Angin petang menampar perlahan tingkap keretapi. Seorang wanita awal dua puluhan memakai kebaya biru muda dan rambutnya dilitupi selendang putih. Matanya asyik menikmati pemandangan hijau yang melintas bagaikan slaid memainkan gerak tari pokok-pokok getah yang berbaris panjang, berselang-seli dengan semak belukar dan tanah lapang. Di sebelahnya, seorang lelaki berkumis nipis, mengenakan kemeja berkotak biru tua dan putih, membetulkan beg galas kecil di riba.
"Jauh juga ye dari bandar," wanita itu bersuara perlahan tanpa mengalihkan pandangan dari tingkap.
"Boleh tahan, tapi tenang sikit. Tak sibuk." Lelaki di sebelahnya senyum nipis. Dia tahu isterinya itu cuba bersikap positif, walaupun dalam hati, mungkin ada sekelumit ragu. Mereka baru tiga minggu berkahwin. Terus berpindah ke pekan terpencil bukan permulaan yang dibayangkan Kiah.
Langit mendung sejak pagi. Kabus nipis menyelimuti rel, seolah-olah menyembunyikan sesuatu yang enggan dilihat. Keretapi penumpang terakhir dari arah selatan mengaum perlahan sebelum berhenti di Stesen Pekan Lama. Bunyi brek mencakar sunyi malam, menyentap angin yang tak bergerak.
Gerabak semakin melambat dan akhirnya berhenti di hadapan stesen usang. Cat dindingnya sudah luntur. Papan tanda kayu tertulis Pekan Lama condong sedikit, seolah-olah menunggu masa untuk tumbang.
Pekan yang akan menjadi habitat baru laki bini tersebut adalah sebuah pekan kecil yang sunyi, dan populasi amat kecil. Tatkala senja melabuhkan tirai, hanya nyamuk dan kupu-kupu malam sahaja yang berani melebarkan sayap. Bagi manusia yang tak bersayap, terpaksalah mereka duduk berdaulat dalam rumah sementara menunggu matahari menunjukkan muka. Ini semua disebabkan rasa takut pada kegelapan, suasana sunyi dan cerita-cerita tahyul masyarakat setempat.
Harun berdiri, menganggukkan sedikit kepalanya sebagai isyarat, "sampai dah."
Mereka turun dari gerabak. Dua beg kain, satu harapan. Platform lengang. Angin malam di pekan itu tidak menyambut mereka dengan mesra — ia sejuk, kosong, dan membawa bau besi karat bercampur dengan bau tanah. Hanya seorang lelaki tua kelihatan duduk di bangku panjang, merokok sambil termenung ke landasan. Tidak ada penumpang lain. Tidak ada pengumuman. Tidak ada suara.
Sunyi.
Ketika kaki mula menjejak tanah stesen, sejenis perasaan melintasi hati Kiah. Lantas dia pandang sekeliling. Bangunan stesen dibina daripada batu bata merah, dilindungi oleh bumbung genting. Gelap malam tak mengizinkan Kiah untuk mencerap warna atap. Tingkap-tingkap kayu kelihatan begitu kering. Semuanya tertutup. Sebuah loceng lama tergantung di atas pintu masuk pejabat stesen, bergoyang-goyang kecil tanpa bunyi bila ditiup angin.
"Kiah tunggu sekejap. Abang nak jumpa station master." Bisik Harun perlahan sementara Kiah duduk dibangku kayu di tempat menunggu. Dia menoleh ke kanan. Lelaki tua yang duduk termenung di bangku panjang sudah tiada lagi. Bersuluhkan samar cahaya lampu di ruang menunggu, Kiah nampak orang tua itu berjalan menaiki anak tangga meninggalkan stesen. "Mungkin dia kehampaan," fikir Kiah. "Mungkin orang yang ditunggu tak tiba." Dia melayan hatinya dengan kemungkinan.
"Kiah," panggil Harun kuat. Kiah agak terkejut lantas berdiri dan bertanya, "ini ke tempatnya?" Harun mendengar kebimbangan dari nafas yang dihembus Kiah. Genggamannya pada lengan Harun erat, matanya liar memerhati sekeliling— pondok menunggu condong, papan tanda berlumut dan cat bangunan stesen merekah, mengelupas macam kulit luka lama.
"Haah. Stesen kecil. Bukan banyak tren pun lalu sini. Cuma dua kali sehari." Harun tenang menjawab. Kiah tidak membalas. Dia menghela nafas panjang sambil matanya mengucap selamat jalan kepada keretapi yang mula bergerak meninggalkan stesen. Bunyi rel beradu dan bergema. Dan bila ia hilang dari pandangan, sunyi yang tinggal bukan milik dunia biasa.
Diterangi cahaya malap lampu jalan, mereka beriringan menaiki anak tangga yang mengarah ke jalan besar yang kecil. Tangga itu agak tinggi lantaran kedudukan stesen yang terletak di bawah bukit. Ia dilindung oleh atap genting yang dah terkopak dan pecah, berdiri dengan bantuan tiang-tiang besi. Cat hitamnya pun dah bertukar warna. Semuanya kelihatan begitu lama. Begitu usang. Berkarat dan merekah di sana sini. Lubang-lubang kecil membenarkan cahaya masuk tak kira matahari, bulan atau lampu jalan, membentuk garis-garis yang sama di lantai tangga.
Harun meletakkan beg di bahu jalan. Dia memandang ke kiri dan ke kanan, menanti teksi atau kereta sapu yang mungkin lalu di situ. Bas? Jangan harap. Awal-awal lagi Harun dah diberitahu bahawa perkhidmatan bas di pekan itu berakhir pada jam 8 malam.
Lama menunggu, hanya angin membawa sunyi yang melintas. Lantas saku seluar diseluk. Sekeping kertas dikeluarkan dan dia membaca dengan teliti apa yang tertera— alamat dan nombor telefon. Alamat rumah baru mereka dan juga nombor telefon seorang pekerja India yang bakal menjadi jiran— Muthusami. Harun mahu mencuba, manalah tahu jiran barunya itu dapat membantu.
Lalu pondok telefon berhampiran dengan papan tanda Stesen Keretapi Lama dihampiri. Saku seluar diseluk lagi. Gagang diangkat, ada nada dail. Harun menoleh ke arah isterinya dan tersenyum."Nasib elok," katanya perlahan. Nombor telefon didail tapi sayang, tidak berjawab. Tiga kali Harun mencuba dan akhirnya dia mengalah.
"Nampaknya kita terpaksa jalan. Tak ada siapa kita nak mintak tolong." Jelas Harun sambil mengeluarkan lampu suluh dari poket beg sandangnya.
"Abang tau ke jalan nak ke kuarters tu?"
Harun angkat bahu dan terus mengangkat beg dan kedua mereka berjalan ke arah kuarters pekerja, terletak jauh antara stesen dan pekan.
"Sesat pulak nanti." Kiah tak sedap hati. Lengan Harun dikepit rapat.
"Pekan ni kecik je, tak kan lah tersesat. Jomlah, sebelum makin lewat. "
Kira-kira sebatang rokok berjalan, langkah mereka terhenti bila sebuah kereta membunyikan hon. Seorang lelaki muda menjulurkan kepalanya dari tingkap dan menyapa mesra.
"Nak ke mana?" Tanya lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Lan. Dia membuka pintu kereta tua berwarna kelabu jenis Datsun dan menghampiri pasangan suami isteri tersebut.
"Lan." Pemuda itu menghulurkan tangan.
"Harun. Ni orang rumah saya, Kiah. Kami nak ke kuarters keretapi. Baru pindah kerja sini."
Mendengar jawapan Harun, senyuman Lan berubah menjadi hairan. Dahinya berkerut namun seketika kemudian, dia ketawa kecil lalu menawarkan diri untuk menghantar Harun dan Kiah ke kediaman baru mereka.
"Pekan ni tak ramai orang. kau orang jangan rasa pelik." Kata Lan sambil membantu Harun mengangkat beg dan dimasukkan ke dalam boot kereta. "Dari mana?" Tanya Lan.
"Selatan. Kau orang asal sini?"
Lan mengangguk. "Kalau keluar pun kena masuk balik." Ada ketawa di hujung ayat. Harun menyambut dengan gelak kecil sedangkan Kiah yang duduk di belakang kurang selesa dengan jawapan yang diberi Lan. Dalam hati, Kiah seakan tahu secara semulajadi bahawa apa yang Lan katakan tadi bukan sekadar jawapan atau gurauan.
Kereta tua yang dipandu Lan menyusuri jalan utama hingga membelok ke kiri, ke jalan kecil yang dikelilingi pokok dan semak dan akhirnya berhenti di hadapan kuarters. Lan tidak turun, sebaliknya terus minta diri.
"Cari aku kat perhentian bas di pekan kalau nak pakai kereta." Sempat dia berpesan. Harun dan Kiah merasa agak lega bila tahu ada orang yang boleh mereka harapkan jika ada kecemasan memandangkan perkhidmatan bas dan keretapi di pekan Lama amat terhad.
Kuarters pekerja agak jauh dari stesen — deretan rumah separuh papan, separuh kayu, enam pintu. Lima daripadanya kosong. Satu sahaja terbuka. Seorang wanita India berdiri di muka pintu, kain batik dililit kemas. Senyuman nipis di wajah.
“Saya Manju,” katanya, sopan. “Kami je tinggal sini sekarang. Dulu ramai. Sekarang… semua pindah.”
Suaminya, Muthu, muncul di belakang pintu. Mereka senyum — mesra tapi entah kenapa, senyum itu terasa ‘sangat tenang’. Terlalu tenang.
Harun dan Kiah dibawa ke rumah hujung — Pintu 6. Kunci bertukar tangan. Rumah itu bersih, tapi ada rasa lama yang melekat pada dinding dan lantainya. Udara dalamnya pekat, seolah-olah menunggu penghuni sekian lama.
Sebelum pasangan India itu berlalu meninggalkan mereka, Manju berpesan, “Malam nanti mungkin hujan. Jangan keluar lepas tengah malam ya.”
Kiah menoleh pada Harun. “Apa maksud dia tu?”
Harun hanya diam. Dalam fikirannya, ada sesuatu yang berbisik— ini bukan tempat biasa.
“Diaorang tu orang lama kat sini,” jawapan yang diberi Harun langsung tak memberi sebarang penjelasan kepada Kiah. Mengeluh kecil, dia membontoti suaminya yang sedang membuka pintu rumah baru mereka.
Mereka melangkah masuk. Kuarters itu agak besar, mempunyai dua bilik utama dan satu bilik kecil yang terletak di hujung rumah, berhampiran dapur yang luas. Di belakang bilik tersebut, letaknya bilik air dan jamban. Bilik kecil itu mereka jadikan stor untuk menyimpan barang-barang yang tidak dipakai.
“Sementara saja. Bila ada kekosongan kat bandar, abang minta pindah.”
"Baru sampai, tak payahlah fikir pasal pindah."
Harun memegang bahu isterinya sambil tersenyum. "Abang nak pastikan hanya yang terbaik untuk Kiah. Tapi bila kita dah lama kat sini dan Kiah rasa sesuai, suka dengan tempat ni, kita tak payah ke mana-mana."
"Asalkan dengan abang, Kiah tak kisah."
Malam itu, bunyi cengkerik jadi muzik latar. Kiah yang terlalu penat terus terlena selepas menjamah makan malam yang mereka bawa. Harun pula tak dapat lelapkan mata. Lalu dia duduk di ruang tamu, merenung masa depan. Asap rokok berkepul-kepul memenuhi ruang. Kopi yang dihidang Kiah sebelum isterinya itu masuk tidur semakin menyejuk. Sesekali fikirannya melayang ke stesen, memainkan kembali apa yang dilihatnya tadi.
Di dalam pejabat, banyak fail-fail terbiar. Keadaannya agak bersepah memenuhi meja dan rak-rak berhabuk tapi seakan tak pernah disentuh. Kertas-kertas dan fail-fail tersebut bagai menyimpan sejarah yang menunggu untuk dibuka.
Station Master yang sepatutnya menjemput kedatangan mereka, tak ada di pejabat. Hanya terdapat satu nota di atas sebuah kadbod yang tertera tulisan, "sedang berehat. Akan kembali dalam sejam."
Harun berbaring di atas kerusi rotan yang sedia ada dalam rumah itu. Bersama fikiran-fikirannya, akhirnya dia terlelap.
~
Angin pagi menyapa muka apabila tingkap dibuka. Kiah menggosok mata, memandang suaminya yang tersenyum. "Awal abang bangun," kata Kiah sambil melirik ke arah jam di dinding.
"Kiah letih sangat, abang tak nak kacau. Jom, bangun minum kopi. Abang dah buat sarapan."
Sebaik ayat itu dihabiskan, kedengaran pintu diketuk. "Harun, hello… Harun... Harun..."
"Tu mesti Muthusami, jiran kita," kata Harun dan berlalu ke depan, membuka pintu.
"Good morning!" Sapa Muthusami mesra berserta senyuman lebar.
"Muthu, masuk lah…"
"Eh tak payah… sini saja. Lu orang sudah sarapan ka? Saya dan Manju mau sarapan bawah itu pokok. Marilah join kami."
Harun ketawa sambil menjengukkan sedikit kepalanya ke luar pintu. Dapat dia melihat Manju sedang duduk mengatur pinggan mangkuk di sebuah pangkin kayu.
"Langkah kanan nampaknya kita," kata Harun kepada Muthusami. "Kami pun baru nak sarapan ni. Saya ada masak nasi goreng. Nanti kami bawa ke luar."
"Bagus, bagus. Saya sana tunggu, OK?"
Lekas-lekas Harun memberitahu Kiah tentang pelawaan jiran mereka. Dia membantu membawa hidangan ke bawah pokok di mana Manju dan Muthu sedang menunggu.
Kuarters tersebut hanya didiami suami isteri berbangsa India itu sebelum Harun dan Kiah berpindah ke pekan Lama. Menurut Muthu, dah lama rumah-rumah itu kosong semenjak Jalil dan Maniam berpindah ke pekan, menyewa rumah lain. Bila ditanya mengapa mereka tidak hanya menetap di kuarters tersebut, jawab Muthu, "saya tara taulah... mungkin sebab itu orang sudah anak ramai, sekolah senang mau pigi, pekan juga duduk." Begitulah jawapan yang diberikan Muthu.
"Lu tara anak ka, Muthusami?" Tanya Harun.
"Tarak lah... sudah dua kali ada jatuh juga. Saya sudah takut," isteri Muthu, Manju menjawab tanpa teragak-agak.
"Ini perempuan banyak lemah. Satu bulan mengandung, pengsan sudah ada lapan belas kali."
Harun dan Kiah ketawa mendengar jawapan jiran baru mereka. Dihidangkan dengan capati dan kari ayam, air tangan Manju, pagi itu mereka berempat duduk berbual di halaman, dalam acara suaikenal.
"Saya sini kirja sudah banyak lama. Saya satu orang saja sini kirja lama. Ramai lain dulu, sudah pindah. Tara tahanlah, ini pekan banyak sunyi, banyak boring. Saya kalu tara apa. Saya kampung tara jauh, seberang sana juga. Satu bas, 10 minit sudah sampai. Basikal kalu, pelan-pelan kayuh, 30 minit sampai. Saya banyak suka ini tempat. Tara bising." Terang Muthu.
"Lu memang sini asal ka, Muthu?"
Muthusami yang berambut kerinting dan nipis di tengah-tengah, menggeleng-gelengkan kepala.
"Ini saya bini punya kampung. Saya asal Ipoh. Sudah kawin sama Manju, saya kerja Ipoh, driver lori. Sudah dapat ini kerja, sini pindah. Saya bini mau dekat sama dia keluarga." Harun dan Kiah berpandangan dan bertukar senyum.
"Sama macam saya. Baru kawin sudah kena pindah."
"Lu mana kampung?"
"Kami sama-sama kampung dekat Melaka. Tanjung Keling."
"Banyak jauh sini mari." Kata Manju sambil mengisi cawan-cawan teh yang dah kosong.
"Apa boleh buat, mau cari makan. Ini kerja banyak senang. Saya dulu kerja kilang saja. Sudah bertunang rezeki mari, dapat ini kerja. Dua tahun sudah cukup duit, saya kawin dia." Mereka berempat ketawa mendengar cerita Harun. Sememangnya Harun berharap benar dapat kerja tetap. Pernah dia cuba memohon untuk jadi askar dan polis tetapi tidak berjaya. Kerja di kilang walaupun lebih baik dari menganggur, tetapi pendapatan sangat kecil. Harun mahukan lebih dari itu. Dia mahu memberikan kehidupan yang nyaman buat Kiah.
"Betul-betul. Saya setuju. Riziki mana-mana juga ada. Mau rajin, apa pun mesti jalan. Malas kalu, tara makan."
"Sini banyak tanah kosong. Itu belakang luorang boleh bikin kebun sayur juga. Saya sama Muthu tara beli sayur, sindiri tanam, sindiri makan," sambung Manju sambil menundingkan jarinya ke sebelah kiri rumah mereka yang subur dengan tanam-tanaman.
"Betul tu, cadangan yang baik. Kita pun boleh buat, Kiah. Nanti tak lah Kiah bosan, boleh sama-sama Manju tanam sayur, tanam bunga."
Kiah hanya mengangguk. Matanya memerhatikan sekeliling. Kuarters tempat mereka tinggal itu dibina khas untuk menempatkan pekerja-pekerja keretapi. Entah berapa puluh tahun usianya, tidaklah tercapai di akal Kiah untuk menjangkakan. Namun dari segi reka bentuk, sudah tentu ia tinggalan penjajah British dulu. Cat mengering dan memudar, tiada tanda-tanda dijaga baik oleh majikan. Namun keadaan dalaman rumah masih elok dan cantik.
Sewaktu berpindah masuk, rumah itu kosong dan sangat bersih. Menurut Muthu, dia dan Manjulah yang membersihkan rumah itu bila mendapat tahu mereka akan menyambut kehadiran jiran baru. Mereka rasa gembira dan senang hati kerana sudah lama hidup tak berjiran. Rumah terdekat terletak kira-kira satu kilometer dari kuarters tersebut. Memang jarang orang lalu di situ, kecuali yang menghala ke stesen keretapi.
"Itu stesen, banyak sunyi. Satu hari dua kali keretapi berhenti. Satu kali pagi, satu kali malam. Jam 9.40 dari Selatan. Dari utara satu berhenti tengah hari, satu malam, jam 11.40. Lu nanti boleh tengok jadual di stesen."
"Ramai orang naik dari sini?" Tanya Harun.
"Turun naik, tara ramai. Malam tara siapa mau datang sana. Dulu ada worung, orang ramai duduk main dam minum kopi, tapi semenjak itu worung sudah tutup, sini banyak sunyi. Lu mesti bawa bekal, kawan. Sana air panas ada boleh masak, boleh bikin kopi, tapi makan lu sindiri misti bawak."
"OK, OK. Tak jadi hal. Bini saya banyak rajin masak. Banyak sedap. Eh, Muthu, tapi mengapa warung tu tutup? Dah lama ke tutup?" Tanya Harun, ingin tahu lebih lanjut tetang tempat kerja mereka.
Agak lama Muthu berdiam, sambil mengalih muka ke arah wajah Manju, dia mula membuka cerita. "Dulu itu worung Wak Karto punya kedai. Dia bini ada dua. Satu dia kasi jaga itu worung. Satu lagi jaga kedai di pekan. Itu bini muda jaga worung punya nama Maya, sangat muda, banyak cantik. Indon mari. Ramai laki-laki datang mau cuba nasib. Itu Wak Karto sudah banyak tua... tara sesuai la." Muthu berhenti. Muka Harun dia pandang tepat-tepat. Harun mengangkat kening, mahu Muthu lanjutkan ceritanya.
"Sudah lama itu worung tutup. Ada kematian. Bini muda Wak Karto sana mati, kena bunuh. Tapi tara tau itu siapa punya kirja. Itu malam juga Wak Karto mati, dalam bilik air, dia satu orang juga. Bini tua kena tangkap, polis syak itu Kamsiah bunuh mereka dua laki bini. Tapi saya tak rasa itu macam."
"Kenapa?"
Muthu menggeleng. Manju memegang tangan suaminya yang hitam berbulu.
"Sekarang tara tau lagi apa cerita. Itu Kamsiah masuk lokap banyak lama. Dengar cirita, dia sudah jadi gila, masuk mental hospital. Itu pasal itu worung kasi tutup. Kedai runcit Wak Karto juga tutup. Mereka ada satu anak, sama Kamsiah bini tua, anak laki-laki... sudah besar tapi tak pernah balik ini pekan. Lain saya tara tau. Cirita lama lah..."
"Kalau bukan Kamsiah yang bunuh, sapa yang bunuh dorang?" Cerita Muthu menarik perhatian Kiah yang yang hanya mendengar dan mendiam agak lama. Kemusykilannya disuarakan.
"Saya tara tau... Ini kes dia juga lama sudah. Polis percaya itu Kamsiah bunuh. Tapi saya sama Kamsiah lama kenal. Banyak bagusla itu kaka. Dia hati sangat baik. Saya tau dia tak ada dendam sama Karto atau Maya. Ini ada orang dengki atau mau curi, atau apa saya tak taula."
Buat beberapa ketika mereka semua terdiam. Masing-masing dengan fikiran masing-masing. Harun dengan tanda tanya, Kiah dengan rasa tak sedap hati, apa lagi bila dia memandang suasana sekeliling yang suram dan sepi. Namun jauh di fikiran Manju yang masih memegang tangan Muthu, ada sesuatu yang tergambar di matanya bersama cerita yang Muthu singkapkan kepada jiran baru mereka.
Dalam sesi suai kenal antara ke dua keluarga tersebut, sempat juga Muthu menerangkan bahawa berhampiran dengan kuarters tersebut, terdapat kubur Islam yang bersebelahan dengan kubur Cina. Tak berapa meter dari kubur Cina ada kubur Kristian dan di sebelah kubur Kristian ada kubur Hindu. Sepertinya, kubur-kubur yang terdapat di pekan Lama sungguh majmuk. Kiah pula masih leka memerhati segenap penjuru kawasan kuarters tersebut. Ternyata tempat itu aman dengan pokok-pokok menghijau, menyegarkan suasana. Namun, ada sesuatu yang buat Kiah rasa tak sedap hati. Entah mengapa, dia merasakan bagai ada keganjilan dan misteri di tempat yang baru mereka diami itu.
Malam itu hujan mula turun sebelum jam sepuluh. Bunyi titisan menghentam atap genting kedengaran seperti langkah yang tak mahu berhenti. Rumah itu bergegar perlahan bila angin menyapa.
Bayang seseorang berdiri di depan kuarters.
Tak bergerak. Tak berlalu.
Sekadar menunggu.
Your thoughts mean so much and help me improve my writing. If you enjoyed the post, I’d love to hear more from you— your ideas make this space more engaging for everyone. Thank you for commenting. Let’s keep the conversation going!