LYDIA


Menyedari akan kehadiran engkau disitu, aku akui ada rasa malu dan segan bila memandangmu, apatah lagi untuk mulakan bicara. Kita selalu berada di tempat yang sama, waktu yang berselisih mungkin sejam dua. Saat pertama berbicara, hati aku tergoda dan sejak dari itu engkau menjadi  perhatianku, malahan aku catatkan setiap peristiwa yang berlaku tiap kali kita mengisi waktu di situ.

Engkau aku kagumi, bermula dari wajahmu yang indah hinggalah kata-kata yang kau ucapkan. Aku bahagia. Tak salah rasanya aku memuji dan mengagumi kelebihan yang kau ada. Lelaki seperti aku sering kalah pada pesona seorang wanita. Aku tak dapat lari dari hakikat, penafian hanyalah satu dusta.

Khayalan pun menembusi kotak fikirku hingga hasrat untuk memilikimu berkobar-kobar dalam darah. Bila kita bersua muka, hati aku berdebar, mungkin dapat kau lihat dari gerak geriku.
Kau membalas salam perkenalan yang aku hulurkan dengan baik. Ini amat meyakinkan aku tentang cinta sepi.

Lydia gadis dambaanku sejak dari itu. Dia jujur dan terbuka pada setiap perkongsian. Namun ada sedikit cemburu bila tahu dia memiliki seorang anak lelaki hasil hubungannya dengan seseorang. Aku putus harapan lalu cuba menjauhi dia. Namun rindu tak bisa aku nafikan.

Keajaiban terjadi semenjak aku mengundur diri. Makin aku jauhkan rasa, semakin aku dia dekati. Erti bertambah di balik senyumannya. Aku cuba mengelak saat dia memandang aku dari kejauhan, namun aku lihat keinginan dari sinar matanya.
Dia menghampiri setelah beberapa waktu aku menyisihkan diri.

"Kau berbeza sekarang. Tak seperti dulu." Gadis idamanku memula bicara, menyampaikan maksud.
"Tidak. Cuma masa tak mengizinkan. Jangan fikir negatif. Aku selalu memikirkan engkau. Tak pernah aku lupa." Dalam mengelak aku selitkan kebenaran.
Lydia menerima jawapanku dengan senyum dibibirnya yang merah. Senyuman yang tak pernah tidak aku rindukan.

"Bagaimana kalau aku usulkan kita berjalan sambil membincangkan perkara ini?"
Tanpa berfikir aku setuju.
Malam itu indah. Kami berjalan dan berjalan di sekitar bandar kecil yang sunyi.
"Kalau aku silap, tolong betulkan aku." Pintanya.
"Tak ada masalah."
"Berulang kali aku fikirkan... aku rasa kau cuba menjauhi aku sejak kau tahu tentang statusku... Kau benci tentang itu, bukan?"
"Tidak sama sekali. Sikit pun ia tak mengganggu aku malah aku kagum. Kau istimewa."
"Sebenarnya tujuan aku mengajak engkau berjalan adalah kerana aku rasa kehilangan sejak kau menyepi."

Mukaku ditatap pasti. Menghormati kejujurannya, aku jadi berani untuk berterus terang.
"Aku sukakan kau. Tapi aku tak mahu menjadi orang ketiga antara kau dan dia. Aku rasa bersalah jika keharmonian engkau aku musnahkan."
Dia ketawa.
"Lelaki itu tak wujud. Yang wujud hanyalah benihnya. Dia tak peduli. Aku perlukan seseorang yang ikhlas menemani aku dan menerima Carl."
"Terus terang, Lydia... aku sanggup. Ini adalah impianku yang terbesar dan kau aku kagumi tiap waktu. Aku lihat sinar dari hatimu. Aku memang teringin menjadi bapa. Tapi aku tak punya benih untuk kutanam dalam rahim perempuan. "
"Itu bukan soalnya. Suami dan bapa yang bertanggungjawab bukan terletak pada penis atau sperma. ... aku yakin kau miliki kualiti yang aku cari."

Wajahnya aku tatap tanpa kata-kata kerana kelu menyaksikan pengakuannya.
"Kita cuba. .. apa pendapat engkau?" Dia meminta kepastian.
"Kau yakin pada asasnya?"
"Cinta. Ini keyakinanku yang unggul. Aku rindu engkau kerana aku cinta. Dan dari matamu, aku lihat cinta yang kau simpan untuk aku. Keluarkanlah cinta itu. Aku tau kau sembunyikannya dari aku. Yakinlah pada hati. Aku mahukannya."

Lydia aku terima seadanya. Kerana aku kagum. Kerana aku cinta. Dan kewujudan Carl mewarnai cinta kami dengan teguh. Keikhlasan, keterbukaan, kejujuran adalah asas cinta ini. Setia takkan mati. Lydia adalah ibu yang hebat. Isteri yang luar biasa dan aku berazam untuk menjadi suami yang bertanggungjawab, bapa terhebat untuk Carl... cahaya mata kami.



LYDIA LYDIA Reviewed by Ray FL on Thursday, March 03, 2016 Rating: 5
Powered by Blogger.