KEPOMPONG



Ini cerita tentang cinta dan kasih sayang, sesama makhluk, antara makhluk. Keserasian amat penting dalam sesebuah hubungan, tidak kira apa jenis hubungan itu. Cinta pada persahabatan, cinta kekeluargaan, cinta untuk bangsa, juga cinta pada agama dan kepercayaan. Tanpa keserasian, ego akan menguasai minda serta perbuatan lantas ia menjadikan manusia taksub pada pendirian dan fahaman masing-masing.

Banyak kes penceraian, patah hati, kesedihan, gangguan mental, kesengsaraan hidup, dipergunakan, diabaikan, keganasan, terjadi akibat keserasian tidak wujud dalam kehidupan mereka. Ego adalah punca kerosakan ini. Masing-masing mau menegakkan idea demi kepentingan sendiri, menyebabkan perbalahan, mencetuskan hasat dengki. Hipokrasi tak dapat dipisahkan dari isu ini. Berpura-pura setuju dan menyokong pendapat sedangkan hati dan fikiran membenci pemikiran pihak sebelah, nyatanya mereka mengkritik tanpa berani memperbahaskan ia secara positif.

Dari sudut cinta antara dua manusia, awal hubungan tiada siapa yang tidak leka dan terbuai dengan perasaan cinta yang memanjangkan illusi. Ini dapat terjadi dalam beberapa jam, beberapa minit, juga hubungan satu malam. Mereka percaya pada keserasian yang sebenarnya masih dalam proses pencarian, proses mengukuh bukti dan mengamati hati, personaliti, mentaliti dan kepercayaan. Percanggahan keserasian itu akhirnya terbuka setelah beberapa ketika bila hubungan badan menjadi layu, perasaan mengabur, pertengkaran berlarutan hingga menyalahkan sesama sendiri.

Ada perkahwinan atas desakan, keterpaksaan demi mematuhi budaya dan tradisi tanpa mengenali pasangan. Ada cinta yang terbit dari pandang pertama setelah terpukau dengan kecantikan lahiriah tanpa mendalami rohani. Ada cinta yang terbit dari persahabatan yang melalui fasa-fasanya. Ada cinta dianjak dari desakan sepi, terdesak untuk memiliki seseorang untuk menemani.

Cinta dicari semua umat manusia. Satu keperluan dalam hidup tanpa mengira orientasinya. Asalkan ia lahir dari jiwa yang berfikir dan menghargai kewujudan pasangan tanpa mempertikaikan kekurangan diri masing-masing, dengan izin Tuhan, ia akan selalu dilindungi.
Ada pula cinta yang bermula dari aktiviti seksual luar nikah yang berpandukan nafsu hingga terjadinya masalah sosial seperti pengguguran haram, membuang bayi setelah melahirkan, melarikan diri dari tanggungjawab tetapi tidak ada keinsafan terbit dalam diri, maka ia berulang tanpa henti dan paling menyedihkan bila bertukar-tukar pasangan menjadi perkara biasa. STD berpunca dari kecenderungan ini.

Fitrah manusia memerlukan teman hidup. Tapi bukan ini caranya. Bertukar pasangan adalah penyakit. Mengamalkan gaya hidup bebas adalah satu penyakit. Terlibat dalam kancah dadah dan pengambilan alkohol yang tak terkawal adalah kanser yang merebak dengan cepat. Hipokrasi juga satu penyakit.

Gadis-gadis amat mudah tertipu dan terpedaya dengan pujuk rayu lelaki yang kebanyakannya hanya mementingkan diri sendiri, menurut nafsu dan gagal menguasai nafsu. Tanggungjawab diabaikan selepas kejadian malah mereka menyalahkan dan menghina perempuan-perempuan mangsa kegagalan mereka mengawal serakah.
Tapi, zaman ini, gadis-gadis juga dengan rela menggadaikan maruah dan harga diri. Alasannya; cinta. Cinta yang berpandukan nafsu semata-mata.

Cinta adalah satu pengembaraan dalam mengenal diri sendiri. Ia mengambil masa untuk menghalusi pasangan dengan menitikberatkan moral, menerapkan nilai-nilai murni agar tak tercemar kesucian cinta dan menghargai kemanusiaan berpandukan logika, rasional, kasih sayang tanpa syarat. Bukan mudah membina keserasian tanpa pemikiran luar kotak, menafikan pemikiran kritis. Sia-sia bila tunduk pada nafsu bukan jiwa dan akal. Bagaimanapun, bagi yang mencintai dan menghargai akal, melabur masa bukanlah satu beban, sebaliknya satu fasa, di mana setiap peristiwa dan pengalaman menguatkan pendirian. Masa untuk mengenali dan mengendali diri sendiri, membuka ruang untuk memahami, memperbaiki dan menilai diri. Kesanggupan dan kesabaran yang berasaskan keyakinan ini secara perlahan-lahan membentuk jati diri dan membina keyakinan yang teguh. Penyatuan jiwa dapat membunuh kegilaan materi yang mementingkan kepuasan semata-mata.

Ikatan perkahwinan tersia akibat kejahilan dan keegoan ini. Mangsa adalah kita, wanita kita dan anak-anak kita. Masa depan kabur. Siapa yang akan mewarisi budaya dan adat melayu? Melayu akan hilang dari dunia, ia sedang terjadi. Sedarlah. Jangan jadikan agama sebagai alasan penutupan ijtihad. Minda dan akal dikurniakan untuk berfikir, bukan menurut secara membuta tuli.

Cinta itu suci. Cinta itu universal. Tak mengenal bangsa, agama, orientasi seksual, status, bila, bagaimana, di mana, latar belakang keluarga dan sebagainya. Ia timbul dari hati dan jiwa secara spritual bukan seksual. Dan cinta itu tak sepatutnya dicemar akibat kejahilan ini. Kejahilan yang disengajakan. Kejahilan yang meruntuhkan harga diri, nilai kasih sayang dan keharmonian.

Tingkatkan moral dan nilai-nilai murni, bukan mencedok budaya bebas bangsa yang tak beradat dan tak berbudaya. Syukur, Malaysia adalah negara penuh adat dan budaya, tapi sayangnya kedua ini semakin kabur dan menghilang bila akal yang dianugerahkan secara percuma disia-siakan tanpa rasa kesal dan malu. Kemerosotan harga diri semakin menular tanpa segan silu, malah mereka bangga melakukannya. Ini kerana masing-masing menutup pintu ijtihad dan lebih fanatik terhadap kepercayaan tanpa kajian mendalam terhadap setiap sebab dan akibat, apalagi mendalami logikal dengan mengabaikan pertimbangan dan pemikiran kritis.

Melayu... apa yang dapat dibanggakan? Kalau ada pon hanya segelintir yang sedar dan membuka mata tapi majoriti mereka, hilang punca dan kesedaran. Mereka mahu menjadi modern, bebas, memperjuangkan hak-hak yang hanya menjatuhkan maruah Melayu. Melayu sangat mudah terpengaruh. Melayu amat senang ditipu. Mengapa? Kerana sifat malas membaca apalagi mengkaji dan berfikir secara terperinci tiap sesuatu. Sikap ambil mudah bukan perkara asing dalam masyarakat Melayu. Pendidikan sangat menyedihkan kecuali membaca bahan-bahan hiburan, karya-karya fantasi yang melalaikan, material yang menyanggupkan diri mereka menjadi hamba duit hingga dibeban hutang, tanpa mereka sedari sebenarnya minda mereka dikawal oleh elemen-elemen ini.

Sedarlah bangsaku. Kita ada adat kita ada budaya. Sayangnya, melayu kekurangan ilmu akibat sikap malas dan lewa. Budaya membaca, apalagi mengkaji tiap sesuatu dari semua sudut; sains, kemanusiaan, astronomi, agama, filosofi dan lain-lain, dengan kesediaan membuka fikiran amat janggal bila disatukan dengan nama melayu. Tipikal melayu mengambil mudah setiap perkara, memperlekehkan pemikiran kritis, menolak debat atas alasan agama, hanya menyerahkan bulat-bulat pada kepercayaan dan kata-kata dari mereka yang berkuasa tanpa menyedari mereka sebenarnya dimanipulasi oleh golongan yang merancang untuk memperkukuh kuasa, kedudukan dan kemewahan mereka sendiri. Minda dibasuh, mentaliti dan kebebasan berfikir untuk bertindak secara logikal disekat. Mereka adalah mangsa kejahilan sendiri.

Pelaburan masa tak akan mengecewakan bila ia direnung dengan hati, diperhalus dengan intuisi, pengamatan yang dalam, analisa dari semua sudut tanpa rasa ragu dan bosan, mengajar jiwa untuk mengerti apa yang ia perlukan dan kekal konsisten dalam keteguhan hati.
Jadila melayu yang bangga jadi melayu. Bukan Melayu tipikal. Bukan melayu yang akan terpengaruh dengan kesenangan dunia apalagi mengagung-agungkan budaya bebas. Jadila melayu reformasi yang tak mahu melayu layu bersama masa. Sedih bila bangsa lain mentertawakan kebodohan melayu. Malah, melayu sendiri mengakui kebodohan melayu.

Semoga ini berubah. Semoga Tanah Melayu tidak layu. Semoga ia bebas dari dijajah baik oleh bangsa asing yang tak pernah letih mencari dan tak akan mempersiakan tiap kesempatan atau oleh melayu sendiri yang leka dengan duniawi hingga mengabaikan kejujuran.

Sayangnya, melayu... 
mereka sangat mudah teruja bila keluar dari kepompong hingga akhirnya layu dan jatuh bila sayapnya dipatahkan angin yang membantunya untuk terbang.

KEPOMPONG KEPOMPONG Reviewed by Ray FL on Thursday, March 31, 2016 Rating: 5
Powered by Blogger.