CABANG-CABANG LIDAH


Kau pintal lidahmu 
menjadi gulung-gulung gelombang amarah 
lalu kau ukir amarahmu 
di atas batu hati yang mati.

Kau sidai kepiluan agar basahnya mengering
dihirup matahari, dihembus angin.
Pilumu tersejat, mengering bersama hatimu.
Tidak subur lagi.
Benih apa pon yang kau tanam,
Mati. Tak menjadi.

Diiring saki baki dan daki riak
dalam lelah kau melangkah.
Mana arahmu?
Lidahmu masih berpintal-pintal
cuba menyelirat benak yang sesak.
Hingga menjadi cabang-cabang
cuba menyengat,
malang nasibmu tak kesampaian.
Yang kau sengat hanya dirimu.
Kau keciciran.

Pintalkan lagi lidahmu itu
sampai ia mencekik kerongkongmu.
Biar gelombang amarah tanpa arah
memapah lelahmu ke lubang sampah.

Di lubang itu nanti
saksikanlah nanah-nanah benci
semakin membusuk, 
subur disiram baja angkuh,
menjadi kudis tak sembuh.
Kau sebarkan pula ke hati-hati manusia
yang tercungap-cungap mengharap.

Saksikan di sana, bagaimana ia akan
menggembirakan hatimu yang derita, merana
disengat cabang-cabang lidah 
yang berpintal.

CABANG-CABANG LIDAH CABANG-CABANG LIDAH Reviewed by Ray FL on Friday, June 10, 2016 Rating: 5
Powered by Blogger.