BERSARA


Bisakah kau rasai saat kita berjauhan
getar rindu yang berpanjangan?

Kadang-kadang aku benci pada kehidupan
yang memaksa kita berpisah walau untuk sehari dua, semata-mata untuk memenuhi tanggung jawab lain, demi menyempurnakan hidup bersama.

Aku kira dah tiba masanya untuk kita bersara. Menikmati cinta dan kehidupan hanya berdua, tanpa gangguan tugas dan sosial. Aku hanya mau menjalankan tanggungjawab kepada engkau.

Apa yang kita ada lebih dari cukup. Biarpon tak semewah jutawan, namun itu bukan kemewahan yang aku gilakan. Aku lagi bahagia gilakan engkau. Kemewahan dan keunggulan kasih sayang yang paling utama bagi aku.

Itu telah pon kita miliki ; Rezeki yang seadanya. Semuanya dalam sederhana. Restu dari Tuhan dan keluarga. Hati yang bersatu teguh. Keghairahan cinta yang tak padam.

Masanya untuk kita bersara. Masanya untuk gembira bila tau setiap pagi tiada gopoh gapah, tiada temujanji dan mesyuarat, tiada komitment terhadap yang lain, yang menunggu, memaksa kita bergegas dan berkejar.

Masanya untuk jalani harian yang tenang dan lancar, yang dulu hanya dapat kita buat bila ada kelapangan. Kini kita bebas. Tiada lagi had waktu yang menyekat untuk kita bersama-sama mengindahkan taman, menjaga haiwan kesayangan kita, beriadah untuk kesihatan tubuh, mempertajam minda dengan logik dan pemikiran kiritis, menyediakan santapan enak dan berkhasiat bersama, mencantikan kediaman. Harmoni yang dipupuk terus kita kekalkan.

Bila malam, tiada batas waktu untuk beradu. Kita duduk di taman meneropong ke angkasa atau hanya melihat hujan dari cermin kaca. Bercahayakan lilin, dilengkapi melodi indah. Kita menari irama kegemaran kita. Bercerita dalam lagu. Berbahasa dalam sentuhan. Menikmati malam yang panjang
tanpa gangguan loceng yang mengejut pagi.

Dah cukup kita dikawal duniawi. Kini giliran kita mengawal ia, merangka masa depan yang santai. Tebalkan kerohanian. Kita jelajah apa yang jarang manusia fikirkan,
apa yang orang pandang remeh.

Aku mau kekal jatuh cinta dengan engkau,
dengan orang yang sama tiap hari, tiap ketika. Perasaan membara tanpa padam, cinta yang makin lama makin dalam. Walau diselang seli rajuk,
bercanggah pendapat, kadang-kadang sampai bergaduh, ajaibnya, itu mengeratkan cinta. Telagah tak pernah memusnah sebaliknya membentuk indah.

Biarkan jiwa kita terus saling meresapi.

BERSARA BERSARA Reviewed by Ray FL on Tuesday, August 23, 2016 Rating: 5
Powered by Blogger.