Join The Journey
“Semalam Sophia kata dia nak tumpang kereta letak kat sini. Tak payah kita jemput.” Rina memaklumkan sewaktu mereka sibuk mengemas apa yang patut untuk dibawa sementara menunggu Sophia sampai.

Cuaca baik pada pagi Selasa itu. Awal-awal lagi Andrey dah bangun sediakan tiga jenis sandwich, tuna dan cheese— kegemaran Sophia dan Rina. Roast beef untuk dia. Kopi dan teh juga dah dibancuh siap-siap dalam dua buah thermos. Tugas Rina pula, menguruskan bahagian pakaian.

“Ni first time la bawak kereta ni jalan jauh,” kata Andrey sambil menggilap tubuh hitam 4WD hadiah daripada mak dan abah.

“Sayang abah awak tu kat awak. Saya waktu umur awak, naik motor je, tau?”
“Ohhh patutlah... Motor apa? Aprilia?”
“Tak mampu saya motor mahal. Skuter je.”

Perjalanan dijadualkan sebelum tengah hari namun, panggilan telefon yang Rina terima lebih kurang jam lapan pagi telah membatalkan semua rancangan.

“Cik Ireena dan Encik Andrey satu-satunya nama yang terdapat dalam senarai kontak Cik Sophia dalam telefon bimbitnya.” Kata Doktor Kaur sebaik saja mereka sampai di hospital.

“Apa dah jadi?” Tanya Andrey, cemas. Jantung yang berdegup laju kini semakin laju. Terasa seluruh badan berpeluh.

“Not again...” Terdengar Rina berbisik.

“Dia ditemui tidak sedarkan diri dalam kereta miliknya, di Tanah Perkuburan Tasik Biru awal pagi tadi. Orang yang menemui telah menghubungi pihak hospital dan dia terus dikejarkan ke mari.”

“Boleh kami masuk, doktor? Saya nak jumpa dia.” Pinta Andrey. Kakinya dah pun melangkah ke arah bilik di mana Sophia dirawat. Bimbang bergetar dalam darah.

Doktor Kaur menahan dengan memegang bahunya. “Sabar, encik,” katanya, lembut. Badan Andrey terasa lemah. Rina yang dah mula menangis membuat dia semakin cemas sampai menggeletar seluruh tubuh. Airmata Rina makin deras. Doktor Kaur memandang mereka berdua.

“Cik Rina dan Encik Andrey kenal keluarga Cik Sophia?”

“Ye, saya kenal...” Jawab Rina dalam tangisnya.

“Sila hubungi mereka.”

“How is she?” Andrey meminta kepastian.

“Cik Sophia ada rekod Major Depressive Disorder. Cik berdua tau tentang itu?”
“Ye, kami tau.”
“Bukan itu je, Cik Sophia juga ada masalah sleep apnea dan arrhythmia.”

“Dia tak pernah cerita tentang itu.” Rina menoleh kepada Andrey, mencari jawapan.

Andrey menggeleng, “dia tak pernah cakap apa-apa tentang masalah tu.”

Sudden cardiac death resulting from heart arrhythmia. Itu akan kita pastikan selepas bedah siasat. Kami dah cuba. Saya minta maaf.”

Dunia terasa seperti terbelah dua dan dia berdiri di tepi jurang. Segala kenangan mereka, gelak tawa, rahsia yang dikongsikan, kini diselubungi kabus. Dia cuba untuk menembusi kabus itu, cuba untuk menarik Sophia keluar tapi sayang, Sophia terus tergelincir lebih jauh dan terlepas.

Berita tragis itu kedengaran palsu, seolah-olah satu mimpi. Bagaimana seseorang boleh hilang begitu saja dari kewujudan? Bagaimana masa, segenggam pil atau beban yang tidak kelihatan dapat melenyapkan sebuah nyawa? Ketika kebenaran mula meresap dalam kesedaran, jantungnya seakan putus. Kesedihan menakluk seluruh jiwa dan keberadaan.

Rina mahu menjerit, menangis, melakukan sesuatu untuk memutar semula apa yang telah berlaku— mengembalikan semalam. Namun kini yang tinggal hanyalah airmata yang mengaburi pandangan. Tubuhnya lemah, menggigil dengan rasa bersalah. Suara penyesalan bersahutan, berterusan. Kalaulah dia lebih banyak memberi masa, mendengar dengan lebih baik, atau mengorbankan perasaan, mungkin Sophia masih di sini. Rina tidak dapat berfikir dengan pasti lagi.

Semuanya dah terlambat. Terlalu lambat untuk sebuah penyesalan malah terlambat untuk apa-apa pun. Dia hanya dapat mengenang semua kenangan dengan kekesalan yang akan terus menghantui. Rina membenci dirinya ketika itu kerana butatak dapat melihat semua ini datang. Kalaulah dia ada kuasa itu, akan dia bunuh kematian sebelum kematian mengambil Sophia dan Hans.

Rina meraung, gagal mengawal perasaan. “Mengapa jadi macam ni?” Dia jatuh di riba Andrey yang terduduk di lantai hospital.

Airmata Andrey berderai membasahi rambut Rina. Degup jantung bagai terhenti. Kaki rasa tak jejak bumi, perasaan melayang entah ke mana. Jauh. Terlalu jauh. Hati Andrey hancur, remuk, pecah, berkecai, berdarah. Otak membeku, dia tak boleh fikir apa-apa. Terasa rohnya ikut sama terbang. Terbang mencari dia. Dia yang dah pergi, hilang untuk selamanya...

Andrey benar-benar rasa kehilangan. Semua kata-kata, gurauan, ekspresi wajah, suara, kenangan dan sentuhan, bergema di segenap penjuru kewujudan. Darahnya seakan berhenti mengalir. Dia kaku tak bergerak. Yang bergerak hanyalah sungai airmata. Sendu bertukar menjadi esakan. Esakan bertukar jadi rintihan dan rintihan akhirnya diganti raung.

“Sophia kenapa kau tinggalkan aku? Aku sayang kau, Sophia... kenapa kau pergi macam ni? Kenapa tinggalkan aku? Sophia... aku tak nak kehilangan kau...” Andrey menumbuk-numbuk lantai hospital, cuba mengusir sebuah kenyataan.

Menyokong diri masing-masing, Rina dan Andrey berjalan lemah ke arah katil yang menempatkan sekujur tubuh Sophia yang terbujur kaku. Perlahan-lahan doktor menyelak kain putih yang menyelubungi wajah Sophia. Pucat.

Andrey menyorokkan mukanya di bahu Rina. Tak sanggup dia melihat sebuah hakikat— Sophia dah tak ada lagi. Tak akan ada lagi suaranya. Senda guraunya. Airmatanya. Senyumannya. Yang ada hanyalah kenangan. Dia terpaku pilu, hanya gerak mata memandang sekeliling bilik, mencari-cari semangat Sophia, namun dia tak dapat melihat apa-apa. Pandangannya terhalang oleh airmata. Kabur. Kelabu. Hanya tangisan dan rintihan Rina mengisi ruang kamar yang dingin dan tangisan itu telah memekatkan kekaburan warna kelabu sebelum bertukar hitam. 

Hati Andrey terasa kebas. Badannya terasa ringan. Kaki tak lagi menjejak bumi. Dia mendengar suaranya sendiri memanggil-manggil nama Sophia, bergabung dengan suara Rina yang meratap sebuah pemergian. Dalam binar pandangan mata, dia melihat Rina menggoncang bahu Sophia dengan lembut seperti yang sering dia buat setiap kali mengejutkan Sophia daripada tidur. Tapi hari itu, di situ, ketika itu, tiada apa yang dapat membangunkan Sophia dari tidurnya. Tidak lagi.

Jasad Sophia Rina peluk. Satu pelukan terakhir, kukuh dan padu. Badannya menggigil, sejuk, seolah-olah kedinginan dari tubuh Sophia yang kaku meresap di bawah kulitnya, menenggelamkan esakannya.

Tiba-tiba suasana menjadi sunyi. Esakan terhenti. Dia terlepas daripada dakapan Andrey lalu rebah di sisi Sophia.

“Sayang...” Jiwa Andrey yang terbang mencari jiwa Sophia, menyatu kembali dengan tubuh. Dia menyingkirkan air dari mata, membawa kaki menjejak semula hospital.

“Cik Ireena terlalu sedih, cemas. Tekanan darahnya menurun. Intense emotional stress boleh menyebabkan ini. Biarkan dia berehat.” Terang Doktor Kaur. “Encik jangan risau. Kuatkan hati. Cik Ireena perlukan sokongan itu.”

Tangan Andrey yang sejuk menyentuh wajah Rina yang kelihatan pucat. Rambut dan dahi diusap. “Tolonglah kuat. Saya perlukan awak untuk kuat. Jangan awak pula tinggalkan saya.” Bisik Andrey ke telinga Rina. Dia cuba hentikan airmata tapi sayang, dia tak kuat, dia begitu rapuh,  menggigil. Seluruh tubuhnya menggeletar dengan kesedihan, dengan ketakutan.

“Sayang...” Terdengar suara lesu Rina memanggil. Dia menyentuh lemah tangan Andrey. Cepat-cepat Andrey sambut dan menggenggam tapak tangannya.

“Rina, my love...” Tangan Rina yang sejuk Andrey cium. Kesejukan itu meresap ke dalam kulitnya, bergetar dengan kesedihan.

“I'm not dreaming, am I?”
“Please be strong.”

Pintu diketuk. Seorang jururawat menghulurkan senyuman kepada mereka. “Tekanan darah dah normal. Heart rate, baik. Cik rehat dulu sampai rasa OK baru boleh balik.”

“Terima kasih.”

Jururawat tersebut berlalu meninggalkan bilik pesakit dan membenarkan seorang pegawai polis masuk ke kamar untuk bertemu Andrey dan Rina. Pegawai polis itu menyapa mesra namun wajahnya menunjukkan simpati. “Cik Ireena dan Encik Andrey?” Dia memperkenalkan diri. Sepucuk surat bersampul biru dia serahkan ke tangan Andrey. Di atasnya tertera dengan kemas nama mereka berdua— buat Rina dan Andrey.

“Pihak kami jumpa dalam kereta Cik Sophia.” Pegawai polis bernama Inspektor Norman menundukkan kepalanya sedikit, tanda hormat. “Ini kad saya. Jika ada apa-apa, cik berdua boleh hubungi saya. Bersabarlah...” Katanya dan berlalu.

Read it, sayang.” Pinta Rina, tak sabar nak mendengar isi surat.
We do it at home, OK. You must rest. Tak nak nanti jadi lagi macam tadi.”
“Dah dua kali...”
“Shhh... Sayang, let's not talk about it. Not now.

𝄞

You feel better, sayang?” Tanya Andrey sambil membantu Rina duduk di atas katil.

“Yeah...”
“Sure, you don't want to eat?”

Dia menggeleng. Andrey sendiri sebenarnya tak ada selera nak makan.

“Dugaan ni berat untuk kita. Saya faham, lebih berat untuk awak sebenarnya. Apapun, kita kena kuat. Saya nak awak kuat.”

“Kejadian dua kali dulu dah cukup buat saya trauma...” Rina tak menyudahkan kata-kata. Mukanya ditekup ke dada Andrey.

“Saya tau, Rina. Saya tau... Sabarlah...”
“Saya sayang dia macam darah daging saya sendiri.”
“I love her too. As our friend, your sister, my teacher.”
“Read the letter, sayang, please...”

Andrey bantu Rina bersandar di kepala katil. Airmatanya dikesat sebelum surat itu di keluarkan.

“You sure? If you're not ready, we can read it later.”
“Let's read it now, it will make me feel better. Please.”

Surat bersampul biru Andrey keluarkan dari laci. Dia bawa Rina dalam pelukan lalu surat itu mereka baca bersama.

Surat itu bertarikh empat bulan sebelum kejadian.

Terusan Tasik Biru
31 Julai, 2010

Buat Rina dan Andrey,
saudara yang aku sanjung dan sangat aku sayangi, yang aku cinta sepenuh hati.

Kadang-kadang sesuatu lebih baik dibiarkan tanpa kata. Tapi kepada korang berdua, aku nak sampaikan kasih sayang aku dalam surat ni. Penghormatan tertinggi dan cinta kasih yang terdalam. Bukan apa, seandainya nanti ada apa-apa terjadi kepada aku, surat ini pengganti diri.

Aku tak tau bagaimana nak memulakan, tapi itulah maksudnya— tiada perkataan yang benar-benar dapat menjelaskan semua yang aku rasa. Sesuatu dah mendorong aku untuk menulis wasiat. Ini untuk kau dan Andrey dan sebahagian yang lain boleh kau temui dalam laci meja bilik aku di apartmen.

Aku dah cuba memikul walau aku tak larat. Tersenyum saat aku tak mampu untuk tersenyum. Cuba memberi yang terbaik sedangkan jiwa aku berantakan. Maaf sebab banyak yang aku sembunyikan. Bukan sebab aku tak percaya tapi aku tak tau nak cakap mana mana... dan aku rasa tak adil untuk engkau, berkorban demi aku.

Rina,
Kau cahaya aku dalam gelap. Kau selalu ada tak kira masa atau apa pun dan aku amat berterima kasih untuk itu. Tapi aku letih, Rina... letih sangat. Kaulah satu-satunya sebab aku bertahan. Kau bawa ketawa dalam hidup aku sewaktu aku hilang dalam tangisan, sewaktu aku tak kenal siapa aku lagi. Kasih sayang kau, Rina... macam Hans, kau terunggul. Kau tetap mengasihi aku walaupun aku tak dapat nak sayang diri aku sendiri.

Aku harap kau faham, jika ditakdirkan aku tak ada lagi, itu bukan pilihan dan keputusan aku tapi atas kehendak takdir. Kau akan tahu mengapa. Tolong jangan salahkan diri engkau, jangan kesalkan apa-apa pun sebab kau dah buat yang terbaik, lebih daripada yang boleh dan sepatutnya kau buat.

Maafkan aku, kerana kita tak dapat bersama untuk semua saat yang kita impikan— perkahwinan aku dan Hans— engkau dengan Andrey— perbincangan lewat malam kita, masa depan yang selalu kita bayangkan. Tapi aku nak kau jalani semua itu sepenuhnya, untuk kita berdua. Untuk Andrey. Semangat aku akan sentiasa bersama engkau dan Andrey. Aku janji, cuma agak berbeza daripada apa yang kita harapkan.

Jaga diri untuk aku. Tetaplah menjadi seorang yang kuat dan hebat— Ireena Joseph yang aku kenal. Dan setiap kali kau memikirkan aku, ingatlah masa-masa kita yang indah, gelak ketawa kita, saat-saat yang kita kongsi ketika dunia terasa begitu jujur dan sempurna. Aku akan mengingati engkau dengan cara yang sama.

Rina sayang, kau adalah belahan jiwaku— melengkapi apa yang aku tiada. I believe that we are two bodies housing one soul, forging a profound and powerful bond. Untuk itu, sebagai tanda terima kasih dan lambang persaudaraan kita, kasih sayang kita, aku nak hadiahkan semua milik aku yang tak seberapa kepada engkau. Kau tau siapa perlu kau cari dan mereka juga akan mencari engkau. Gunakan semua tu untuk masa depan kau dan Andrey, pelajaran kau, cita-cita kau— semua yang pernah kita mimpikan bersama.

Doakan aku bahagia bersama Hans sepertimana aku doakan kau bahagia bersama Andrey. Semoga cinta suci kau dan Andrey akan berkekalan selamanya, di sini dan di sebelah sana.
You two were meant to be together just like Hans and I were destined for each other.

Andrey,
betul kata awak— adakalanya hidup ini terlalu jujur bersikap kejam. Hanyut dah sentuh jiwa saya yang paling dalam. Saya dah cuba, tapi sayang, saya tak sekuat pokok itu.

Terima kasih untuk sokongan, masa dan kasih sayang yang dah awak hadiahkan buat saya. Perasaan saya pada awak takkan pernah mati. Saya sayangkan awak. Terlalu sayang. Jaga Rina, cintailah dia dengan sebenar-benar cinta kerana awak tak akan jumpa lagi wanita sehebat dia. Dan saya nak awak tau, dalam Rina, selalu ada saya. Secebis cinta dan kasih sayang saya, ada dalam dirinya. Selalu. Sentiasa. Saya sayangkan awak, Andrey...

Benar, adakalanya saya rasakan awak adalah jelmaan Hans. The feelings are profound and sincere. Rina understands this, so there's no reason to worry. Saya rasa apa yang awak rasa dan saya tau awak juga rasa apa yang saya rasa. 

You are too real to be unreal. Too special to be true, Andrey.

Aku ucapkan selamat pengantin baru kepada korang berdua. Kalau jadi apa-apa kat aku, aku nak kau dan Andrey miliki cincin milik aku dan Hans— cincin perkahwinan aku dari Hans— cincin peninggalan arwah ibunya dan cincin untuk Hans dari aku... Itu hadiah perkahwinan korang dari aku dan Hans. Sarungkanlah ke jari masing-masing dan hidupkanlah kami serta cinta kami dalam cinta dan kehidupan korang berdua.

I'm not leaving. I'm always there, in your heart, as long as memory and faith remain alive. When a new life emerges, I am sure our souls will reunite.


Kasih sayang selamanya,
Sophia Suffiyan-Marcello

𝄞

Cuaca elok pagi itu. Pagi Rabu. Redup. Jenazah Sophia telah siap sedia untuk dikebumikan di sebelah pusara Hans, seperti yang tertera diwasiatnya yang menyatakan bahawa dia telah membeli tapak itu selepas pemergian Hans.

Kedua-dua abang Sophia turut hadir memberi perhormatan terakhir. Mereka terpaksa akur dengan pilihan Sophia untuk disemadikan di situ— bukti bahawa tiada apa yang dapat memisahkan mereka walau kematian sekali pun dan sekarang, semuanya dah terlambat. Menyesal pun tak ada guna.

Andy dan Suzie telah diberitahu. Mereka hanya dapat menyampaikan takziah dari jauh. Jacques dan Lisa turut hadir di majlis pengebumian, sama-sama menadah tangan di bawah langit yang redup ditutup awan. Kasih sayang mereka panjatkan bersama doa-doa yang tak akan pernah putus. 

Andrey dan Rina orang terakhir meninggalkan tanah perkuburan. Kaki terasa amat berat untuk meninggalkan pusara Sophia. Tapi mereka tau, Sophia kini lebih tenang, di sisinya ada Hans.

Awan berarak perlahan-lahan membuka ruang untuk cahaya matahari menembus bumi. Redup bertukar cerah. Sinar matahari terpancar di atas tanah, menghangatkan pusara mereka berdua.

Sepohon mawar putih disemaikan Andrey dan Rina buat penyeri, mengharum dan mewangikan kehidupan Sophia dan Hans di sebelah sana.

𝄢

Barang-barang di apartmen Sophia dikemas dan diasingkan mengikut apa yang tertulis dalam surat wasiat. Ada yang diminta untuk mereka simpan dan kebanyakkannya Sophia minta untuk disedekahkan.

“Saya nak sangat dia tinggal dengan kita. Sebab tu juga saya tak kisah apa pun. Saya sanggup asalkan dia... Dia tak sepatutnya dibiarkan sendirian...” Tangisan Rina umpama sungai yang berhujungkan lautan. Dia rasa bersalah atas apa yang terjadi, walaupun bukan salah dia. Andrey turut rasa bersalah, walaupun dia juga tak bersalah.

Manusia bukan sesiapa untuk meramal masa.

“Dia tak pernah setuju setiap kali saya ajak dia pindah sini. Saya faham dia perlukan privacy. Tapi Andrey, awak faham tak? Inilah yang paling saya takutkan. Ini...”

Dadanya menjadi tempat simbahan airmata lagi. Linangan tak putus mengalir sepertimana dia gagal merawat sedih yang membunuh kekuatan. Dalam dirinya, seluruh jiwa menggigil tapi dia tak mahu ketakutan itu akan melemahkan lagi semangat Rina.

“Saya tau dia sayangkan awak. Saya tak kisah nak berkongsi rasa, walau secebis. Asalkan kita dapat bersama, asalkan dia dapat bersama awak. Asalkan semuanya selamat. Itu je yang saya nak, Andrey. Saya tahu, hati awak tak boleh terima dua cinta tapi saya rela demi Sophia. Panggil saya gila, saya tak kisah. Sebab saya tak nak hilang dia apalagi dalam keadaan macam ni...”

Andrey biarkan Rina menumpahkan kesedihan di dadanya. Hanya itu yang akan dapat membuat dia tenang dan Andrey menggunakan cara yang sama sebagaimana dia menenangkan Sophia setiap kali Sophia merindukan Hans.

Rina rebah di ribaan Andrey. Dalam esakan, terdengar sendunya berlagu, “dia selalu cakap, dia seronok bila keluar, berbual dengan awak. Dia rasa kuat. Tapi dia tau saya cintakan awak. Dia tau semuanya sejak mula lagi, sayang. Tak ada rahsia antara saya dan dia.”

Andrey betul-betul kehilangan suara. Lemah. Seluruh urat saraf dan denyut nadi terasa layu, tak bermaya mendalamkan lagi ketakutan yang menyerang dari segenap sudut. Hati terasa kecut. Ketakutan itu umpama hidup tanpa siang. Semua yang terlihat hanyalah gelap.

Gelap... Dingin, sunyi dan gelap...

𝄢

Andrey mengusap lengan Rina yang duduk di sisinya di atas bangku di taman kecil mereka. Wajah Rina masih suram. Dia tak henti-henti menyalahkan dirinya.

“Don't blame yourself. You've tried... Ini dugaan yang perlu kita tempuh bersama. Kita kena kuat, sayang." Andrey memujuk lagi.

Hakikat kehilangan Sophia tak akan mudah untuk diterima. Baik dia atau Rina, mereka sama-sama terkesan. Pemergian Sophia sesunguhnya satu kejutan yang amat menyakitkan dan dia mengerti, dia harus kuat untuk memulihkan semangat Rina. Itu tanggungjawabnya. Pedih nak ditelan tapi hidup perlu diteruskan.

Rina mengesat airmatanya di bahu Andrey. “Saya tak patut rampas awak dari dia,” katanya dengan suara yang menahan pedih dan kesal.

Andrey memusingkan badan. Dia menekup pipi Rina dengan kedua belah tapak tangan. Ibu jarinya mengesat airmata yang mengalir. “Sayang, don't say that. Saya yang pilih awak. Hati saya memilih awak. Awak tak paksa, tak rampas saya daripada sesiapa pun.”

“Sedangkan saya tau dia sayang awak. Dia lebih perlukan awak.”

“Rina, please...” Andrey meletakkan jari telunjuknya di bibir Rina. “Awak pun tau, dia sendiri cakap dia tak dapat terima sesiapa dalam hidup dia selain Hans. Dia tak nak cari pengganti.”

Untuk seketika keduanya membisu. Rina melayan emosi dengan airmata. Andrey buntu. Tapi dia tahu dia perlu bagi masa. Cuma dia bimbang, jika hal ini akan menjejaskan hubungan mereka.

“Sayang tolonglah, jangan buat saya rasa macam ni. Cukuplah pedih kehilangan dia. Jangan awak tambah lagi dengan buat saya rasa menyesal, serba salah... Bersalah...”

“Saya dah cuba pujuk. Saya memang nak sangat dia tinggal kat sini. Saya nak jaga dia. Saya tak kisah... Kalau dia tinggal dengan kita, semua ni tak kan terjadi.” Rintihan kesal terus berlagu. Rina tak mempedulikan kata-kata Andrey.

“Doktor dah sahkan puncanya. Ini bukan kehendak sesiapa pun, sayang. Sophia pun tak mintak semua ni.” Andrey cuba mengingatkan Rina kepada apa yang diberitahu Doktor Kaur kepada mereka selepas bedah siasat dijalankan. Pemergian Sophia bukan seperti apa yang Rina sangkakan walaupun Sophia pernah ada sejarah cuba mengambil nyawa sendiri dengan mengambil pil tidur dan ubat penenang berlebihan. Pemergiannya adalah akibat kondisi jantung yang lemah. Pengambilan pil-pil tidur dan ubat penenang sepanjang dia bertarung dengan depresi, masalah sleep apnea dan arrhythmia, semua itu hanya punca. Kematian boleh terjadi bila-bila masa, di mana-mana saja dan hanya kematian yang tahu mengapa. Sembunyilah di langit tertinggi atau laut terdalam— tak sukar bagi kematian untuk mencari.

“Bukan sebab awak, bukan sebab saya. Bukan salah awak atau saya. Kita sama-sama tau...” Andrey berhenti seketika, menarik nafasnya. Dia menyentuh lembut dagu Rina, mengangkat wajah muram itu, membawa mata Rina yang berkaca memandang matanya. “Sophia nak bina hidup baru. Kita tau semuanya— dia buat Master, rumah yang dia nak beli tu...” Kata-katanya tersangkut bila Rina memotong, “saya tau dia tak nak cari pengganti. Hati dan hidup dia hanya ada Hans. Tapi mungkin kalau saya tak wujud antara awak dan dia, semua ni tak akan terjadi.”

“Mungkin. Itu hanyalah kemungkinan... Kalau saya pilih dia, awak rasa semua ni dapat kita elakkan?”
“Saya tak tau, Andrey... Tak tau...”

“Redhakan pemergian dia, sayang. Sophia dah terlalu penat. Dia perlu berehat. Kita tak dapat meramal masa dan nasib. Tak ada siapa ada kuasa tu,” Andrey menyentuh bahu Rina dan membawanya dalam perlukan. “Saya ni hanya jelmaan Hans. Dan cinta yang saya bagi kepada awak bukan untuk dikongsikan,” bisiknya ke telinga Rina.

“Sayang... I feel so lost...”

I know... I feel the same and I need you as much as you need me. Kita saling memerlukan dalam menempuh kehidupan dan kita kena redha, bahawa kita perlu jalani kehidupan kita, sekarang ni, hari ni, dan untuk hari-hari akan datang— tetap bersama Sophia dalam hati kita.”

𝄢

Kotak-kotak berisi buku, sedikit baju dan barang-barang lain milik Sophia Andrey angkat untuk dipindahkan ke bilik yang pernah Sophia huni. Andrey dan Rina, mereka berdua sama-sama mahu menyimpan semua barang-barang kesayangan Sophia di situ. Rina kata, apa yang ada, biar kekal begitu.

Dia tetap menghias bilik Sophia seperti selalu. Tingkap dibuka, langsir ditukar. Andrey tak ada bantahan. Cara itu mungkin dapat meredakan kerinduannya— cara dia mengungkapkan kasih sayang.

Sewaktu mengemas bilik Sophia, Andrey ternampak sebuah kotak kayu di dalam laci almari bajunya. Lalu dia ambil dan dia bersihkan kotak yang berhabuk itu. Di luar kotak terukir sebaris ayat— Not even death can do us part.

“Rina tau apa dalam ni?”

Walaupun kotak itu tak berkunci, Andrey tak berani nak buka jadi dia serahkan kepada Rina kerana dia lebih berhak untuk membukanya.

“Oh, kotak ni... Ni hadiah Hans untuk harijadi Sophia.”

Kotak dibuka. Ada cincin, rantai, gelang dan aksesori milik Sophia serta beberapa keping kad dan surat-surat tulisan tangan. Terselit di celahan barang kemas dan surat-surat itu ada beberapa keping gambar.

“Nanti simpankan dalam album supaya jangan rosak.” Pesan Andrey kepada Rina.

Dalam kotak itu juga terdapat sebuah telefon bimbit. Rina tersenyum melihat telefon bimbit itu. “Telefon ni paling dia sayang.” Dia mengeluarkannya daripada kotak lalu membelek depan dan belakang. "Saya yang belikan. Lama dia pakai. Elok ke tak lagi entah."

Andrey kenal benar telefon bimbit itu. Telefon antik yang dia gunakan sewaktu pertama kali Sophia menjemputnya minum kopi. Rina cuba menghidupkan telefon tersebut setelah penuh dicas.

“Sophia selalu cakap telefon ni ada sentimental value. Cermat dia jaga. See, elok lagi.”

Telefon berjaya dihidupkan. Rina tersenyum. Jari-jarinya lincah menekan butang-butang, sementara Andrey hanyut dalam kenangan. Dia pernah mencemburui telefon bimbit berwarna perak tersebut. Sekarang baru dia tau, Rinalah orang istimewa yang Sophia maksudkan. Tak sedar, airmata yang bergenang kini berlinang.

“Sayang, look...” Ada nada terkejut di hujung suara Rina.

Telefon bertukar tangan. Andrey menelitinya.

Ada sebuah mesej yang gagal dihantar. Mesej yang sehari sebelum kejadian. Pada malam sebelum kejadian, secara spesifiknya. Mesej itu ditujukan kepada 'Hans'. Andrey terpanggil untuk cuba mengirim semula pesanan ringkas tersebut. Butang send pun ditekan.

There's a little bit of something me, in everything in her.

Pesanan ringkas dari nombor bernama Gadis Misteri itu terpapar di skrin telefon bimbitnya.

#

SUARA © RAY FL 2023

Join The Journey
Comments

Comments [0]