SUAMI

Kau, ada saat-saatnya
kau begitu sukar untuk kumengertikan
Andai halus awan itu membawa titis-titis hujan
yang dipanah matahari
maka tercengang lah manusia
bila menatap susunan warna pelangi.
Begitulah yang aku rasakan
Disaat-saatnya kau diam.

Kadang-kadang kita duduk bahu ke bahu
tanpa sepatah kata pun.
Hanya merenung kaki langit,
di seberang laut lepas
atau memerhati dari atas bukit.
Sunyi bercerita tentang alam.
Tentang hati. Tentang doa. Rindu dan kasih.
Tanpa perlu bersuara.
Ajaibnya, kita bisa mendengar dan mengerti.

Ada waktunya,
engkau begitu lancar tanpa belok dan sekat;
Melepas kejujuran walau menyakitkan.
Aku tahu ramai terganggu.
Tapi dengan engkau aku setuju.
Bukan kerana kau suami
kekasih, teman, sahabat.
Tapi kerana engkau itu sendiri.
Engkau dan dirimu.
Dirimu yang paling suling.

Lukisan,
tak semua pandai menafsirkan
Malah lebih banyak penafian
lantaran terkeliru.
Penghayatan itu perlu.

Kalau aku dituduh tiada rasa,
aku tanya semula kepada mereka,
"rasa itu bukan sesuatu untuk ditayang.
Ia adalah getar jiwa. Lebih dari sentuhan.
Lebih dari pandangan atau semua deria.
Ia hidup dalam firasat."

Suami,
memapah setia jatuh bangun kita, wanita.
Mereka menerima kurang lebih kita
menegur waktu kita terbawa emosi
memberi bahunya saat emosi tak tertahan lagi.

Menjadi seorang suami...
Dia tahu siapa dia.
Orang yang setulus hati
mahu memikul tanggungjawab
terhadap kita yang garang.
Tapi dia tetap ketawa bila kita berang.

Suami, setiap wanita seperti aku
memerlukan engkau
Esensi wanita mahu selalu dibelai,
dimanja, disayang dan dijaga.
Dihormat, dipimpin, dipupuk dan dilindung.
Bukan untuk dipuja.

Mengindahkan suami kita,
bunuh apa juga prasangka bukan bermaksud
kita taksub.
Cuma takjub selepas mengenali luar dan dalam.
Saling berkongsi hormat.
Menumpah rasa di mana-mana.

Mereka sememangnya terkadang pelik,
nampak tak kisah.
Tapi jauh dalam hati,
penuh kelembutan
yang menjadikan dia kuat
untuk melindungi wanita pilihannya.

Kita, wanita itu. Bagi suami-suami kita,
kita lah yang paling utama. Paling istimewa.
Harmoni adalah gabungan kepercayaan,
keikhlasan dihiasi sifat jujur.
Tunggak kekukuhan setiap pernikahan,
yang dipersetujui dua jiwa yang luhur.  
 Terima kasih suami. Biar orang merasa pelik. Kau bagi aku unik.
SUAMI SUAMI Reviewed by Annie Ray Yusoff on Wednesday, May 18, 2016 Rating: 5
Powered by Blogger.