Join The Journey
Kau...
Ada saat-saatnya begitu sukar untuk dimengerti. Andai halus awan itu membawa titis-titis hujan yang dipanah mentari, maka tercenganglah manusia ketika menatap susunan warna pelangi. Begitulah yang aku rasakan bila engkau diam.

Kadang-kadang kita duduk bahu ke bahu tanpa sepatah kata, hanya merenung kaki langit. Melihat laut lepas di kejauhan atau mengamati panorama dari atas bukit. Mendengar sunyi berbicara dengan alam dan alam berbicara kepada kita, tentang hati, doa, rindu, dan kasih. Tanpa perlu suara, ajaibnya, kita bisa mendengar dan mengerti.

Ada waktunya engkau berbicara lancar tanpa belok dan sekat. Melepaskan kejujuran walau kadang menyakitkan. Aku tahu ramai yang terganggu, tapi dengan engkau, aku setuju.
Bukan kerana kau milikku— kekasih, teman, atau sahabat. Tetapi kerana kau adalah dirimu. Dirimu yang paling suling.

Seperti sebuah lukisan yang memerlukan penafsiran, engkau penuh makna. Meski banyak yang keliru atau menyangkal, aku tetap menghayatimu. Kerana rasa bukanlah sesuatu yang mudah dipamerkan. Ia adalah getar jiwa— lebih dari sekadar sentuhan, pandangan, atau gabungan deria. Ia hidup dalam firasat.

Kau hadir untuk hidup di dalam kehidupanku. Untuk memapahku saat aku jatuh dan bangun. Menerima kurang lebih diriku. Menegur ketika aku tersasar oleh emosi. Memberikan bahumu saat air mataku mengalir.

Aku bangga menjadi sebahagian daripada dirimu. Kau tak pernah lupa namamu, dan kau tak pernah mempersoalkan siapa aku. Aku dan esensiku ini, yang mahu selalu dibelai, dimanja, disayang, dan dijaga. Didengar, difahami, direnung, dan diterokai. Dihormati, dipimpin, dipupuk, dan dilindungi. Bukan untuk dipuja, tetapi dihargai.

Mengindahkan engkau, bunuh apa juga prasangka bukan bermaksud aku taksub. Cuma takjub selepas luar dan dalammu aku hayati. Hormat yang kita kongsi, menumpahkan rahsia satu rasa di mana-mana. Meninggalkan jejak di muka bumi.

Engkau, yang terkadang nampak pelik dan tak kisah. Namun jauh di dalam hatimu, ada kelembutan yang menjadi kekuatan untuk melindungiku.

Tanpa perlu bersuara, aku tahu akulah yang utama. Yang paling istimewa. Kau selalu membuatku rasa dan merasakan.

Harmoni ini adalah gabungan kepercayaan dan keikhlasan, dihiasi kejujuran. Ia menjadi tunggak kekuatan setiap kata dan janji setia. Dua jiwa yang luhur menyepakati ikatan ini.

Terima kasih, Sayang.
Biar orang merasa pelik, di mataku, kau tetap yang paling unik.
Join The Journey
Comments

Comments [0]