KAMU-KAMU


25 tahun telah berlalu, mendaki lagi ke tahun-tahun seterusnya. Begitu cepat masa berjalan. Terasa seperti baru semalam kau aku kenal. 25 tahun. Dah hilang semua cemburu. Hilang semua ragu walau rajuk sesekali menjenguk, namun tak sehebat waktu remaja yang kita susur penuh dengan resah gelisah, madah dan warkah, warna dan lukisan disertai adegan rajuk dan pujuk. Tetap mengenang semua itu kerana ia begitu indah. Sangat indah hingga kalau boleh aku nak putar masa untuk kembali ke zaman remaja, sewaktu perasaan bermain tolak dan tarik. Alangkah besarnya sensasi yang kita alami waktu itu. 

Aku bangga, aku tahu kau tahu dan aku juga nampak kebanggaan kau itu dari tiap gerak geri dan layanan yang kau dedikasi kan  kepada aku. Terima kasih, kekasih.
Kini kita semakin matang. Rajuk dan pujuk, warkah dan madah, warna dan lukisan tak jenuh mengerat perasaan. Sedar tak sedar dah begitu dewasa. Dah tua. Banyak yang berubah termasuk perasaan kita yang bercambah-cambah secara konsisten dan konstan, hasil dari setitis benih yang kita campakkan merata-rata sejak 25 tahun lalu. Kini kita menikmati keindahannya sambil menyusur denai kenangan tanpa pernah melerai genggaman tangan.

Aku cukup bersyukur dengan limpah kurnia rahmat Tuhan yang telah menjauhi diri kita dari terjebak ke dalam kancah maksiat, membuang masa mengalih cinta, berhabis duit bertukar kekasih. Biar dikutuk dan dikeji, dihina dan diperli... biar mereka menganggap betapa konservatifnya cinta kita dan betapa dungunya keputusan untuk berkahwin begitu muda. Tak cukup dengan itu, mereka perjudikan percintaan kita hanya mampu berkekalan setakat 2-3 tahun saja.

Sekarang kita boleh senyumkan kata-kata mereka. Dulu kita diam. Kita tak mahu lawan. Dakyah-dakyah mereka menghantui usia muda kita. Adakalanya kita cuba mengasingkan rasa tapi apa yang kita peroleh hanyalah kerinduan yang menebalkan kasih sayang antara kita.


Dengki... memang terlalu banyak lubang-lubang dengki yang mereka gali untuk memerangkap kita agar kita terjatuh ke dalamnya dengan harapan usaha itu dapat memisahkan kau dan aku. Tak sabar mereka nak sorakkan kejatuhan kita. Tapi, pernahkah kita tersadung? Tidak. Tidak kerana kita begitu berhati-hati saat mengatur langkah. Kita dengar suara-suara sumbang. Nyanyian-nyanyian gersang. Kita jadikan puisi penyakit hati mereka sebagai melodi keinsafan kepada diri agar tidak terkesan dengan permainan manusia yang cemburu. 

Caci hina ...  Manusia... ohhh manusia... mengapa tak bolehkah kamu padamkan rasa iri itu? Setelah gagal memerangkap... kamu cipta fitnah. Kamu-kamu fitnahkan aku, perempuan selingkuh. Pada aku kamu-kamu sebarkan kecurangan dia. Tiada sempadan adu domba kamu-kamu. Tercanang betapa kami takbur dan bongkak atas kenikmatan yang kami kecapi. Kami ini pendosa. Begitu kegigihan kamu-kamu mahu meyakinkan mereka, termasuk keluarga. Kami diam bukan bermakna kami tidak mendengar. Kami mendengar, tak bermakna kami setuju. Kami hadam semua permainan kamu-kamu. Terima kasih kerana kata-kata ciptaan khayalan kamu-kamulah yang menebalkan kekebalan perasaan dia dan aku.

Aku dan kau, sayang. .. kita tak buat apa-apa. Kita hanya berkongsi rasa. Bercinta. Macam mereka juga. Mereka juga bercinta. Semua makhluk ada cinta dan sayang. Cuma cinta kita banyak bezanya. Ada uniknya. Kita ada sasaran. Kita ada tujuan. Dengan keyakinan itu landasan kita bina. Mana salah silapnya?

Dengan masa, lihatlah.... Siapa yang terbabas? Lihat sendiri... aku tahu kamu-kamu masih mengikut kami. Lihat sendiri... tersasar kah kami dari landasan yang kami bina dulu? Atau jatuhkan kami ke dalam lubang-lubang dengki dan iri ciptaan kamu-kamu?

Andai kami terjumpa kamu-kamu. .. tetap akan ada senyum. Dengan penuh bangga. Bukan riak mahupun bongkak. Tapi bangga kerana maruah yang kami pertahankan dulu masih terpelihara dan tak terusik pendirian kami. Kukuh dipegang hingga kini.
Cacilah lagi. Kami takkan tercedera. Immune kami kuat. Sekuat cinta yang terpahat.
Dia suami aku. Aku isteri dia. Kejian apapun yang nak kamu lontarkan tak akan mengubah kenyataan ini. Apa alasan kamu-kamu yang masih tegar cuba merosakkan? Hentikan lah dengki dan iri. Aku percaya kalau cela hina itu kamu-kamu hindari... kamu-kamu juga mampu miliki cinta yang suci
.
Kami tenang, kami suka dengar hinaan.  Seperti kata suamiku, "itulah yang jujur."
Hentikan membaca kalau ia menyakitkan. Ini ruang aku dan dia.
Buat pelepas rindu waktu berjauhan. Buat pengukuh rasa saat memerlukan.

Tidakkah kamu-kamu miliki keluarga yang wajib kamu-kamu jaga atau menjaga tepi kain orang lebih penting bagi kamu-kamu daripada mengharmonikan rumahtangga?

Dah 25 tahun pun... kamu-kamu fikir kami akan sia-siakan waktu itu untuk mengejar cinta baru?
Dah 25 tahun Tuhan lindungi cinta dan kasih sayang kami.
Dengan doa dan usaha, pasti cinta ini dijaga bawah lindungan kasih sayangNya, dengan izin dariNya.
Dah 25 tahun pun... apa lagi yang kamu-kamu dengkikan?????

KAMU-KAMU KAMU-KAMU Reviewed by Annie Ray Yusoff on Monday, April 11, 2016 Rating: 5
Powered by Blogger.