SELAMAT HARI PERKENALAN


Membilang hari-hari bersamamu, aku tak pernah jemu. Waktu yang kita jejak dari tapak ke tapak, langkah berganti langkah, lelah tewas pada kepuasan. Keraguan perlahan-lahan lenyap dari kamus cinta kita.

Benar, begitu jauh perjalanan yang telah kita tempuh, begitu lama, membuka laluan-laluan seterusnya dalam meneroka jejak baru. Bukan kuasa kita untuk melihat hari esok tapi kita berkuasa untuk berusaha membina esok pada hari ini. Setiap sesuatu yang terjadi, kita yang tentukan. Kebahagiaan, masa depan, cita-cita... semuanya di tangan kita. Andai kita lemah pada godaan dan cubaan hidup, tergadailah cinta.

Ibarat melayar bahtera di lautan luas, begitulah kehidupan. Begitu jugalah cinta ini. Kadang-kadang dihempas gelora, kadang-kadang berlayar tenang. Dalam pelayaran kita saksikan berbagai peristiwa. Indah, suram, duka, ketawa... lumrah hidup. Tak siapa dapat lari darinya. Semuanya terletak di hati bagaimana kita kendali hidup ini.

Cinta adalah satu perkongsian. Dalam apa juga situasi, jangan pernah gagal mengingati ini. Tanpa pengertian, cinta akan hilang arah. Manusia berubah. Hati berubah. Semua bisa berubah. Impianku hanya satu... aku mahu engkau berubah, setiap hari... bertambah cintamu pada aku.

Bila menoleh hari semalam, tergambar setiap detik yang kita harung dalam memperkukuh perasaan yang tumbuh dijiwa. Kita lihat sama-sama bagaimana ia terbina dengan kekuatan hati yang dipenuhi kasih sayang. Andai kita lemah dan menyerah pada usikan hidup, hari ini takkan wujud untuk kita saksikan esok bersama.

Aku bangga menjalani hidup ini dengan engkau. Melihat perubahan demi perubahan pada diri masing-masing. Menyaksikan pergolakan jiwa remaja, meniti satu persatu alam dewasa. Kita lihat setiap hari bagaimana fikiran kita berkembang, perbualan pun menjadi semakin serius. Perasaan yang turut melalui fasa-fasanya akhirnya meminta untuk disatukan. Kita singkap setiap sendu dan gelisah dalam jiwa, mencari erti bagi rindu dan resah. Akhirnya kita akur. Menipu rasa hanyalah sia-sia.

Aku sifatkan evolusi ini sebagai satu keajaiban. Keajaiban yang menguatkan semangat cinta aku terhadap engkau. Benih yang kita tanam dulu tak pernah layu biar dicuba waktu. Tetap subur dan mekar mencambahkan kebahagiaan dalam hati. Betapa kemasnya cinta kita. Aku sangat mensyukuri nikmat ini. 

Cintaku hanya sekali, Ray. Engkau. Aku bangga menjadi milikmu yang pertama dan memiliki engkau dari mula. Semoga kita kekal pertama dan selamanya... di dunia, di alam kemudian. Di mana saja. Jiwa kita takkan terpisah. Aku yakin. Masa memberi aku keyakinan ini.

Terima kasih atas kesabaranmu disepanjang pengembaraan hidup kita. Kau hadiahkan aku masa, telinga, mata, bibir. Hati, sentuhan, tubuh dan jiwa. Segalanya. Kau mahu melakukan segalanya untuk aku. Tak akan aku sia-siakan semua pengorbanan, harapan, impian dan cinta sucimu kerana harapanmu adalah harapanku begitu juga dengan impian, cinta, rindu... segala-galanya.

Selamat hari perkenalan, sayang. 6 March. Tarikh keramat dalam diari hidup kau dan aku.
Ingat pada pandang pertama? Kata-kata pertama? Tak pernah aku lupa.

"Selamat datang. Saya Ray. Awak boleh duduk kat sini. Tempat ni memang kosong."
Comel. Aku suka muka kau yang comel dan sikap kau yang pendiam. Biarpun  merasa janggal, namun ada sesuatu yang memanggil aku untuk mengenal engkau dan jiwamu.

Sejenak aku terkenang kata-kata Umi saat dia memberitahu bahawa kami sekeluarga akan berpindah ke Malaysia. Aku rasa lain. Tak gembira. Sayang untuk meninggalkan teman-teman apalagi berpisah dengan tempat aku dilahirkan, tempat aku membesar.

"Farah akan kenal lebih baik dari ini."
"Maksud Umi?"
"Akar umbi, budaya, bahasa dan bangsa. Teman baru. Percaya cakap Umi, Farah akan lihat banyak perbezaan. Banding kan lah nanti. Tiba masa jawapan akan Farah temukan."
Abah menyokong kata-kata Umi. Aku bertambah yakin dan percaya.

Seterusnya Umi menceritakan lagi selok belok keluarga kami yang membangkitkan semangat dan keinginan aku untuk mencari diri sendiri.
Selama ini aku hanya mendengar cerita dari Umi dan Abah. Penghijrahan ke Malaysia membuktikan cerita-cerita mereka. Aku bangga. Dan menjejak kaki di tanah kelahiran arwah atuk, aku bertemu engkau. Perkenalan itu mengajar kita erti persahabatan hingga aku terdengar ada suara berbisik dalam hati ini, mengatakan kau adalah orang itu.

Aku tunggu andai bisikan hatiku itu satu kenyataan atau mainan rasa semata. Masa membawa kita dari satu fasa ke satu fasa. Kita dewasa bersama waktu hingga tiba masa yang tepat untuk kita tafsirkan bisikan-bisikan itu.

http://www.introversi.comIni satu kenyataan.
Ini bukan mimpi.
Ada rindu.
Ada lagu.
Ada engkau. Ada aku.
Ini cinta.
Cinta pertama.
Cinta kita.

Kau dan aku mengakuinya setelah empat tahun menganalisa. Rindu yang terpendam selama hati diserang cinta, kita lepaskan dengan rela.

Benar kata Umi. Aku akan mendapat lebih baik dari itu. Penerimaan keluarga terhadap keputusan aku untuk hidup bersama engkau adalah hadiah yang tak ternilai harganya.

6 March bertahun-tahun lalu, kau hulur tanganmu tanda perkenalan. 6 March hari ini, lenganmu masih membatalkan tidurku.

Terima kasih untuk salam perkenalan itu dan terima kasih kerana terus mengenggam tanganku dengan utuh sampai hari ini. Jangan pernah lepas sayang... sebagaimana aku akan terus kukuh menggenggam tanganmu demi cinta kita yang dalam.

Aku amat mencintaimu, suamiku.

SELAMAT HARI PERKENALAN SELAMAT HARI PERKENALAN Reviewed by Annie Ray Yusoff on Sunday, March 06, 2016 Rating: 5
Powered by Blogger.