8.0: Integriti
“Aku tak balik minggu ni.”
Adrian, saudara kembar yang serupa tapi tak sama, memberitahu dalam panggilan ringkas. Suaranya tenggelam timbul, mungkin sibuk di perpustakaan kolej. Program IB yang dia jalani jauh di Selatan menelan hampir seluruh waktu dan tenaganya.
“Motor aku masuk bengkel.”
“Apahal? Accident?”
“Ha’ah. Kena langgar singa gunung.”
Andy ketawa terbahak. “Cikgu tu lagi? What’s her name again? Lina?”
“R, Andy. R… berapa kali aku nak ulang. R.I.N.A.”
“Haha… OK… OK, R.I.N.A. aku ignat sampai mati. Tu la kau, suka sangat carik pasal. Tapi serius weh, nasib baik dia tak report. Kau patut bersyukur.”
Andrey mengeluh perlahan. “Kau tak kenal dia. Dia... lain.”
“Kau pun lain. Dua-dua degil. Tapi ingat weh— cikgu tetap cikgu. Hormat tu bukan pasal suka ke tak suka. Itu prinsip.”
Kata-kata Adrian bagai gema yang tak padam. Bila panggilan tamat, Andrey baring diam. Merenung siling. Angin malam berpuput perlahan dari pintu balkoni yang tak ditutup. Dia bangkit. Berdiri di ambang pintu, memandang ke langit. Bintang bertabur, bulan sabit tersenyum senget. Di wajah bulan itu, dia nampak bayang... Sophia.
Ah, gadis itu.
Angin pun kalah lembutnya bila dia melangkah. Dan di malam sunyi begini, wajahnya menjelma di sebalik angin — belum ada memori, tapi rindu mula hidup.
Andrey senyum seorang diri. Bayangkan Sophia membonceng di belakangnya. Dia bawa motor laju-laju semata-mata mahu gadis itu peluk dia kuat-kuat. Aneh, kan? Angan-angan kadang lebih nyata dari kenyataan. Tapi dalam dunia Andrey, angan-angan itu satu bentuk ibadah — doa dalam bahasa getaran. Tak perlu dilafaz.
Jam hampir dua belas. Dia masuk semula ke kamar. Buku ekonomi yang terbuka dibiarkan tertutup tanpa sebarang rasa bersalah. Biarlah. Hati dia tak mahu menyentuh apa pun yang berkait dengan Rina malam ni.
Sebaliknya, matanya tertarik pada buku biologi.
Dan tiba-tiba radio kecil di meja mula memainkan lagu ‘Jerat’ nyanyian Harvey Malaihollo. Lagu itu datang macam sihir, menyelak satu bab dalam hidupnya yang tak pernah dia tutup.
Beberapa bulan yang lalu. Kafeteria. Petang yang basah.Hujan hari itu... lain macam lebatnya. Lain macam juga suaranya. Turun lembut seperti nyanyian kesedihan yang minta dipeluk.
Duduk di sudut paling belakang kafeteria, Andrey bersendirian, seperti selalu. Ditemani kopi yang dah sejuk, dan sandwich yang belum pun disentuh. Hati tak lapar. Perut terasa penuh. Tapi Jiwa kehausan — haus sesuatu yang lebih hidup daripada kopi.
Di luar, titis-titis hujan jatuh dari langit seperti pesan-pesan yang tak sempat difahami. Dan saat itu… dia muncul.
Bayangan pertama. Seorang perempuan. Berpakaian gelap, tubuhnya kemas dibalut blazer hitam, sepadan dengan skirt yang dikenakan. Blouse ungu tua di dalam. Rambut ikalnya basah sedikit, berpintal ke bahu. Dia berdiri dekat tingkap.
Andrey terpukau. Tak pernah dia lihat seseorang yang kelihatan begitu sunyi, dan begitu cantik dalam kesunyian itu.
Dia tak tahu siapa gadis itu. Yang pasti, dia tahu, denyut di dadanya mula bergetar, berlari laju daripada biasa.
Pancaran kilat diikuti guruh kuat telah memeranjatkan gadis tersebut lalu dia beranjak ke belakang, menjauhi tingkap. Matanya mencari-cari tempat kosong sebelum pandangannya jatuh ke wajah Andrey. Mata mereka bertembung. Antara sedar dengan tidak, gadis itu dah pun berdiri depan mata.
“Kosong? May I?”
Suara itu — Tuhan, suara itu. Macam angin yang menyapa daun jendela bila kau bersendirian. Macam nyanyian malaikat pelindung yang hinggap di hujung malam.
“Sure,” jawab Andrey, gugup, hampir tercekik kata. Dia mengalihkan beg yang duduk di kerusi sebelah, membuka ruang seperti mahu membuka hidupnya sekali.
Gadis itu duduk, menanggalkan blazer perlahan-lahan. Ada bau. Bau bunga melati atau mungkin lavender yang tersembunyi dalam kelembapan hujan.
“Saya Sophia.”
Sophia.
Nama itu gugur dalam hati Andrey seperti kelopak jatuh ke kolam. Tenang. Tapi meluaskan lingkaran perasaan sampai ke tebing jiwa.
Tangan Sophia hulurkan dan salam disambut. Sewaktu jemari mereka bertaut, ada satu arus menjalar seperti renjatan. Hangat. Macam guruh yang sedang mengejar kilat. Tak membakar tapi membelai.
“Andrey.”
Mereka saling memandang. Lama.
Mata Sophia… bukan sekadar mata. Ia seperti jendela ke satu tempat yang Andrey tak pernah kunjungi. Tapi kini dia tahu, dia mahu sampai ke situ.
“Ye. Form berapa?”
“A' Level candidate
“A' Level candidate. AS.”
“Saya akan jadi cikgu awak,” kata Sophia. “Kalau awak ambil Biologi.”
Andrey tak mampu jawab. Dia cuma senyum. Kaku. Terlalu banyak rasa dalam dadanya. Malu. Kagum. Terpukau. Seperti disihir.
“Kopi? Sandwich?” Andrey cuba berbual, cuba simpan momen itu lebih lama.
“Surprise me.”
Senyuman Sophia terbit, lembut… Dan di celah hujan, Andrey sedar, dia sedang jatuh. Jatuh bukan dari atas ke bawah tapi luar ke dalam… ke dalam satu perasaan yang tak ada satu guru pun boleh ajar.
Di saat itu, sambil hujan menari deras di atap dan Harvey Malaihollo berdendang di celah jukebox, Andrey tahu dia dah masuk perangkap… perangkap cinta pertama.
Dan perangkap itu terlalu indah untuk dia selamatkan diri.
Nyaman angin pagi meniupkan getar hangat ke seluruh tubuh. Motor belum siap, jadi Andrey redha berjalan kaki ke perhentian bas. Kawasan perumahan redup, dikelilingi pohon rendang yang seakan mendoakan tiap langkahnya. Burung-burung berkicauan, mencipta simfoni pagi yang menyatukan tubuh dengan tanah, jiwa dengan langit.
Dia tarik nafas panjang. Dalam segar udara pagi, ada rasa syukur yang sukar diterjemah. Masih dapat mendengar suara alam. Masih dapat melihat warna bumi. Masih dapat berjalan, kuat dan gagah. Segala itu nikmat.
"Kalau naik kereta, semua ni meluncur laju. Tapi bila kau jalan kaki, setiap daun pun sempat kau sapa."
Tiba-tiba sebuah kereta berhenti di sisi. Tingkap diturunkan.
“Ada kereta pun nak jalan kaki…” Anis, si bongsu, menjenguk.
“Kenapa? Jomlah naik…” Amanda memujuk.
Uncle Black juga turut bersuara dari kerusi pemandu, “Agaknya ada mambang jemput dia. Tu yang semangat sangat nak jalan kaki.”
Andrey tersenyum. “Takpe la, uncle. Saja nak exercise sikit.”
“We know the whole story,”Amanda menjeling sambil menaikkan tingkap. Kereta pun berlalu, meninggalkan Andrey dalam damai pilihannya.
Setiap kejadian ada hikmah. Mendongak ke langit luas, dia akur pada kitab Tuhan yang sedang dia baca. Nafas syukur dihembus. Bersama kabut pagi, udara yang terhela dari paru-paru bersatu dengan nafas alam. Penyatuan itu memunculkan keinsafan. Berjalan kaki begini juga satu keinsafan dan pagi ini dia menyaksikannya lagi — setiap langkah seperti satu tasbih kecil yang dilafaz dalam diam.
Setibanya di perhentian bas, dia duduk, nyalakan rokok. Mata sayu memandang jalan. Fikirannya, seperti biasa, hanyut ke satu wajah yang selalu menyala di langit dadanya — Cikgu Sophia.
Rindu kat engkau macam asap rokok ni, Sophia... tak suruh pun dia naik walau aku hembur pergi.
Bayangan Cikgu Sophia membuat hati Andrey melonjak, seperti budak dapat hadiah rahsia. Dia tersenyum sendiri, membayangkan alasan nak curi masa di bilik makmal nanti.
Konon nak bincang Biologi — alasan paling kukuh untuk mencuri masa berduaan. Sambil menyelam apa salahnya minum air, jangan sampai kembong, sudah. Padahal hati ada benih sedang bercambah.
Dia tersengih sendirian dan ketika itu jugalah, kereta Cikgu Rina melintas dan berhenti di depannya.
Damai bertukar gelisah. Takut ada, malu pun ada. Ketenangan habis hancur musnah diganti geram. Macam mana dia tak geram, tak bengang?
Sebab engkaulah aku patah kaki tak bermotor macam ni.
Damai bertukar gelisah.
Nak tak nak, Andrey tak dapat mengelak bila cikgu Rina memanggil dan mempelawa. Kali ini, tanpa berfikir panjang, dia terus buka pintu dan melabuhkan punggung di sebelah pemandu. Mungkin sebab letih merajuk. Atau mungkin... entah. Dia tak dapat beri jawapan.
“Macam mana rasanya bila patah kaki?” Cikgu Rina bersuara lembut, seolah tahu apa yang ligat berlari dalam kepala Andrey.
Butang OFF pada pemain CD ditekan. Lagu When I Come Around terhenti.
Tanpa minta izin, Andrey tekan semula butang ON. Volume diset rendah.
“Boleh, kan? Sedap lagu tu. Saya suka.”
Cikgu Rina menjeling, tapi tak kata apa.
“Bengkel. Dua tiga hari siap.”
Andrey pandang sekilas ke wajah cikgu Rina. Wajah yang dulu menyinga kini tampak tenang.
“Cikgu suka Green Day?” Dia cuba buka perbualan.
“RHCP pun saya layan,” balasnya, acuh tak acuh.
“Cool… Saya suka Macy’s Day Parade.”
Sunyi, tapi tak menekan. Sunyi macam dipeluk.
Andrey tenung luar tingkap. Lalu, dengan suara yang pelan tapi jujur, dia berkata, “terima kasih, cikgu. Cikgu dah ajar saya.”
Bukan tentang ekonomi. Tapi tentang makna lain yang jauh lebih dalam. Itulah yang nuraninya cuba sampaikan. Dan bila sesuatu datang dari situ, Andrey tau, ia bukan gurauan.
Your thoughts mean so much and help me improve my writing. If you enjoyed the post, I’d love to hear more from you— your ideas make this space more engaging for everyone. Thank you for commenting. Let’s keep the conversation going!