak hilang kau.” Arni genggam jari Andrey. Tak erat. Tapi cukup kuat buat memegang makna.
“Mungkin kita bukan couple. Kita sesuatu yang lebih penting dari tu... entah... mungkin...”
Dan di situ, di bawah langit yang sama, mereka biarkan rasa menamakan mereka. Apa saja.
𝄞
Tuan Omar Mustapha tahu, anaknya kini jadi buah mulut pelajar, malah gosipnya hangat sampai ke bilik guru.
“Dia anak saya, betul. But don’t assume I’m just going to brush this off.”
Begitulah jawapan yang diberikan bila guru disiplin dan guru Hal Ehwal Pelajar mempersoalkan isu itu secara peribadi.
Arni pun tahu bapanya tak boleh biarkan cerita tu terus berlegar. Sebagai pengetua, dia perlu jaga reputasi dan kredibiliti. Kalau tak, orang akan anggap dia pilih kasih.
“Lepas rehat nanti aku kena jumpa si Omar,” Arni mengadu pada Andrey tentang surat yang diterimanya pagi tadi.
“Semua ni angkara mulut Zikri. Pandai betul tambah perisa. Makin hari makin rancak dia membawang pasal kita.”
Andrey cuma tersengih dengar ngomelan Arni. Walaupun dalam hati dia risau kalau-kalau dia juga akan dipanggil, entah kenapa, bila tengok wajah Arni waktu itu… hatinya rasa tenang.
“Ahh… tak minat aku. Kalau kau lainlah…”
Arni mengenyit mata sebelum berlalu, meninggalkan Andrey terpinga-pinga dengan mainan rasa.
𝄢
Pintu bilik pengetua diketuk dua kali.
“Masuk,” suara itu tegas, datar. Arni melangkah masuk. Tak ada debar tapi dia tahu, di sekolah, dia bukan anak. Dia pelajar. Dan lelaki yang sedang duduk di belakang meja itu, bukan ayah. Itu Pengetua Tuan Omar Mustapha.
“Duduk.”
Arni menurut. Tangannya di atas riba, jari saling menggenggam.
“Saya panggil bukan sebab saya nak menghukum. Tapi sebab saya perlu faham.”
Encik Omar membuka fail, memandang anak daranya acuh tak acuh.
“Ada suara-suara pasal kamu dan pelajar baru tu — Andrey. Saya tak nak dengar dari orang. Saya nak dengar dari kamu sendiri.”
Arni angkat wajah. Matanya jernih.
“Hmm... Mulut orang, kalau baik pun salah, kalau salah lagi salah. Salah ke saya rapat dengan orang yang buat saya rasa tenang dan dihargai?”
Encik Omar menancapkan matanya ke muka Arni. Pandangan lembut seorang bapa, renungan tegas seorang guru. Dia mengerti. Lebih dari itu, dia kenal anaknya.
“Baik. Kalau kamu yakin, jaga maruah. Jaga batas. Kawan yang baik tak pernah minta kita berubah untuk diterima. Dan seorang pelajar yang matang tahu bila untuk diam… bila untuk berdiri.”
Arni dibenarkan pergi. Dalam hati seorang ayah, Encik Omar mengerti ketulusan anaknya dan dia juga tahu bahawa Andrey bukan satu ancaman.
Sebaik meninggalkan bilik pengetua, segera Arni temui Andrey di tempat biasa mereka — belakang bangunan bilik seni.
“Macam mana?” tanya Andrey, suara hampir berbisik. Debar dihatinya makin kuat. Bimbang jika perkara tersebut menyusahkan Arni.
“Rileks lah…” Dia ketawa. “Bapak aku kot si Omar tu.” Ketawa masih menghias wajah manis Arni. Dia senang melihat riak wajah Andrey yang kalut, naif tapi cute.
“Dia tak marahlah. Nak tau je. Biasalah, responsibility, kan?” Arni senyum sedikit. “Kat sekolah, dia pengetua dulu, ayah kemudian.”
Andrey tunduk, helaan nafasnya perlahan. Gelombang di dadanya mereda. “Aku risau. Kalau aku bebankan kau…”
“Beban? Merepek! Kau…” Tangan Andrey Arni pegang. Erat, seerat matanya menancap mata Andrey. “Kau satu-satunya makhluk kat sekolah ni yang buat aku rasa aku masih aku.”
𝄢
Zikri mengesat peluh di dahi selepas latihan hoki. Kawannya, Danial, menyerah botol air lalu Zikri menghirupnya rakus. Muka di kesat dengan tuala yang sama.
“Kau rasa salah ke apa aku cakap tu hari tu?” Entah mengapa soalan itu tiba-tiba terpancul.
“Hal Andrey dengan Arni tu lah.”
Danial gelak. “Macam tak biasa, bro. Kau tu mulut macam longkang kadang-kadang macam makcik bawang.”
“Aku usik je. Tapi… entah. Bila aku tengok muka dia lepas tu, rasa macam... aku dah terlebih. Tapi aku bukan nak hina. Aku…” Zikri berhenti di situ.
“Dia cantik. Tapi bukan macam yang aku faham. Tu yang buat aku tak tahu nak letak dia kat mana.”
Danial ketawa dan menggeleng, “Kalau suka cakap je terus terang, yang kau membawang hal orang kenapa? Bodoh betul!”
Zikri campak tuala pengapnya ke muka Daniel.
“Tak payah faham. Cukup kau tau bila nak diam.”
Dan Zikri terdiam.
𝄞
Dalam bilik guru Hal Ehwal Pelajar, Cikgu Omar berbual santai dengan Cikgu Khairul.
“Macam mana masalah Arni - Andrey tu, cikgu? Perlu ke kita bagi bagi kaunseling?”
Cikgu Omar angguk perlahan.
“Saya faham, Arni anak cikgu tapi bila jadi bualan sekolah...”
Cikgu Khairul senyum tipis. “Maaf, cikgu Omar. Jangan salah faham. Saya cuma…”
“Bimbang.” Pengetua itu sambung ayat itu dengan nada penuh memahami.
Dia tutup fail di tangan, berdiri perlahan. “Tapi kalau kita tak boleh beri ruang untuk mereka jadi diri sendiri, kita sendiri belum cukup layak untuk digelar pendidik.”
Dan kata-kata itu bukan sekadar nasihat. Ia seperti pintu yang dibuka... supaya angin lebih segar masuk.

Your thoughts mean so much and help me improve my writing. If you enjoyed the post, I’d love to hear more from you— your ideas make this space more engaging for everyone. Thank you for commenting. Let’s keep the conversation going!