Bab 9.1: Kantoi
Bilik guru sepi macam padang baru lepas hujan. Sunyi tapi ada harapan tumbuh. Di satu sudut, Sophia leka mengetuk papan kekunci, mata terpaku pada skrin komputer, bahu sedikit bongkok menampung beban kerja yang tak pernah surut.
Langkah perlahan Rina menghampiri dari belakang, dua botol minuman di tangan. Satu diletakkan atas mousepad.
“Untuk kau,” katanya, ringkas. Kerusi ditarik, lalu punggung dilabuhkan, tenang tapi membawa sesuatu.
Sophia menoleh sejenak, senyum. “Thanks. Banyak kerja lagi ni...”
“Report tak pernah habis. Selagi bernyawa, selagi kena taip.”
“Hmm.” Sophia menghela nafas.
Rina letakkan satu fail biru di atas meja. “Tengok ni.”
Sophia berhenti menaip. Jari yang lincah kini terhenti. Fail dibuka, helaian demi helaian diselak. Dahi sedikit berkerut.
“Bukan main kemas assignment ni. Buah hati punya?”
“Siapa lagi.”
“Nampaknya ada perubahan positif. Well done, Cikgu Rina. Aku rasa kau dah inspired dia.”
“Inspired la sangat.” Tersenyum sinis, Rina kemudian menambah, “cuba kau baca betul-betul.”
Sophia menurut arahan. Berkerut dahinya cuba memahami apa yang tercatat dalam lembaran-lembaran putih tersebut.
“Aku kalau ekonomi ni, memang fail. Tapi tengok OK je kertas tugasan ni. Kau tak happy ke dia dah banyak berubah?”
“Bukan dia buat ni. Dia suruh orang.”
“Kau ni kan… Tak baik menuduh membuta tuli. Ada bukti?”
“Bukti tak ada.”
“Tak de bukti tapi confident je kau cakap dia suruh orang. Kalaulah betul orang lain yang buat, kau tau ke siapa?”
“Tak tau pun.”
“Habis, nak serkap jarang je?”
“Intuisi.”
“Ahhh… Kau ni Rina. Sengaja nak cari pasal ke atau sengaja nak cari peluang?”
“Aku kenal gaya bahasa dia. Cara penulisan dia.”
Kertas tugasan bertukar tangan. Sophia tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala. “Lagi?”
“Dia tak pernah guna Times New Roman. Dia kalau buat assigment mesti guna Quicksand.” Kata Rina seperti seorang pegawai penyiasat.
“Tengok ni… Cara dan tempat dia letak nama, format tugasan langsung tak sama macam selalu dia guna.”
“Kan kita ada format tetap.”
“Betul. Ada tiga pilihan template dan dia tak pernah guna yang ni.” Nafas ditarik dan dilepaskan. “Aku nak test dia.”
“Test? Test apa?”
“Nak tengok hati dia. Nak tengok keikhlasan dia. Nak tengok, dia jujur ke tak.”
“How?”
“You’ll know.”
“Babe, you are in love. Obviously.” Balas Sophia. Badannya disandarkan ke kerusi.
Kata-kata itu dibiarkan tergantung dalam udara bilik guru yang masih sunyi. Cuma ada degupan yang tak bersuara, dan perasaan yang belum sempat diberi nama.
Sophia tahu. Wajah Rina dah cukup dia hafal macam kitab. Dan dia juga mengerti, cinta selalunya datang dalam bentuk paling ganjil — seperti seorang guru yang tak pasti sama ada dia ingin mendidik atau mencintai.
𝄢
Dari kelam ke cahaya, dari beku ke bara. Inilah langkah baru seorang anak muda yang mula percaya pada dirinya.
Macam cahaya fajar yang perlahan-lahan menyimbah gelap subuh, semangat dalam diri Andrey mula bangkit. Ada sesuatu dalam hatinya yang seakan menjerit: cukup sudah hidup dalam bayang. Sudah tiba masa untuk hidup dalam cahaya walaupun masih samar.
Hari-hari yang dulu penuh keterpaksaan kini mula terasa lebih ringan. Jiwanya lebih ikhlas menerima jalan yang dipilihkan buatnya. Dan mungkin, mungkin juga kerana ada seseorang yang setiap pagi setia menjadi jam loceng hidupnya — suara cikgu Rina yang menyapa telefon, hanya dengan satu perkataan: “Bangun.”
Entah dari mana datangnya kekuatan itu. Mungkin dari rasa dihargai. Mungkin juga dari kesedaran bahawa dunia tak akan berhenti untuk menunggu dia berubah. Kelas demi kelas dihadiri dengan dada terbuka. Buku-buku yang dulu hanya jadi alas kepala, kini jadi bahan renungan. Dan di celah semua perubahan ini, Jacques juga banyak membantu.
Dan tentu sekali, Sophia — kebih dari sekadar satu nama, ia adalah debar. Sapaan kecil, pandangannya yang singgah sepintas, atau senyuman lembut dari balik meja makmal — cukup untuk membuat hati Andrey rasa berharga.
Dia mula berangan. Mungkin suatu hari nanti dia akan berani. Mungkin satu hari, dia akan dapat jemput cikgu Sophia keluar — sekadar kopi, mungkin. Atau wayang. Tapi tentu bukan cerita cinta. Nanti kantoi.
Tapi di sebalik cita-cita itu, suara dari kepala mula membisik:
Kalau semua ini hanya syok sendiri? Kalau cikgu Sophia tak pernah pun fikir apa-apa tentang kau?
Sakit juga rasanya bila kau sayang dalam diam. Dan kau tahu diam itu mungkin tak akan pernah berbunyi semula.
Apatah lagi bila bayangan cikgu Fizi selalu menyelit di samping cikgu Sophia. Gelak mereka, cara mereka berjalan sama-sama. Kadang-kadang, cara cikgu Sophia pandang cikgu lelaki itu buat hati Andrey rasa dia dah lambat. Dah kalah sebelum sempat bertanding.
Dia cuba pujuk hati.
Tak apa. Dia jadi bonus. Bonus untuk aku cemerlang Biologi. Bonus untuk aku kenal siapa diri aku. Bonus yang buat aku percaya, aku juga layak disayangi — walau sekadar dari jauh.
She’s just a crush. Lepas ni, bila semua ni dah habis, bila kau masuk dunia luar, kau akan jumpa cinta sebenar. Itu kata akal.
Tapi hati masih setia menunggu — dalam diam, dalam ragu.
“Aku tengok kau dah lain sekarang ni dengan si singa gunung. Macam dah berdamai.” Kata Jacques, si mulut tak reti diam.
“Bapak aku suruh belajar disiplin. Fokus. Sekarang aku macam dah faham kenapa bapak aku nak sangat aku buat A’Level.”
“Bapak kau dah bagi petua macam mana nak jinakkan singa gunung?” Tanya si player yang sebenarnya lebih setia daripada lelaki yang setia. Dalam lawaknya, ada biji-biji hikmah yang tak ramai perasan. Jacques membuatkan Andrey rasa dia tak perlu berselindung. Jacques buat dia rasa cukup, sebagai diri sendiri.
Mereka ketawa kuat.
“Aku dengan Rosy… kami dah…”
“Aku dah agak... Kau ni sure ke, Jacques? Maksud aku… Rosy tu serius ke dengan kau?”
“Mungkin dia dulu liar… tapi yang liar boleh dijinakkan, kan? Macam singa gunung jugak…” Bahu Andrey ditepuk. Kuat. Sekuat ketawa mereka yang memecah sunyi belakang bangunan lama itu.
𝄞
Beberapa minit sebelum kelas ekonomi tamat, perbualan Andrey dan Jacques terganggu bila Cikgu Rina datang ke meja dengan wajah kurang mesra.
“Jumpa saya lepas kelas.” Arahan diberi, tegas dan ringkas. Tanpa bunga kata, dia kembali ke hadapan, meneruskan saki baki kuliah.
“Sudah…” Serentak hati dan otak teringatkan Linda. Risau.
“Apa kena pulak tu?” Isyarat bahu diberi. Jacques teruja nak tau.
Kadang-kadang kebenaran bukan datang dari bukti — tapi dari mulut yang takut. Dan kadang-kadang, keikhlasan datang dalam bentuk pengakuan yang bodoh.
Bilik kelas makin sunyi bila semua pelajar keluar. Tapi bukan ketenangan yang Andrey rasa. Jantungnya berdegup laju macam nak lari sebelum kaki sempat bangun.
Di depan, Cikgu Rina menunggu tanpa senyum. Pandangannya tajam macam X-ray, nak tembus ke dalam hati. Atau mungkin nak korek satu persatu dosa-dosa yang Andrey simpan.
“Ambil kerusi. Duduk sini.”
Andrey duduk. Perlahan. Macam pesalah menunggu hukuman.
Atas meja, kertas tugasan. Kertas yang bukan ditulis oleh dia. Kertas Linda. Tapi ada nama dia.
“Saya kasi chance sebab awak hantar lambat. Empat hari saya pejam mata. Tapi saya nak awak explain kertas ni.”
Kertas dihulur. Dan buat kali pertama, Andrey tengok kertas tu dengan rasa bersalah yang sungguh-sungguh. Kertas tu macam cermin dan refleksinya bukan imej sebenar.
“Ni sempurna sangat. Sampai tak ada salah. Awak genius ke tiba-tiba?”
Andrey senyum sikit. Nak rilekkan suasana.
“Cikgu rasa saya ada potensi jadi menteri kewangan?”
“Awak?” Cikgu Rina memusing-musingkan pointer di tangannya.
“Ye, sayalah. Takkan cikgu pulak.”
“Saya rasa awak lagi sesuai jadi menteri putar alam. Linda lagi layak jadi menteri ekonomi dan kewangan.” Suara ditinggikan.
Dan waktu tu, langit dalam dada Andrey runtuh. Nama Linda disebut. Dia tahu dia kantoi. Tapi dia tak sangka... macam ni.
“Kenapa tak buat sendiri? Cuti lama.”
“Saya tak ada mood.”
“Itu bukan alasan. Tanggungjawab tetap tanggungjawab.”
“Saya…”
Tak sempat membela diri, Rina memotong, “berapa awak bayar?”
“Itu personal.”
“Awak nak saya libatkan Linda dalam masalah ni?”
“Tak… cikgu, tak… Tolong jangan libatkan dia. Dia tak salah. Ini semua salah saya, bukan dia.”
“Berapa?”
“100.”
“Biasa dah buat kerja ni?”
“Pertama kali…” Diam seketika. Andrey tunduk. “ Dua… dua kali.”
Cikgu Rina diam. Mata dia masih tepat pandang mata Andrey.
“Saya tak boleh biarkan pelajar macam awak gunakan Linda untuk kesenangan diri sendiri. Dan Linda jugak salah sebab gunakan orang macam awak untuk buat bisnes macam ni.”
“Pasal bisnes, saya tak tau tapi kes saya, tolong jangan libatkan Linda.”
“Ini dah langgar undang-undang dan peraturan sekolah. Tau tak?”
“Tau, cikgu. Saya tau…” Dia menjawab lemah. Wajah Linda terbayang di fikiran.
Kesian Linda. Kalaulah cikgu Rina ketengahkan hal ni, apalah nasib kawan aku tu nanti? Aku tak apa, kena buang sekolah pun aku sanggup. Lagipun aku memang nak buang subjek ekonomi.
“Berapa lama dah buat kerja macam ni? Entah-entah subjek lain pun awak upah orang sebab tu excel sangat dalam biologi.”
“Cikgu cakap elok-elok sikit. Biologi, filosofi, memang minat saya. Saya buat sendiri, OK. Hasil usaha saya. Ini pertama kali… OK, kali kedua saya upah Linda and the last sebab kita tak akan jumpa lagi dah lepas ni.”
“Dah pastilah awak akan keluarkan saya... Ekonomi dari list awak?”
Andrey terdiam, menelan kata-kata yang akhirnya memakan diri sendiri.
“Tapi cikgu, kalau cikgu berani cakap saya upah orang untuk kertas biologi dan subjek-subjek lain, apa bukti cikgu cakap kertas ekonomi saya ni Linda yang buat?” Andrey mula rasa tertipu. Dalam hati, dia memaki diri sendiri atas kecuaian hingga masuk dalam perangkap cikgu Rina.
Cikgu Rina diam. Mata dia masih tepat pada mata Andrey.
“Ha?”
“Saya serkap jarang je. Awak yang mengaku.”
Dan waktu tu, Andrey rasa nak sumbat kepala dalam tong sampah.
“Memandangkan Linda tu cemerlang dalam ekonomi, saja saya petik nama dia.”
Kata-kata Cikgu Rina bagai merotan hatinya berkali-kali.
Bodoh! Bodoh gila!!!
Baru sekarang Andrey faham — cikgu Rina tak perlukan bukti, cuma kebenaran dari mulut dia sendiri.
“Tak patut cikgu buat cam ni.”
“Patut ke awak buat camni?” Cikgu Rina mengambil kertas tugasan tersebut. “Lepaskan saja ekonomi, Andrey. Saya tengok awak tak larat nak pikul beban ni.”
“Bukan bodoh. Malas. Dan lembut sangat hati.”
Mata cikgu Rina nampak tenang. Tapi tangannya laju kemas meja.
“Minggu depan saya nak tengok tugasan ni atas meja saya. Not printed, saya nak tengok tulisan tangan awak sendiri.” Tegasnya.
Kertas tugasan dimasukkan semula ke dalam fail sebelum meninggalkan Andrey sendirian termangu di situ, menyesali kelalaian sendiri.
Tanpa kuasa untukmempertahankan apa-apa lagi.
Your thoughts mean so much and help me improve my writing. If you enjoyed the post, I’d love to hear more from you— your ideas make this space more engaging for everyone. Thank you for commenting. Let’s keep the conversation going!