Bab 9.0: Menadah Kasih
Leka menari dengan pensel di atas kertas, Andrey menangkap bunyi tapak kasut Cikgu Rina dan bau minyak wangi — entah apa nama jenama, minyak attar agaknya. Yang pasti dia tau itu bau Rina.
Jacques singgung lengan Andrey. “Dia datang…” Usik Jacques. Ketawanya memecah sunyi.
“Aku tau…” Sketchbook ditutup.
Fail di tangan. Cermin mata terselit atas rambut yang dibiarkan bebas dan detik-detik menghitung kebosanan pun bermula.
Menghargai nasihat Cikgu Sophia tentang pentingnya pelajaran, Andrey cuba tumpukan perhatian tapi perhatian itu bertukar menjadi mimpi. Gerak bibir Cikgu Rina cuba diikut hanya untuk menerbangkan dia ke alam fantasi dan sekali lagi kapur mendarat di kepala.
“Pergi cuci muka.” Cikgu Rina beri arahan, seperti selalu, tapi kali ini nadanya sedikit tenang. Seperti polis di raja, Andrey menurut perintah, terus bangun. Sebelum keluar ke tandas, sempat dia curi pandang dan menangkap sedikit kemesraan yang terselit di balik keangkuhan sepasang mata guru Ekonomi itu.
Tak kembali terus ke kelas, sebaliknya Andrey ke belakang bangunan. Rokok dan kopi, dua elemen yang dia halalkan untuk mencuri masa Cikgu Rina. Sedar tak sedar, kelas Ekonomi pun tamat sekaligus menamatkan waktu persekolahan sedangkan mindanya tak penat-penat berfikir tentang kedua dia — Sophia dan Rina, juga tentang diri sendiri. Fikiran berputar di tempat yang sama sehinggalah Cikgu Rina muncul — sekali lagi membangunkan dia dari tidur siang.
“Ada saya suruh awak duduk sini sepanjang sesi?” Punggung dilabuhkan ke lantai simen yang sejuk.
Andrey sandarkan badan ke dinding, cuba menutup rasa terkejut.
“Tak de. Saya sakit kepala.” Nafas panjang ditarik. Mata memandang ke depan, ke arah padang. “Ada anak sungai sana tu.” Entah kenapa tergerak bibirnya melontarkan pernyataan itu. Tak relevan, dia tau, tapi dia teruskan juga. “Selalu jugak saya ke sana, tengok ikan-ikan kecil berenang.”
“I see… nak tengok ikan, ye? Bukan sebab kat sana lagi bebas hisap rokok?”
Angin bertiup perlahan menggugurkan daun-daun dari pepohon yang meredupkan suasana belakang bangunan terbiar itu. Nyaman. Sehelai daun berwarna kuning yang mula mengering di hujung mendarat di atas rambut Cikgu Rina. Spontan tangan Andrey menepis daun tersebut lalu ia jatuh ke tanah. Cikgu Rina mengutipnya lalu diletakkan ke atas tapak tangan.
“Pening sebab banyak sangat merokok, kan? Dah banyak kali saya pesan — berhenti…” Katanya sambil menyelitkan daun tersebut di celah helaian sebuah buku yang dibawa bersama. Sementara Andrey pula mencapai kotak rokok dan lighter yang berbaring di atas simen lalu menyimpannya ke dalam beg.
“Ye, selalu cikgu cakap.”
“Abis kenapa hisap lagi?”
“Entahlah… nak ringankan kepala kot.”
“Banyak lagi cara lain nak ringankan kepala.”
“Ini je yang ada. Yang saya tau.”
“Banyak lagi yang boleh bantu, yang awak kena tau.”
Ada je jawapan dia ni.
Muka Cikgu Rina dipandang sekilas.
Tak sangka sampai ke sini dia cari aku.
“What’s amiss? Boleh cerita?”
“Tak ada apa yang menarik pun.”
“Kalau malas tunggu bas, jomlah saya hantar awak balik. Takkan nak duduk sini sampai matahari terbenam.”
“Saya nak tunggu bulan jatuh ke riba.”
Jawapan itu berjaya memecahkan tawa dari kotak suara Cikgu Rina. Rambut yang jatuh sedikit menutupi mata, diselak ke belakang. Sambil membuka ikatan rambut, dia bertanya, “nak jadi macam pungguk?” Kepala ditoleh. Selepas mengemaskan rambut, ikatan dikenakan semula. Muka Andrey ditatap. Hatinya terasa aman.
“Macam si luncai dengan labu-labunya.”
“Awak ingat saya nak biarkan?” Wajahnya tenang, tak lagi tegang. Kemesraan yang dihantar dari sekilas pandang dan segaris senyuman ringkas secara perlahan-lahan menjejak denai ke hati Andrey.
“Awak nak minum tak, makan ke? Atau sekurang-kurangnya temankan saya, boleh? Lapar…” Cikgu Rina menepuk-nepuk perutnya. Kebudakan tapi nampak manja.
Suka pulak aku tengok.
“Kan saya dah cakap, saya suka awak. Mestilah saya tau kat mana lubuk kegemaran awak.”
“Ahh... Tak payahlah serius sangat, cikgu.”
“Serius tak serius, sekarang jom ikut saya. We need some refreshments.” Cikgu Rina dah berdiri. Tangan dihulurkan. “C’mon…” Tak teragak-agak, dia tarik tangan Andrey.
“Elok jugak, boleh hantar saya balik. Saya pun memang malas nak tunggu bas. Tak de motor, semua tergendala.”
Gembira hati Cikgu Rina tapi dalam masa yang sama, jawapan Andrey turut buat dia rasa bersalah. Ingin benar dia nyatakan bahawa dia sanggup memandu dan meneman Andrey ke mana saja, bila-bila masa pun, lalu dia menjadikan detik itu sebagai permulaan.
“Lepak kat tasik atau mana je sejam dua. Tasik, sungai, perpustakaan. Kedai kopi.”
“Kenapa tak balik rumah terus, membuta?” Sengaja Cikgu Rina mengusik. Andrey ketawa. Dari sepintas kerlingan, dia nampak lesung pipit melekuk di pipi kirinya.
“Orang selalu salah faham antara membuta dan meditate.” Dia memerli.
Cikgu Rina senyum, mengerti orang macam Andrey suka menyendiri dan banyak berfikir.
“Jom, kita meditate kat restoran dulu.”
Andrey ikut. Ikhlas. Rela.
“Hari ni awak kena makan. Saya belanja. Sini masakannya sedap.” Cikgu Rina memujuk dalam nada sedikit memaksa. “Awak nampak pucat, letih. Kurus.”
“Kurus tu betul tapi betul ke saya pucat atau cikgu kena tukar cermin mata?”
“Pucat, Andrey. Awak ni memang selalu tak cukup tidur ke?” Komen Cikgu Rina selepas pelayan mengambil pesanan.
“Susah tidur malam. Maksud saya, tidur lewat.”
“Biasa tidur pukul berapa?”
“Tak tentu. Dua, tiga pagi. Kadang-kadang kucing dah mengantuk pun saya tak tidur lagi.” Dia menjawab jujur supaya Cikgu Rina faham mengapa dia selalu tidur dalam kelas.
“Belajar atau kepala berat memikir?”
“Belajar, jarang. Banyak fikir tu, selalu.”
“Apa yang awak fikir sampai tak boleh tidur?”
Macam polis pulak perempuan ni. Banyak sangat soal.
“Pasal Cikgu Rina. Dia tu selalu kacau masa saya membuta dalam kelas.” Saja Andrey memerli supaya cikgu Rina berhenti bertanya. Suka agaknya dengar jawapan yang diberikan, Rina ketawa.
“Cikgu Rina tu bukan kacau awak membuta, dia cuma tak nak awak membuta kat tempat yang awak sepatutnya celik.” Senyuman Rina melebar. Dalam maksudnya dan Andrey dapat rasa getaran itu. Dia tertunduk, seperti cuba memandang gerak hati sendiri.
“Tidur kena cukup, makan mesti teratur. Baru fit. Awak kena rajin exercise, baru senang tidur. Rajin bersenam tak?”
“Ikut mood.”
“Bersenam ni macam main muzik, macam berseni. Kena ada disiplin.”
“Saya rasa balik karang elok cikgu sediakan kertas soalan. Esok cikgu bagi saya. Boleh saya jawab semua yang cikgu nak tau. Ni sekarang saya lapar, haus, nak makan, nak minum. Nak kasi gemuk.”
Cikgu Rina ketawa lagi, lebih besar dari tadi. Bukan saja kerana kata-kata Andrey mencuit hati, malah lebih daripada itu, hatinya terasa lapang dan penuh dalam satu masa.
Dia mungkin fikir aku main-main. Tapi sebenarnya aku nak jaga dia... walau aku sendiri tak tahu dari mana nak mula.
“Sarapan tak tiap pagi?”
“Tak pernah tak. Kenapa?” Jawab Andrey tanpa memberi apa-apa respon pasal exercise.
Agaknya dia nampak aku ni lembik tak bermaya, kurus kering, tak cergas, tak fit. Pucat la ngantuk la hape... Adoiii... Ada je yang tak kena Rina oiii...
“Saya ingat nak ajak awak sarapan esok macam awak minum dengan cikgu Biologi awak pagi tadi tapi lagi awal dari tu.”
Ahhh... Now what??? Boleh pulak dia ingat aku minum dengan Cikgu Sophia kat sekolah tadi. Rina… Rina…
“Tengokla...”
“Camne nak tahu?”
“Saya biasanya lambat...”
“Kalau camtu bagi saya nombor telefon awak. Biar saya buat wakeup call.”
“Sekarang cikgu nak rutin saya?”
Cikgu Rina angguk dan berkata, “ha ah, sekaranglah. Bila lagi?” Tegas dan muktamad tanpa ragu apalagi rasa bersalah.
Telefon bimbit dia keluarkan. Selepas menekan beberapa butang, telefon itu diserahkan kepada Andrey. Nama terpampang, dah siap-siap dia taipkan. Hanya perlu masukkan nombor.
Oh Tuhan, aku benci bila dia merayu macam ni. Eh silap, bukan merayu tapi lebih kepada mengarah.
Andrey cuba buat tak tau. Tapi Cikgu Rina penuh dengan idea.
“Kan motor awak belum siap? Awak sanggup ke naik bas hari-hari pergi sekolah?”
“Kalau malas, saya membuta je la kat rumah.”
“Rugi ponteng sekolah, tau?”
“Teksi banyak.”
“Tapi lambat. Saya cepat. Esok, pukul 7. Tepat.”
Andrey tepuk dahi. Cikgu Rina ketawa, senang hati.
Dan entah kenapa, dalam tawa dan tepukan di dahi, ada satu tanda yang tak mampu ditepis — gurauan itu adalah hati yang perlahan-lahan menadah kasih.
Your thoughts mean so much and help me improve my writing. If you enjoyed the post, I’d love to hear more from you— your ideas make this space more engaging for everyone. Thank you for commenting. Let’s keep the conversation going!