PEJAM

Sophia Izzaty
0

Rongga fikiran diredah, perasaan jatuh terperosok
di permukaan langit hati paling hujung
terbang dan jauh tenggelam
bintang digenggam, laut diselam
semakin dalam semakin kelam
bintang digenggaman jadi penyuluh.

Ini taman rahsia dipenuhi bunga-bunga tak pernah layu
sentiasa segar mekar berkembangan menyebar harum
untuk dinikmati kumbang dan unggas
yang bebas berkejaran mensyukuri alam
dan juga untuk aku yang rindu.

Rindu... kerinduan melontar gemanya
Rindu... gemanya semakin bergaung
Rindu... mahu dikejar dan mengejar begitu
bermain, berlari, menari
menangis, berbisik, ketawa, berlagu...
suara merdu alam dan lukisannya, lengkap
tak jemu buat aku tersenyum...
walau sekejap.

Relung-relung rasa ini, 
kuputuskan untuk tidak kuredah lagi.
Kini aku hanya mahu menyusurinya dengan aman.
Seperti malam tadi. Malam semalam. 
Dan malam ini, aku akan ke sini lagi.
Malam esok, tunggu aku datang.
Dengan rela aku mahu yang jadi seterusnya.

Hingga malam-malam itu menjadi hari,
tak mahu aku tidur
hingga hari-hari itu menjadi bukti panjang
yang mampu menerangkan kelamnya laut dalam.

Aku akan terus berjaga
tapi akan kubiarkan mata ini
terus senyum, 
terpejam.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Accept !