Memuatkan resonansi…

8. Zephyr


Bab 8.0: Zephyr

Bila sesuatu datang dari nurani, itu bukan satu gurauan. 
𝄞
“Aku tak balik minggu ni.”

Andy, saudara kembar yang serupa tapi tak sama, memberitahu dalam panggilan ringkas. Suaranya tenggelam timbul, mungkin sibuk di perpustakaan kolej. Program IB yang dia jalani jauh di Selatan menelan hampir seluruh waktu dan tenaganya.

“Cukup bulan aku balik. Busy. Banyak kertas nak siapkan. Kau camne? OK ke?”
“Motor aku masuk bengkel.”
“Apahal? Accident?”
“Ha’ah. Kena langgar singa gunung.”

Andy dah agak.Dia ketawa kecil, sedia nak dengar episod seterusnya, cerita rusa bergurau dengan singa gunung.

“Cikgu tu lagi? What’s her name again? Lina?”
“R, Andy. R… berapa kali aku nak ulang. R.I.N.A.”
“Haha… OK… OK, R.I.N.A. aku hafal sampai mati. Tu la kau, suka sangat carik pasal. Tapi serius weh, nasib baik dia tak report. Kau patut bersyukur.”

Andrey mengeluh perlahan. “Kau tak kenal dia. Dia... lain.”

“Ahhh... Dua-dua degil. Tapi ingat weh, cikgu tetap cikgu. Hormat tu bukan pasal suka ke tak suka. Itu prinsip.”

Kata-kata Adrian bagai gema yang tak padam. Bila panggilan tamat, Andrey baring diam. Merenung siling. Angin malam berpuput perlahan dari pintu balkoni yang dibiarkan terbuka. 

Dia bangkit. Berdiri di ambang pintu, lalu keluar ke balkoni, memandang ke langit. Bintang bertabur, bulan sabit tersenyum senget. Di wajah bulan itu, dia nampak bayang... Sophia.

Ah, gadis itu.
Lembut angin pun kalah bila dia melangkah. Dan di malam sunyi begini, wajahnya menjelma di sebalik bulan sabit, bersama angin — belum ada memori, tapi rindu mula hidup.

Andrey senyum seorang diri, membayangkan Sophia membonceng di belakang dan dia bawa motor laju-laju semata-mata mahu gadis itu peluk dia kuat-kuat. 

Aneh, kan? Angan-angan kadang lebih nyata dari kenyataan. 
Dan dalam dunia Andrey, angan-angan itu satu bentuk ibadah. 
Doa dalam bahasa getaran. Tak perlu dilafaz.

Jam hampir dua belas. Dia masuk semula ke kamar. Buku ekonomi yang terbuka dibiarkan tertutup tanpa sebarang rasa bersalah. Biarlah. Hati dia tak mahu menyentuh apa pun yang berkait dengan Rina malam ni.

Sebaliknya, matanya tertarik pada buku biologi.
Dan tiba-tiba radio kecil di meja mula memainkan lagu Jerat nyanyian Harvey Malaihollo. Lagu itu datang macam sihir, menyelak satu bab dalam hidupnya yang tak pernah dia tutup.

Beberapa bulan yang lalu. Kafeteria. Petang yang basah. Hujan hari itu... lain macam lebatnya. Lain macam juga suaranya. Turun lembut seperti kesedihan yang minta dipeluk.

Duduk di sudut paling belakang kafeteria, Andrey bersendirian, seperti selalu. Ditemani kopi yang dah sejuk, dan sandwich yang belum pun disentuh. Tekak tak haus. Perut terasa penuh. Tapi jiwanya kehausan, laparkan sesuatu yang lebih hidup daripada kopi dan sandwich.

Di luar, titis-titis hujan jatuh dari langit seperti pesan-pesan yang tak sempat difahami. Dan saat itu… dia muncul.

Bayangan pertama. Seorang perempuan. Berpakaian gelap, tubuhnya kemas dibalut blazer hitam, sepadan dengan skirt yang dikenakan. Blouse ungu lembut di dalam. Rambut ikalnya basah sedikit, berpintal ke bahu. Gadis itu berdiri dekat tingkap.

Andrey terpukau. Tak pernah dia lihat seseorang yang kelihatan begitu sunyi, dan begitu cantik dalam kesunyian itu.

Dia tak tahu siapa gadis itu. Yang pasti, dia tahu, denyut di dadanya mula bergetar, berlari laju daripada biasa.

Pancaran kilat diikuti guruh kuat telah memeranjatkan gadis tersebut lalu dia beranjak ke belakang, menjauhi tingkap. Matanya mencari-cari tempat kosong sebelum pandangannya jatuh ke wajah Andrey. Mata mereka bertembung. Antara sedar dengan tidak, gadis itu dah pun berdiri depan mata.

“Kosong? May I?”

Suara itu — Tuhan, suara itu. 
Macam angin dari gunung yang turun semata-mata untuk menyapa daun jendela sebuah pondok di lembah sunyi. 
Macam nyanyian malaikat pelindung yang hinggap di hujung malam.

“Sure,” jawab Andrey, gugup, hampir tercekik kata. Dia mengalihkan beg yang duduk di kerusi sebelah, membuka ruang seperti mahu membuka hidupnya sekali.

Gadis itu duduk, menanggalkan blazer perlahan-lahan.
Ada bau. Lapisan harum yang bertindih — melati, mawar, atau mungkin lavender yang bersembunyi dalam kelembapan hujan.

Andrey menarik nafas, perlahan. Dia kenal bau itu. Pernah menghidunya.
Dia menarik nafas sekali lagi — lebih dalam kali ini. Seolah-olah jiwanya sedang cuba mengingati sesuatu yang pernah dikenal.
Hari pendaftaran. Ye, dia ingat benar. Bau itu pernah dia hidu di pejabat kolej sewaktu mendaftar diri dulu.

“Saya Sophia.”

Nama itu gugur dalam hati Andrey seperti kelopak teratai jatuh ke permukaan kolam.
Sunyi. Tanpa bunyi.
Namun lingkarannya melebar perlahan — menyentuh tebing jiwa yang tak pernah disentuh sebelum ini.

Sophia menghulurkan tangan.

Salam disambut. 
Dan sewaktu jemari mereka bertaut, satu arus menjalar hangat. Seperti guruh yang sedang mengejar kilat.
Tak membakar.
Hanya membelai.

“Andrey.”

Mereka saling memandang. Lama.
Mata Sophia… bukan sekadar mata. Ia seperti jendela ke satu tempat yang Andrey tak pernah kunjungi. Tapi kini dia tahu, dia mahu sampai ke situ.

“Cikgu Sophia?”
“Ya. Form berapa?”

“A’ Level candidate. AS.”

Sophia senyum kecil. “Ambil Biologi… kelas Cikgu Lee?”

Andrey mengangguk, kemudian menambah perlahan, “tapi cikgu Lee dah nak pindah…”

“I know.” Sophia masih tersenyum. “Saya gantikan dia.”

Jawapan itu jatuh tepat ke dada Andrey.

Dia tak mampu menyusun kata. Senyum saja yang keluar — senyum yang kaku, terkejut, dan terlalu jujur untuk disorok. Dalam dadanya, rasa-rasa bercampur bertindih: malu, kagum, terpukau. 
Ada sesuatu telah disentuh tanpa izin, tapi tak ingin dia tarik balik.

“Kopi?” Andrey bersuara akhirnya, cuba mengisi ruang sunyi yang tiba-tiba terasa rapat. “Atau… sandwich? Tuna? Chicken?”
Nada itu cuba santai, tapi hatinya berharap momen itu boleh dipanjangkan sedikit lagi.

“Surprise me.”

Di celah nyanyian hujan dan lagu yang berputar dari jukebox, senyuman Sophia meninggalkan kesan. Andrey sedar sesuatu sedang berlaku dalam dirinya.

Dia sedang jatuh.
Bukan jatuh dari atas ke bawah,
tapi dari luar ke dalam —
ke dalam perangkap.
Perangkap cinta pertama.
Perangkap yang terlalu indah
dan dia tak mahu diselamatkan.
𝄞

Nyaman angin pagi meniupkan getar hangat ke seluruh tubuh. Motor belum siap, jadi Andrey reda berjalan kaki ke perhentian bas.

Kawasan perumahan redup, dikelilingi pohon rendang yang bergoyang lembut, bagai mendoakan tiap langkahnya. Burung-burung berkicauan, mencipta simfoni pagi — menyatukan tubuh dengan tanah, jiwa dengan langit.

Dia menghirup udara pagi yang segar. Ada rasa syukur yang sukar diterjemahkan.
Syukur kerana masih dapat mendengar suara alam.
Masih dapat melihat warna bumi.
Masih dapat berjalan, kuat dan gagah.

Semua itu hikmah dalam nikmat.
Bila berjalan kaki, setiap daun sempat kau sapa. Kalau naik kereta — laju, cepat. Tapi yang terlepas pun banyak.

Dia mengajak otak dan hati berbual.
Sejurus itu, sebuah kereta berhenti di sisinya. Tingkap diturunkan.

“Ada kereta pun nak jalan kaki…” Anis, si bongsu, menjenguk.
“Kenapa? Jomlah naik…” Amanda memujuk.

Uncle Black pula mengusik dari kerusi pemandu. “Agaknya ada mambang jemput dia. Tu yang semangat sangat nak jalan kaki.”

Andrey tersenyum. “Tak apa, uncle. Saja nak exercise sikit.”

“I know your secret,” kata Amanda sambil menjeling, sebelum menaikkan tingkap. Kereta pun berlalu, meninggalkan Andrey dalam damai pilihannya.

Rahsia.
Setiap kejadian ada rahsianya.

Dia mendongak ke langit luas, akur pada kitab Tuhan yang sedang dia baca tanpa huruf.
Bersama kabut pagi, udara yang dihela dari paru-paru bersatu dengan nafas alam. Penyatuan itu memunculkan keinsafan.

Berjalan kaki begini juga satu keinsafan dan pagi ini, dia menyaksikannya lagi:
setiap langkah adalah sebutir daripada biji tasbih,
dan tiap hela nafas adalah zikir tanpa perlukan bahasa.

Tiba di perhentian bas, dia duduk. Rokok dinyalakan. Mata sayu memandang jalan. Fikirannya, seperti biasa, hanyut ke satu wajah yang selalu memunculkan bintang-bintang di langit jiwanya — cikgu Sophia.

Rindu pada engkau macam asap rokok ni, Sophia…
tak disuruh pun dia naik, walau aku hembus berkali-kali.

Bayangan Cikgu Sophia membuat hati Andrey melonjak. Dia tersenyum sendiri, membayangkan alasan untuk mencuri masa di bilik makmal nanti.

Konon nak bincang biologi — alasan paling kukuh untuk mencuri masa berdua.
Sambil menyelam, apa salahnya minum air. Jangan sampai kembung, sudah.
Padahal, hati sedang menyemai benih.

Dia tersengih sendirian. Dan ketika itulah, kereta cikgu Rina melintas lalu berhenti di hadapannya.
Macam tempoh hari.

Damai bertukar gelisah.

Takut? Malu? Entah. 
Yang pasti, dia tak selesa.

Ketenangan tadi hancur, diganti geram.
Nak tak nak, Andrey tak dapat mengelak apabila cikgu Rina memanggil dan mempelawa. Kali ini, tanpa berfikir panjang, dia membuka pintu dan melabuhkan punggung di sebelah pemandu.

Mungkin sebab letih merajuk.
Atau mungkin… sebab malas menunggu bas.
Atau mungkin juga… bukan bas yang ditunggu sebenarnya,
tapi kereta hitam itu.

“Macam mana rasanya bila patah kaki?” Cikgu Rina memulakan perbualan. Mesra. Dia tahu apa yang ligat berlari dalam kepala Andrey.

Butang OFF pada pemain CD ditekan. Lagu When I Come Around terhenti.
Tanpa minta izin, Andrey menekan semula butang ON. Volume diset rendah.

“Boleh, kan? Sedap lagu tu. Saya suka.”
Cikgu Rina menjeling, tapi tak berkata apa-apa. “Mana motor?” soalnya, pendek.

“Bengkel. Dua tiga hari siap.” Andrey pandang sekilas ke wajah Cikgu Rina. “Minat Green Day ke?” Dia cuba mengalihkan arah perbualan. Cakap pasal motor buat dadanya menyempit. Silap-silap, bergaduh lagi.

“RHCP pun saya layan,” balas Rina, acuh tak acuh.
Cool… saya suka Macy’s Day Parade.”

Andrey menoleh ke kiri, ke luar tingkap. Lalu, dengan suara perlahan tapi jujur, dia berkata,
“Terima kasih, cikgu. Cikgu dah ajar saya.”

Bukan ekonomi.
Mereka sama-sama tahu.

Lafaz itu datang dengan penuh kesedaran. Dari nurani.
Dan bila sesuatu datang dari situ, Andrey tahu —
ia bukan gurauan.

Not every reader is chosen to share:

The Endless Resonance

Struggling with something? Let Us Know
Comments

Comments [0]