8.1: Zephyr
Macam dah berjanji, kereta cikgu Rina sekali lagi berhenti di perhentian bas. Pagi ini, Andrey tak tunggu dipanggil. Tanpa kata, dia buka pintu dan melabuhkan punggung di tempat duduk penumpang.
Sejak peristiwa toreh kereta, perkataan maaf tak pernah terlintas dalam fikirannya. Tapi ya, itulah ucapan yang tiba-tiba lahir terus dari hati. Mungkin sebab kata-kata Adrian semalam. Mungkin juga kerana keinsafan yang lahir dari sentuhan embun pagi dan getar dedaun yang dia hayati waktu berjalan tadi.
“Saya tak ajar awak. Awak yang dah ajar diri awak sendiri.” Suara cikgu Rina lembut, bagai angin dari lembah. Namun maknanya dalam, mencurah ke hati yang sedang cuba menjadi dewasa.
“We can start all over again. Tak ada point nak panjang-panjangkan kes kecik macam ni.”
‘Kes kecik,’ katanya? Andrey senyap, malu sendiri. Tapi dalam diam, dia renung muka cikgu Rina yang tenang memandu. Bibir itu... bibir yang pernah dengan selamba mencuri keperawanan bibirnya— secara literal mahupun simbolik.
Jantung berdebar. Cepat-cepat dia alihkan pandangan ke luar tingkap. Tapi sempat juga fikir, eh, lawa pulak... Apasal dulu aku tak perasan?
“Lupakan saja. Saya pun ada salah. Saya dah maafkan awak.” Rina sambung dengan senyuman tenang. Jarinya ligat menukar lagu sehingga terhenti pada The Zephyr Song. Volume dinaikkan ke tahap empat. Dia mengetuk-ngetuk stereng, seperti ada rentak dalam hati yang tak dapat dia tahan.
Bait-bait lirik berputar perlahan.
“Fly away on my zephyr...”
Andrey cuba hayati. Mula perasaan. Terasa seperti ada mesej yang ingin Cikgu Rina hantarkan.
“Bukan sengaja saya bagi awak markah rendah. Bukan semua salah. Awak kena tau, Ekonomi bukan 1+1=2. Jawapan kena datang dari pemahaman sendiri.”
“Saya nampak awak bijak. Tapi pemalas. Macam Spiderman.”
Tawa kecil keluar juga. Entah bila terakhir kali dia rasa ringan begini.
“Membuta...” Dia mengajuk sambil tersengih.
Cikgu Rina teruskan, “Kalau awak rasa ekonomi bukan dunia awak, saya sokong kalau awak tukar. Hidup ni tentang masa dan pilihan, right?”
Masa dan pilihan. Dua benda yang tak pernah dia renungi cukup dalam. Dia mula terfikir—kenapa dia pilih ekonomi? Sebab nak cabar diri? Atau... sebab ada sesuatu yang nak dia mendekat dengan seseorang?
“I’ll sleep on it.” Itu sahaja yang mampu dia janjikan.
“Saya akan ada kalau awak nak bincang.” Cikgu Rina sempat tepuk bahu dia sebelum melangkah ke bilik guru.
“Awak sentiasa boleh cari saya. Untuk apa saja. Be good.”
Mana hilangnya marah? Senang betul memaafkan?
Serentak dia ditanya oleh hati dan perasaan. Bersekongkolkah mereka dengan akal yang tersenyum menunggu jawapan?
Integriti. Dia dah ajar aku perkataan ini. Bukan senang nak dapatkan kemaafan orang, apa salahnya kalau aku mula belajar memberi?
“Tak salah pun kalau nak jernihkan air yang keruh.” Hati terasa lapang dipujuk akal dan fikiran.
Dia teringat pada satu pepatah — kita tak boleh nampak refleksi di permukaan air yang tengah mendidih, apalagi air yang sedang mendidih itu keruh warnanya. Biarlah air itu sejuk dan tenang, bergenang jernih, barulah biasnya jelas.
Mungkin cikgu Rinalah yang mula-mula mengeruhkan air dan dia pula mencedok air yang sedia keruh itu untuk didihkan. Kini, api dah dipadam dan nampaknya cikgu Rina pun dah mula menyalurkan aliran air baru.
Siapa tau, satu hari nanti segalanya akan menjadi lebih tenang dan jernih, setenang dan sejernih Terusan Tasik Biru?
Akal bertepuk tangan.
Hati dan perasaan tersenyum bangga.
Di mejanya dalam bilik guru, Rina termenung panjang. Skrin komuter ditenung seperti memandang sebuah wahyu yang sedang menampakkan wajah.
Dia keliru — itu jelas. Tapi dalam keliru tu, ada satu cahaya kecil... macam mata budak yang baru nampak langit malam penuh bintang.
Kau rasa dia akan consider perasaan kau tu?
Aku tak mengharap. Aku meluah bukan untuk diterima. Aku cuma nak... sayang dia.
Kau tak rasa ke, tak banyak, sikit... kau dah sentuh dia?
Dia manusia. Bukan batu. Kalau dia faham, bagus. Kalau tak, tak mengapa. Aku tak mintak jadi miliknya. Aku cuma nak jadi doa yang dia tak tau datang dari siapa.
Rina berbicara dengan bayang sendiri. Suara hati dan suara logik saling berbalah di medan rasa. Kenangan merampas Aprilia, menukar warnanya kepada merah jambu dan tulisan I 💓 Rina, masih terasa segar di mata. Dia masih rasa bersalah. Tapi entah kenapa, perbualan ringkas dalam kereta pagi tadi bagai membawa angin perubahan. Seakan jalan ke arah hati Andrey atau ke hatinya sendiri sudah mula terbentang. Kabur, ya, tapi ada.
Aku tak rancang... semua tu terjadi macam refleks dan benda yang dah jadi, tak boleh diundur.
Bila dikenang, Rina rasa pipi dia panas. Rasa nak sumbat kepala dalam bantal hotel tiga bintang. Kenapa entah dia boleh ikut sangat perasaan masa tu. Tak sepatutnya. Tapi dia manusia. Ada ruang rapuh yang tak sempat dibendung.
Kau pun dah sayang. Bukannya nak sayang je.
Andrey ada tarikan tersendiri, lain dari yang lain. Rina akui — tapi bukan itu yang mengetuk perasaannya. Ada sisi dalam diri Andrey yang buat Rina rasa terpanggil.
Cukuplah kalau dalam mimpi, aku miliki dia. Tanpa sedar tangan kirinya mencoretkan baris itu di atas sehelai tisu.
“Tak salah simpan perasaan dalam sepi sebab cinta kadang-kadang tak perlu bertukar tangan. Cukup sekadar duduk diam bertahan.” Bisiknya kepada tisu yang berbekas penwarna bibirnya sendiri. Dia memandang tisu tersebut, melipatnya lalu diselitkan dalam jurnal.
Aku tak tau. Betul atau salah pun aku tak tau. Aku rasa... sesat, berjalan dalam kabus, tak pasti arah mana langit, arah mana jurang.
“Time... it has the power to do as it pleases.”
Dan dia... dia pelajar aku.
Rina pejam mata. Nafas ditarik panjang.
Aku rasa tua sangat.
Di hujung kafeteria, tempat biasa, Linda menemani Andrey makan tengah hari, macam biasa, tapi Andrey nampak jelas kelam yang cuba disembunyikan kawannya itu.
“Donut hari ni tak sedap,” rungut Linda sambil menguis topping gula yang melekat di plastik pembungkus.
Andrey tak kata apa, sekadar mengangguk. Dia perhati Linda kunyah perlahan, mata tak betul-betul fokus. Hati Andrey mula rasa tak sedap.
“Kau OK?”
Soalan tu buat Linda berhenti mengunyah. Perlahan dia letak plastik itu di atas meja. Nafasnya panjang sebelum dia jawab.
“Takkanlah aku cerita. Apa-apa pun, aku simpan.”
Linda angguk. Perlahan. Mata dia masih tak berani pandang Andrey.
“Mama aku sakit.” Dia sebut macam berbisik. “Cancer... payu dara.”
Andrey tak mampu cakap apa-apa. Dada dia rasa sesak tiba-tiba.
“Stage dua. Tapi doktor kata agresif. Dia tak kerja dah. Bapak aku... entah, sejak mama sakit, makin jarang balik. Sibuk katanya. Mungkin tak sanggup nak tengok keadaan mama. Aku pun tak pasti.”
Andrey telan air liur yang rasa kelat. Dia tengok Linda — si gadis montel yang selalu ketawa, yang pandai selesaikan soalan ekonomi macam kira sen-sen dalam dompet, yang selalu hulur tangan bila dia susah.
“Tu sebab aku ambil job buat assignment. Bukan sebab aku tamak sangat pun, Rey. Aku perlukan duit. Banyak benda nak bayar. Bukan rumah aku, bukan aku... tapi mama.”
Waktu tu, Andrey genggam tangan Linda atas meja. Tak ada kata yang mampu dia beri selain genggaman tu.
“Linda,” suara Andrey serak, “Selagi kau ada dia, buatlah semua yang mampu. Kalau kau perlukan apa-apa, even just nak sembang kosong... aku ada.”
Linda ketawa kecil sambil lap air mata. “Kau budak paling loser. Tapi kadang-kadang... loser pun ada guna.”
Andrey tersengih. “Kau debab, tapi debab paling kuat yang aku kenal.”
Bau burger tepi jalan masih lekat di hujung jari walaupun dah dua kali Jacques lap dengan tisu. Rosy tengah baring atas bonet BMW merah, rambutnya terbuka, tangan bersilang atas perut.
“Langit kat sini cam sial. Banyak sangat lampu kat jambatan kau ni,” rungut Rosy.
“Langit tak sial. Kita je yang banyak dosa, jadi kita tak nampak bintang,” Jacques menyahut sambil menyalakan rokok.
Rosy ketawa kecil. “Pandai la kau. Lain kali, bawa aku tempat yang betul. Aku nak tengok bintang.”
Jacques pandang Rosy, lama. Asap rokok melayangkan niat yang tak habis-habis cuba digoda.
“Kau ada bintang dalam diri kau, Rosy. Cuma kadang-kadang… kau padamkan sendiri.”
Rosy senyap. Dia pandang Jacques dari ekor mata. “Kau nak ayat aku ke apa ni?”
“Mana ada. Aku tak ayat orang. Aku bagi pilihan.”
Rosy bangun, duduk atas bonet. “Aku suka someone yang buat aku rasa aku tak perlu menang sepanjang masa.”
Jacques senyum. “Aku tak nak menang. Aku cuma nak rasa bebas.”
“Free and wild, huh?”
Jacques angguk. “Macam kau.”
Dalam senyap, dua jiwa yang selama ni berpusing dalam orbit masing-masing, mula jumpa irama yang sama. Walau malam itu tak ada bintang, tapi ada dua orang yang diam-diam berharap— kalaupun mereka tak dapat langit, cukuplah sekeping hati yang boleh mereka tumpang rehat.
Your thoughts mean so much and help me improve my writing. If you enjoyed the post, I’d love to hear more from you— your ideas make this space more engaging for everyone. Thank you for commenting. Let’s keep the conversation going!