Abjad rumi bermula dengan A
Jawi dengan Alif.
Nombor satu adalah yang pertama,
sayangnya, dia adalah nombor yang sepi.
Nyawa bermula dengan cinta,
penyatuan rasa dan keghairahan
membuahkan kualiti juga kuantiti.
Mana yang membawa makna diri?
Ada yang tak kenal huruf langsong,
jawi apatah lagi.
Kira-kira menjadi kebencian,
lalu logik disingkir tanpa alasan yang logik.

Dari Adam dan Hawa atau evolusi?
Siapa mencipta agama?
Mereka yang gila kuasa atau wahyu tanpa bukti?
Mana nak diikut?
Itu terpulang diri.
Itu terpulang mentaliti.
Terpulang pendirian, jati diri.
Atau terpulang pada penaakulan dan kedaifan gagasan?
Semuanya bergantung kepada akal yang diberi percuma.
Tapi ada yang menyifatkan logik penyebab kesesatan.
Hakikatnya logika membuktikan kesesatan berpunca dari kealpaan
dan menafikan ilmu mantik.
Mengapa Tuhan membekalkan akal?
Untuk digunakan sebagai cahaya penerang jalan,
menuju keabadian sejahtera
atau sebagai kegelapan
yang menjurus kepada
kesesatan hakiki?