Amira

Ray FL

Cinta pertama aku gagal, 
tapi tak aku kesal
kerana perkataan paling bijak waktu itu
adalah selamat tinggal.

Pesona cinta pandang pertama buat aku lupa,

cinta itu bukan sekadar penyatuan rasa.
Cinta itu material. Cinta itu, sensual. Seksual.
Cinta itu fisikal. Aku mahu lebih dari itu.
Mental dan intelektual. Emosi dan psikologi.
Aku mahu menjejak hidup
dan semua kesengsaraan yang dijanjikan
dalam hidup ini.

Dialah perempuan itu.

Dia pandang pertama, 
aku terjerat dalam cinta yang dia cipta.
Aku lemah, aku kalah. Aku menyerah.
Aku dijajah.
Semuanya. 
Waktu, material, kesetiaan. Hati, jiwa dan raga.
Semuanya, untuk dia.
Amira, cinta pertama.

Waktu berlalu, dalam kejahilan emosi   
aku cuba lengkapi semua mahumu
Semua keinginan. Aku hanyalah orang yang percaya.
Tapi aku gagal mengembalikan Amiraku ke dunia nyata.
Dia hanyut.
Dan aku terpaksa mengucapkan selamat tinggal
kerana Amira,
aku bukan orang yang setaraf dengan citarasamu.
Aku hanyalah aku
yang percaya pada semangat cinta.
Sedangkan engkau percaya
bahawa material adalah segalanya.

Tiga tahun, Amira...
Aku mencari diri sendiri, berteman bayangmu yang suram.
Kadang-kadang dicabar rindu. Tetap aku bertahan. 
Tak pernah aku kesalkan selamat tinggal.
Apa yang aku kesalkan adalah
kejahilan diri sendiri
dalam menghurai semua maksud, niat dan fikiranmu.

Sejak hari itu aku mula belajar

dari hidup dan kesempatan yang diterima,
aku dewasa dengan lebih percaya.
Tiada dendam Amira, kau tetap cinta pertama.
Cuma ada satu tanda tanya,
mungkinkah kau juga telah mempelajari sesuatu
kesan dari ucapan selamat tinggal itu?


Tags

#buttons=(Accept!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Ok, Go it!