LOLONGAN KOSONG SI NARSIS


Dia menjerit, melolong.
Dia kata dia teraniaya.
Dia kata dia mangsa cinta,
mangsa keadaan, mangsa kemiskinan.

Dia cari kemasyhuran dengan cara itu.
Dengan meraih simpati, mengenepikan harga diri.
Hilang malu. Rosak pendirian. Dia tak kisah.
Yang penting baginya bangga dipertahan.
Hatinya berwarna kelam. 
Busuk dengan keegoan yang bertuhankan wang.
Gilakan material, dia kerasukan.
Hingga mulutnya menjadi begitu celupar,
"Itu seni," katanya.
Dia lupa manusia melihat. Manusia memerhati.
Malah menghakimi.

Pekung di dada dia buka penuh suka dan rela
simpati diraih tanpa congak
makin dia bersuara, makin tersebar riak,
tanpa segan apalagi sopan.
Mungkin dia lupa tentang adab dan budaya.
Kata-katanya tak lepas carutan.
Dengan memaki dia rasa hebat.

Sedarkah dia sebenarnya dia sedang membuktikan kejahilan?
Mempamerkan minda yang celaru.
Melakonkan pergolakan jiwa sendiri.

Megah dia memperaga mewah
Baik halal mahupon haram,
asalkan dapat pujian, dapat sokongan,
menipu sebahagian dari jati diri.

Leka dia mengejar dunia,
kegemilangan, kemasyuran
mengheret dia ke atensi murahan.
Menempel diri di dinding-dinding rabak
busuk, hanyir disimbah nyanyiannya yang rosak.

Dia membasuh fikiran manusia naif yang mendengar tanpa fikiran,
gemar sungguh dia menggunakan nama Tuhan.

Alangkah sedihnya, betapa malangnya mereka,
yang setuju untuk ditipu oleh si narsis.


LOLONGAN KOSONG SI NARSIS LOLONGAN KOSONG SI NARSIS Reviewed by Ray FL on Tuesday, May 24, 2016 Rating: 5
Powered by Blogger.