ENGKAU

Farah Lye Yusoff
0

Kau, ada saat-saatnya begitu sukar untuk dimengertikan
Andai halus awan itu membawa titis-titis hujan 
yang dipanah matahari,
maka tercenganglah manusia waktu menatap susunan warna pelangi.
Begitulah yang aku rasakan disaat-saatnya kau diam.

Kadang-kadang kita duduk bahu ke bahu tanpa sepatah kata
Hanya merenung kaki langit, di kejauhan laut lepas
atau memerhati dari atas bukit.
Sunyi bercerita tentang alam.
Tentang hati. Tentang doa. Rindu dan kasih.
Tanpa perlu bersuara.
Ajaibnya, kita bisa mendengar dan mengerti.

Ada waktunya, engkau begitu lancar tanpa belok dan sekat;
Melepas kejujuran walau menyakitkan.
Aku tahu ramai terganggu, tapi dengan engkau aku setuju.
Bukan kerana kau milikku, kekasih, teman, sahabat.
Tapi kerana engkau itu sendiri.
Engkau dan dirimu. Dirimu yang paling suling.

Seperti lukisan, bukan ramai tahu menafsir
Malah lebih banyak penafian lantaran terkeliru.
Penghayatan itu perlu dan itulah aku.

Kerana rasa bukanlah mudah untuk dipamer.
Ia adalah getar jiwa. Lebih dari sentuhan.
Lebih dari pandangan atau semua deria.
Ia hidup dalam firasat.

Kehidupanku,
kau papah setia jatuh bangunku.
Menerima kurang lebih diriku
menegur waktu aku terbawa emosi
memberi bahumu saat airmata tak mau berhenti.

Menjadi sebahagian dia, 
aku bangga dia tak pernah lupa namanya
dan tak pernah sekali mempersoalkan namaku.
Namun tetap mahu memikul setiap tanggungjawab
terhadap aku yang garang,
tetap ketawa bila aku berang.
Aku dan esensiku mahu selalu dibelai,
dimanja, disayang dan dijaga.
Didengar, difahaminya, direnung, diterokai.
Dihormat, dipimpin, dipupuk dan dilindung.
Bukan untuk dipuja.

Mengindahkan engkau,
bunuh apa juga prasangka bukan bermaksud aku taksub.
Cuma takjub selepas luar dan dalam aku hayati
Hormat yang kita kongsi,
menumpahkan rahsia satu rasa di mana-mana.

Engkau sememangnya terkadang pelik, 
nampak tak kisah.
Tapi jauh dalam hati, penuh kelembutan
yang menjadikan engkau kuat untuk melindungi aku.
Tanpa perlu bersuara, aku tahu akulah yang utama. 
Paling istimewa. 
Kau selalu buat aku rasa dan merasakan.

Harmoni adalah gabungan kepercayaan,
keikhlasan dihiasi sifat jujur.
Tunggak kekukuhan setiap kata, janji setia,
yang dipersetujui dua jiwa yang luhur. 
 Terima kasih, Sayang. Biar orang merasa pelik. Di mataku, kau tetap unik.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Accept !