Bab 8.3: Antara Dua Dia
Misteri Cikgu Rina terjawab sudah — bukan homophobic, bukan juga transphobic. Mereka bernaung di bawah satu payung. Sesiapa pun pasti tak akan sangka sama sekali singa gunung tu sebenarnya berhaluan kiri.
Untunglah siapa dapat kau, Rina. Hai… Mengapalah ciuman itu bukan dari Cikgu Sophia? Atau perlukah kereta dia aku toreh demi satu ciuman?
“Ciuman? Hahaha... dream on. Silap-silap kau dapat penyepak.” Begitulah otak dan hati mentertawakan usulan bodoh ciptaan nafsu.
Sia-siakah perasaan romantik yang aku simpan untuk Cikgu Sophia?
Kebimbangan seringkali mengajak dia mempersoalkan rasa hati — apakah Cikgu Sophia itu lurus atau bengkok? Satu demi satu tanda tanya menerjah gedung akal, meminta investigasi.
Kalau Cikgu Rina, selamba je dia confess. Tak ada segan silu, tak ada malu-malu. Macam mana aku nak korek pasal si Sophia ni pulak? Patut ke aku bersikap gentleman, direct? Atau terus jadi spiderman? Sorok muka balik topeng? Hmm… Aku bukan manusia yang suka pakai topeng.
Senyap-senyap Andrey berdoa semoga perasaan romantik yang tersemai di sanubari tak berubah menjadi melankolik.
Wajarkah dia aku tagihkan?
Andrey merenung lagi diri sendiri. Dia sedar siapa dia dan perempuan sesempurna Cikgu Sophia, sudah tentu ramai yang memuja. Mustahil masih ada ruang kosong dalam hidupnya.
Kalau ada pun, tak mungkin untuk orang seperti aku.
Tanggapan itu semakin kukuh bila dia nampak Cikgu Sophia selalu duduk minum di kafeteria dengan seorang guru lelaki dan dari gaya nampak niat macam nak mengayat…
Dari situ Andrey mula mengenal rasa cemburu. Dia mula meluat setiap kali melihat guru-guru lelaki berbual mesra dengan Sophia. Gelak ketawa mereka bagaikan pisau menghiris hatinya. Namun akhirnya dia hanya mampu menggumam, “Ahhh… lantaklah.”
“Mengelamun?”
Suara yang selalu dirindu telah membangunkan Andrey yang hilang dalam mimpi siang. Sophia berdiri di sisi. Tangannya menyentuh bahu Andrey, sekadar rehat ringan tetapi cukup menggoncang seluruh dunia seorang remaja.
“Tengah fokus,” jawapan diberi. Positif. Andrey gosok muka. Gelagatnya disambut dengan senyuman.
Oh Tuhan, aku jatuh cinta lagi.
“Awak sorang je kat sini, lain semua dah keluar. Masa dah tamat. Awak tak cukup tidur ke malam tadi?”
Tertidur ke aku? Dia pandang sekeliling. Nyata, bukan dia seorang di situ.
Sophia, kenapa menipu? Bukan ke kau ada meneman aku?
“Hei, dah la... Apa kata awak pergi cuci muka lepas tu saya belanja minum kopi… maybe… sandwich? Kita belum lagi bercakap tentang kes awak aritu. Saya teringin jugak nak tau cerita.”
Betul ke apa yang aku dengar ni?
“Jom la... Nak malu kenapa. Jom...” Bahu Andrey ditepuk lembut, sampai terlayang Andrey sebentar. Kalau boleh dia tak nak Cikgu Sophia berhenti menepuk sampai dia tertidur. Tak payah minum kopi pun tak apa. Tak ada kepentingan pun nak bercerita tentang hal dia dan singa gunung.
Tak sangka betul hari ni aku kena loteri. Seingat aku, tiket pun belum aku beli.
Hati yang terpukau hanya mengangguk, bersedia dengan rela untuk memenuhi permintaan gadis idaman.
Andrey biarkan Cikgu Sophia mendahului. Tak tahu dari mana idea itu datang, tapi intuisi kuat mengesahkan bahawa Cikgu Sophia pasti akan menjadi miliknya, suatu hari nanti. Satu hari yang indah…
Duduk ditemani Sophia, tak ada kenikmatan lain yang nak diminta dari dunia fana. Bagi Andrey, inilah dia halusinogen yang membolehkan semua yang tak boleh. Hati berlagu meskipun lidah kelu. Bibir terpaku tapi mulut jadi ringan, terus pandai nak berborak. Rasional menghalang, tapi tangan rasa dah pegang. Rasanya macam naik roller coaster tapi dalam masa yang sama dia nampak ada istana di awan.
“Saya dengar banyak versi pasal kes awak dengan Cikgu Rina. Dengar cerita dia cat motor awak.” Sambil membelek telefon bimbit, Sophia memulakan perbualan — pertanyaan yang tak memerlukan jawapan. Kisahnya dah terungkai dari mulut Rina sendiri.
Andrey hanya memerhati. Rambut ikal Sophia beralun melepasi bahu, ringkas dengan kemeja biru dan skirt kelabu gelap. Solekan tipis membuatnya kelihatan lebih semula jadi. Dia seperti tahu Andrey tidak suka perempuan bermekap tebal.
Sesekali Cikgu Sophia tersenyum sambil jari-jari lincah menaip mesej. Tumpuannya penuh pada paparan telefon bimbit berwarna silver di tangan.
Entah dengan siapalah dia mesej tu… Bahagia sangat nampaknya.
Seolah menjawab rasa itu, telefon bimbit Andrey sendiri bergetar. Satu mesej masuk.
Aku agak dah. Asal kat kafeteria saja mesti kau masuk. Mungkin pekerja kat sini yang berminat kat aku.
Kepala ditoleh ke kaunter. Takkanlah makcik tu…
Otak terkekeh. Hati terguling-guling ketawa bila melihat Andrey memerhatikan seorang makcik yang sedang berbual-bual mesra dengan beberapa orang pelajar.
“Hari ni dapat dating dengan cikgu. Suka? Hope you enjoy the conversation.” Kata mesej tersebut dan mesej kedua pula berbunyi — “andainya ada cinta, tunjukkan padaku cinta.”
Sudah… Apa benda cinta-cinta pulak ni.
Berdebar jantung Andrey bila mesej tu dah pandai bercakap pasal cinta.
Siapalah dia ni agaknya…
Mata mula meliar ke kiri, ke kanan selepas makcik di kaunter itu tak menepati ciri-ciri suspek. Anak dara dia kot? Mungkin tengah masak kat dapur, siapa tau? Ah, lantaklah. Ni perempuan depan aku ni yang mesti aku layan sekarang.
Cikgu Sophia masih leka dengan telefon.
Cemburu menyala-nyala. Andrey hirup kopi, nak padam bara dalam hati. Telefon bimbit dia simpan kembali dalam kocek seluar. Tak menghiraukan mesej dan cinta yang diucapkan, Andrey cuba bawa Cikgu Sophia kembali ke alam nyata.
Mana tau kat situ nanti dapat bertemu cinta?
“Antik betul handphone cikgu. Kurun ke berapa punya handphone tu?”
Sambil menggosok-gosok telefon bimbit di tangan, Cikgu Sophia ketawa kecil. “Barang antik selalu ada sentimental value. Ni hadiah dari orang paling istimewa, tau?”
Okay, I got it. Aku tau mana aku berdiri. Bangun Andrey. Bangun. Dah, jangan tidur. Jangan bermimpi lagi.
Pandanglah muka kau tu kat cermin Andrey, oii. Tengok diri kau betul-betul. Apa yang kau ada? Apa yang dapat kau bagi? Kalau kau dapat bagi sekali pun, aku tak rasa dia akan terima. Kau sedar tak kau tu siapa? Jangan mimpilah… Bayang dia pun tak kan dapat kau pegang.
Satu suara bergaung di telinga. Kali ini dia tak pasti suara apakah itu. Bukan suara akal. Bukan suara hati. Mereka sendiri tak tahu siapakah yang membisikkan kata-kata tersebut. Mereka sendiri tak bersetuju dengan apa yang diperkatakan suara itu. Dan seperti dirinya, mereka juga rasa terhina.
Suara tersebut dipersetankan. Dia menganggap suara itu hanyalah bisikan makhluk gelap. Iblis memang benci kalau manusia bahagia. Setan tak suka orang yang ada cita-cita dan niat suci. Iblis dan setan takutkan orang yang sanggup berusaha. Mereka lemah dengan orang yang tinggi rasa percaya. Ada saja helah untuk menyesatkan manusia.
“Kenapa awak calar kereta dia?” Cikgu Sophia ketawa lagi mendengar mukadimah itu. Telefon disimpan. Tumpuan kini hanya kepada Andrey.
Dari A-Z Andrey pun susun cerita, menutup bahagian ciuman, sudah tentu. Cikgu Sophia yang dah tau cerita, masih teruja untuk mendengar versi sebelah pihak lagi. Versi Andrey.
“Saya tau saya tak patut buat macam tu, memang salah saya.” Akhirnya dia menamatkan cerita dengan satu kesimpulan ikhlas, berbaur penyesalan.
“Itulah yang saya respek dia. Memang tak sangka langsung.”
Serentak dengan kata itu, Cikgu Rina melintasi mereka berdua. “Hai,” dia menyapa ringkas. Tak berhenti singgah, dia terus berlalu. Andrey perhatikan langkah kaki Cikgu Rina, menyertai dua tiga orang guru lain untuk minum pagi. Cikgu lelaki tu pun ada.
“Siapa nama cikgu tu?”
“Cikgu mana?”
“Tu yang duduk sebelah Cikgu Rina tu…” Andrey tunjuk dengan kepala dan mata. Kening kiri terangkat sikit.
“Cikgu lelaki yang pakai kemeja pink tu?”
“Ye…”
“Cikgu Fizi. Kenapa?”
“Ohh… Dia boyfriend Cikgu Rina?” Saja Andrey bertanya sedangkan dia dah tau siapa Cikgu Rina. Tak mungkin dia suka cikgu tu. Kan dia suka aku?
“Kalau ye, kenapa?”
“Tak sesuai.”
Cikgu Sophia ketawa. Kepalanya digelengkan sedikit tanpa memberi sebarang jawapan.
“Hmm… ke boyfriend cikgu?”
Cikgu Sophia tergelak panjang. Kepalanya digelengkan lagi dan sekali lagi dia biarkan Andrey berteka teki. “Kalau ye, kenapa?”
“Kalau ye, eloklah.”
“Apa yang elok?”
“Sama-sama cikgu, kenalah.” Jawapan Andrey dibiarkan tanpa mengulas lebih lanjut.
Betul lah agaknya diaorang ada affair. Apa boleh aku buat pun? Kedudukan aku bukan kat mana-mana, sekadar kat bangku sekolah. Aku pun tak sesegak Cikgu Fizi tu. Siapa nak pandang aku? Singa gunung je la kot… haiiishhh…
“Well, berbalik cerita awak dengan Cikgu Rina. Saya rasa, kalau awak tak suka, tak boleh bawak sangat Ekonomi, awak tukar je yang lain. Macam Matematik atau Fizik?”
“Fikirlah betul-betul. Boleh tukar lagi. Ini untuk masa depan awak. Mesti awak ada cita-cita, kan?”
“Entahlah. Sebenarnya saya bukannya nak sangat ambil A’Level ni. Abah sayalah… paksa. Ikutkan saya… sebenarnya saya nak ambil art atau muzik. Dah dapat pun tawaran kat Akademi Seni tapi abah berkeras nak jugak saya buat A’Level.” Dengan jujur Andrey mengesahkan cerita yang dah Cikgu Sophia dengar dari mulut Linda.
“Tapi pendapat saya, ada betulnya keputusan abah awak tu. Ini penting untuk awak lanjutkan pelajaran nanti, tak kira la universiti dalam atau luar. Mungkin dia ada rancangan dan perspektif yang awak belum nampak.”
“Sekejap je tu… Pejam celik, pejam celik, habis… Nanti rindu pulak…” Sophia tersenyum.
Aku dah pun rindu… tak payah tunggu dua tahun…
“Dua tahun saya boleh tulis beratus lagu, lukis beratus kanvas… tapi semua kena lepas camtu je, cikgu…” Andrey mengeluh… Bukan kerana akademi seni yang dah redha dia lepaskan. Keluhan itu terhembus kerana mulut tak mampu melafazkan kata hati.
“Awak boleh buat semua tu tanpa perlu kolej pun, kan? As a hobby? Dua tahun ni mungkin akan buka mata awak pada sesuatu yang awak belum nampak.”
Matanya teralih seketika ke meja Rina. Kosong.
Hilang dah si singa.
Cikgu Fizi pun hilang. Entah bila semua cikgu tu lesap dia sendiri tak sedar sebab khayal tengok muka Cikgu Sophia yang terus membebel pasal sekolah, universiti, masa depan. Semua tu menakutkan Andrey.
Dia kembali memandang Sophia. Gadis itu masih rancak bercerita tentang pelajaran, universiti, masa depan. Andrey cuba mengangguk, pura-pura fokus.
Namun jauh di sudut hati, hanya satu yang dia ingin bisikkan kepada Sophia —
“Saya rindu cikgu.”
Your thoughts mean so much and help me improve my writing. If you enjoyed the post, I’d love to hear more from you— your ideas make this space more engaging for everyone. Thank you for commenting. Let’s keep the conversation going!