HEMBUSAN DOA


Mimpikah ini atau satu kebetulan?
Atau ketentuan yang tertulis untukku,
hadir pada waktu yang telah ditetapkan?

Aku menilai dan menghitung sejarah
Lembaran-lembaran pengalaman kuselak satu demi satu,
membaca semula kisah hidupku.

Kujejak kembali atur langkah yang membawa aku ke sini,
Mengapa? Bagaimana? Bila? Apa?
Kutafsir semula doa-doa sepi di malam hari,
Saat tercelik mata. Di mana-mana.
Tak kira masa.

Hanya doa yang terselit harapan.
Dalam setiap hembusan
aku sedia menerima apa juga jawapan.
Tak aku minta lebih. 
Andai terkurang, aku terima.
Semuanya kusyukuri seadanya.

Waktu lembaran lama kututup,
kucium ia dengan senyuman.
Selamat tinggal semalam.
Aku memandang hari ini.
Aku di sini.
Kau juga di sini.

Aku bertanya dalam hati,
"Apakah kau juga tersenyum waktu mencium lembaran lamamu?"

Soalan yang tak tersuarakan
namun jawapannya kutemu
dalam suaramu yang menghembus
doa dan harapan ke dalam dadaku,
dengan senyuman.


HEMBUSAN DOA HEMBUSAN DOA Reviewed by Ray FL on Friday, December 09, 2016 Rating: 5
Powered by Blogger.