"Ni dah ada Borhan, Kiah jangan risau-risau lagi. Tak ada apa yang nak ditakutkan. Tempat ni sunyi, sebab tu rasa pelik sikit. Standard la tu. Kalau jadi apa-apa, Kiah ketuk je pintu rumah Manju. Tak pun Kiah lari terus laju-laju kat abang." Harun cuba memujuk isterinya dengan gurauan, yang hanya dibalas dengan keluhan.
Malam itu, malam pertama Harun memulakan shif malam selepas seminggu ditugaskan di sebelah petang. Seperti dulusebelum berpindah, Harun bekerja ikut shif, iaitu malam, pagi dan petang di Stesen Keretapi Lama.
"Abang tak boleh tukar shif ke? Kiah tak sedap ati la..."
"Ala... tak de pe lah. Kenapalah awak ni mengecut sangat. Kan Borhan ada."
"Kiah pergi pekan semalam, ada makcik dekat pasar tu cakap hati-hati duk sini...."
"Shhhhh... dah, jangan didengar cakap-cakap orang. Muthu dengan Manju dah berbelas tahun duk sini, tengok, tak jadi apapun." Harun memotong kata-kata yang ingin Kiah luahkan. Dia sebenarnya dah bosan dengan cerita-cerita hantu, buah mulut cerita penduduk setempat.
"Awak percayalah cakap abang. Orang-orang kampung ni boring semua, itu dorang suka buat cerita tahyul nak hiburkan hati sendiri." Harun mengucup dahi isterinya sebelum keluar memulakan tugas untuk malam tersebut.
Harun sampai 15 minit selepas jam sepuluh malam. Sedikit kelewatan akibat hujan. Terpaksa dia meredah hujan renyai untuk tidak membiarkan kawan kerjanya ternanti-nanti. Di stesen tempat kerja mereka memang ada telefon, tetapi rumah mereka tidak. Telefon awam paling dekat adalah di stesen keretapi itu sendiri. Dan ada beberapa di pekan yang tjaraknya dari rumah mereka terletak lebih jauh dari stesen keretapi. Mujurlah hujan tak bertukar lebat, kalau tidak basah kuyuplah dia sesampai di stesen.
"Ayooo... hujan sudah turun," rungut Muthu sebaik saja Harun sampai.
"Tadi renyai je Muthu, sekarang dah mula lebat. Sorrylah aku lambat."
"Tara apa, tara apa. Kici punya hal. Saya pun tara boleh balik la ini macam, kena tunggu reda."
"Ha, eloklah tu Muthu, boleh lu teman saya."
"Apa makan lu bawa ini hari?"
"Nasik sama sambal, sikit sayur. Lu lapar ka?"
"Tara... ini saya ada lagi capati, tara habis makan. Nanti saya bikin kopi, boleh makan sama-sama. Sini ada dua keping lagi capati sama kari sayuran."
Ucapan terima kasih Harun huurkan berserta senyuman sambil menghulurkan rokok kepada Muthu. Hujan semakin lebat. Sebentar kemudian, Muthu keluar dengan membawa dua cawan kopi.
"Itu kerajaan cakap mau naik ini tempat. Tapi sudah lama cakap saja, apa pun tara bikin. Ini stesen, lu tengok Harun, sudah banyak lama. Ini British tinggal dulu."
Harun mengakui kata-kata Muthu. Stesen keretapi itu memang suram. Terletak di lembah. Tangganya usang. Rumput dan lumut membiak dengan subur tanpa gangguan manusia. Hanya sebulan sekali Majlis Daerah datang membersihkan kawasan. Kadang-kadang dua bulan sekali. Perkerja-pekerja di situ pula terpaksa mengamil alih tugas-tugas yang diabaikan Majlis Daerah demi menjaga kebersihan stesen.
"Eh, Maniam mana, balik awal ke?"
"Oh saya lupa mau cakap, itu Maniam, dia bini sini datang, anak sakit, dia kata. Itu Maniam sudah balik awal sedikit."
Harun mengangguk lalu menyambung, "esok Majid kerja pagi. Maniam sama lu petang. Sepatutnya ini malam saya kerja sama Jalil. Tapi bini dia beranak."
"Ya, ya, saya tau. Itu Jalil sudah banyak anak. Ini sudah enam."
"Kalau dua orang kerja malam, tara sunyi. Ini first time saya sorang jaga. Ada lain juga la rasa."
"Ayooo... lu apa mau takut? Saya selalu jaga malam sorang. Tara apa. Keretapi berenti pukul 11.40, orang kasi naik, kasi turun, kerja sudah selesai. Boleh tidur. Tara susah. Lu jangan ingat macam-macam."
"Lu lain, Muthu. Lu sudah lama, sudah faham ini tempat. Saya baru dua bulan."
Hujan yang mencurah kian reda. Sudah hampir sebelas suku malam. Muthu pulang bersama saki baki hujan lebat yang tersisa. Sunyi mula terasa. Hanya nyanyian cengkerik dan katak memecah bisu malam. Lagi dua puluh lima minit keretapi dari Selatan akan berhenti. Tiada penumpang yang menunggu untuk naik, sama seperti selalu. Jarang orang naik keretapi di situ, ramai yang lebih selesa menaiki bas untuk ke bandar-bandar lain, walaupun terpaksa bertukar dari satu pekan ke pekan lain untuk ke pekan lain. Ini kerana di pekan Lama, tiada perkhidmatan bas ekspres, kecuali bas loncat buruk yang berkhimat tiga jam sekali memasuki pekan sunyi itu. Bandar terdekat yang dibawa bas loncat tersebut terletak kira-kira 60 kilometer dari pekan Lama. Dari situ barulah mereka dapat menggunakan perkhidmatan bas ekspres untuk ke destinasi seterusnya.
Bagi Harun, tiada apa beza bertugas di Stesen Keretapi Pekan Lama, kecuali suasana sunyi amat ketara berbanding tempat kerja dulu. Di pekan tempat Harun bertugas sebelum dia berpindah, stesen keretapi terletak betul-betul dalam pekan, tidak seperti stesen keretapi pekan Lama yang terselit di pinggir pekan. Lengang. Hanya radio transistor menjadi peneman. Kalau bertugas pada sebelah siang, tidaklah terasa sangat sunyinya walaupun tetap lengang dengan kehadiran manusia. Tetapi bila kerja shif malam, ada satu perasaan ganjil Harun rasakan, apatah lagi inilah kali pertama dia bertugas sendirian pada malam itu.
Sejenak Harun terkenangkan Kiah. Hujan-hujan begini, alangkah seronoknya jika dapat tidur dalam pelukan isteri tercinta. Harun tersenyum sendirian.
"Ahh, mengapa aku tak ajak Kiah teman malam ni? Seronok jugak ada kawan berborak…" Bisik Harun dalam hati. Seminggu ini dia akan bertugas seorang diri. Khayalannya mencetuskan hasrat untuk mengajak Kiah menemaninya pada esok malam, dan kalau Kiah suka, tiap-tiap malam pun Harun mahu.
"Kucing kurap tu, maknya dah mati kena pukul dengan cina jual ikan sana tu ha," kata bini Ramli, Yati sambil mulutnya dimuncungkan ke arah kedai toukey Lim bila melihat Harun menghulurkan secebis roti canai kepada anak kucing itu.
"Kesian... Saya nak bawak baliklah. Boleh, kan?"
“Apa pulak tak bolehnya. Tak sapa peduli kucing tu.” Harun gembira dan kegembiraan itu mahu dibawa pulang ke rumah untuk Kiah.
"Eh, Run... kau duduk kuarters tu tak ada apa jadi ke?" Yati menarik kerusi dan duduk di depan Harun sambil mengelap meja dengan sehelai kain buruk yang dah sama warnanya dengan warna kopi susu.
"Jadi apa Ti? Elok je aku duduk dah dua bulan."
"Tak ada seiapa berani duk kuarters puaka tu..."
Kata-kata Yati disekat bila Ramli datang menghampiri mereka dengan bungkusan roti canai yang telah siap.
"3 ringgit je Run, semua sekali. Teh aku belanja hari ni." Kata Ramli sambil menjeling ke arah bininya. Yati terus bangun meningglkan meja, meneruskan kerja-kerja mengemas meja-meja lain.
"Orang-orang kat sini memang suka cerita hal yang tak bukan-bukan. Tak payah kau dengar sangat," kata Ramli. Kini gilirannya mengambil tempat duduk di meja Harun.
"Tapi aku kesian bini aku tu asik mengadu takut je bila aku pegi kerja... Kesian pulak aku."
"Apa yang ditakutnya? Pernah kena kacau ke?"
Harun menggeleng. "Dia cuma cakap, dia rasa tak sedap hati."
"Biasalah tempat baru. Ambik masa nak sesuaikan diri. Baru kawin lak tu."
"Tapi aku heran gak... macam tak ada siapa pedulik hal kuarters tu. Muthu dengan Manju je yang jaga rumah-rumah tu semua."
"Si Muthu... Hmm, dorang tu memang dah sebati dengan tempat tu." Sambut Ramli ringkas. Harun mengangguk.
"Ada gak aku tanya dia, bini dia, kalau pernah jadi apa-apa yang pelik. Tapi dia kata OK je semua. Selama ni dia sorang je lama tinggal situ. Yang lain pindah sebab nak duduk dekat dengan pekan, senang anak-anak nak pegi sekolah."
"Bang, roti telur tiga. Roti kosong lima." Yati datang menghantar pesanan yang baru diterima. Ramli bergegas semula meneruskan kerjanya menebar roti, meninggalkan cerita Harun tanpa sebarang jawapan atau ulasan.
Dia membuka almari besi berkarat di sudut bilik. Kuncinya tergantung dengan tag kecil bertulis “PEJABAT UTAMA”. Harun tak tahu siapa terakhir memegang pejabat ini. Pegawai sebelum dia hanya tinggalkan nota ringkas: "Stesen tidak sibuk. Kawasan tenang. Cuma jaga jadual dan pastikan suis isyarat berfungsi."
Fail-fail tersusun tidak ikut tarikh. Ada yang setebal ensiklopedia, kebanyakannya rekod perjalanan tren dan penyelenggaraan landasan. Tapi satu fail menarik perhatiannya.
"Kejadian 1987"
Dia buka perlahan. Kertas-kertas di dalam kekuningan, tepi sudah rapuh. Laporan-laporan polis, salinan kenyataan, dan satu helaian peta tangan bertanda bulatan merah pada satu kawasan berhampiran landasan lama.
Tiada penjelasan panjang. Tapi tajuk laporan paling atas membuat dahi Harun berkerut:
“Keretapi Tidak Dijadualkan – Insiden 14 Julai”
Fail itu menarik perhatian Harun. Lalu dia duduk menyelak satu per satu helaian berdebu dan menguning itu.
Sementara di rumah, Kiah tak dapat tidur. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan, matanya masih segar bugar. Perasaan aneh mula muncul sejak senja tadi. Seperti ada yang memerhati. Dia memeluk Bob, anak kucing yang lena tidur di lengannya. Kiah yang memang tak berani tidur dalam gelap membiarkan lampu tidur terpasang. Sewaktu merenung siling, dia terdengar bunyi klik, seperti tombol pintu dipulas dari dalam. Dia memandang ke pintu. Terbuka sedikit, walaupun dia yakin sudah tutup selepas ke bilik air tadi.
Kiah menahan nafas. Selimut ditarik. Bob dipeluk kuat. Anak kucing berwarna putih itu memberi sedikit keberanian dalam diri Kiah yang takut.
Di pejabat, Harun tenggelam dalam fail-fail, meneliti laporan-laporan lama. Dia membacanya seperti buku cerita. Sebuah fail ditutup. Dia menyalakan rokok, menyandarkan badan ke kerusi. Kopi dihirup, rokok disedut dalam-dalam. Fail yang baru saja habis dibaca adalah satu laporan tentang kejadian “lampu isyarat hidup sendiri pada waktu tengah malam”. Beberapa pekerja sebelum ini pernah laporkan benda sama, tapi tiada tindakan susulan. Semua laporan disimpan begitu saja.
Di waktu yang sama, lampu tidur yang menerangi bilik, tiba-tiba terpadam. Jantung Kiah berdegup kencang. Dia dapat merasakan Bob semakin mendekatkan badan kecilnya di sisi Kiah, seolah-olah turut ketakutan. Gelap. Hujan mencurah lebat diluar.
...menyala semula.
Your thoughts mean so much and help me improve my writing. If you enjoyed the post, I’d love to hear more from you— your ideas make this space more engaging for everyone. Thank you for commenting. Let’s keep the conversation going!