Satu Hari Yang Panjang

Ray FL


“Mana lagi lepas ni?” Malam masih muda, dua puluh minit selepas sebelas.

"Kau mengantuk?"

"Belum lagi. Penat sikit je. Kaki aku lenguh."

Dia membongkokkan badannya. Betisku ditepuk kemudian dia berdiri semula. Senyuman terukir. Jari-jemarinya terus memimpin kemas jari-jariku.


Dari pagi tadi kami ke KL, asalnya nak cari buku. Dari kedai buku kami beralih ke kedai baju. Tak ada yang menarik, kami bersantai di Pasar Budaya, menghibur telinga dengan alunan lagu oleh pemuzik jalanan sebelum kami menjamu selera di restoran mamak berhampiran. Selepas makan tengah hari, kami meninjau-ninjau kedai-kedai yang terdapat dalam Pasar Budaya. Sempat kami hadiahkan diri masing-masing seutas rantai perak, berloketkan nama aku dan dia sebagai tanda hari yang panjang itu ditarikh yang terpahat bersama. Kembali semula dari kedai buku ke kedai buku yang lain, akhirnya dia mencadangkan sesuatu.

 

“Aku teringin nak masuk muzium.” Ketawa aku mendengar permintaannya.

“Apa yang lucu?”

“Tak... Jomla. Kita ambil teksi. Bas mini pon ada, kalau kau selesa.”

Nope, kita jalan kaki. Kau tau shortcut dia kan?” Jawapannya tegas seperti selalu, sambil menarik tanganku yang menyerah tanpa hujah.


Langkah kaki kami teruskan. Dari Stesen keretapi Kuala Lumpur, melintas ke Masjid Negara, kami susur jalan-jalan yang indah dilengkapi pohon-pohon yang bertautan di sekitar Taman Tasik Perdana. Redup dan segar, tak terasa bahang matahari yang menyengat kulit.


“Nak masuk tak? Aku tak pernah masuk lagi. Mesti best.” Aku memberi cadangan sebaik saja kami sampai di Planeterium Negara.

“Aku pun belum pernah masuk. Interesting, tapi kita pegi muzium dulu, balik nanti baru kita singgah sini. Hmm... atau kau ada cadangan lain?”

“Aku mana-mana pun OK, tak de masalah. Nanti kita patah balik sini, kita lawat planetarium lepas tu kita boleh amik angin kat Tasik Perdana. Amacam, OK tak?”

“Sampai tugu negara?”

“Apa je kau nak. Dengan kau mana-mana pun cantik, asalkan kau tak lepas tangan aku.”

Kerlingan matanya tersenyum berkilau sampai ke kalbu. Seperti selalu, aku akur dengan rela hati unutk mengisi semua permintaan gadis itu. Macam mana larat aku nak tolak bila dia merayu tanpa mendesak?

 

“Dulu asalnya Muzium Selangor bawah jajahan British 1898.”

“Ha ah. Penah kena bom, kau tau?”

“Betul. Koleksi dia dipindahkan kat Muzium Taiping lepas pada tu.”

“Nanti kita pergi Melaka, nak? Aku suka historical places.”

“Boleh. Dengan kau, cakap je mana. Kutub utara sekali pon sanggup aku redah."

 

Petang itu kami isi dengan mengumpul informasi dan pengetahuan tentang sejarah, geografi, budaya, masyarakat juga tentang astronomi, sains dan teknologi. Yang lama kami gilap, yang baru pula menjadi tajuk perbualan untuk didiskusi. Amat membahagiakan bila waktu dikongsi dengan seseorang yang mempunyai minat dan hobi yang sama, ditambah lagi dengan kasih sayang yang semakin menebal hasil persefahaman alamiah dan hakiki. Apa yang penting bagiku adalah untuk menggembirakan hatinya, aku tahu dia juga selalu ingin melakukan perkara yang sama untukku.

 

“Sejak pindah sini, ni la first time aku masuk muzium dan planetarium. Dengan kau. Hari ni, sejarah paling best dalam hidup aku.”

“Masa kecik, sesekali kau balik sini, parents kau tak pernah bawak melawat muzium?”

“Ada sekali. Masa umur aku lima tahun... tapi manalah sama tiga belas tahun dulu dengan sekarang, sayang. Banyak beza, especially, your presence.”

“Sama la dengan aku. Lama sangat dah sejak last datang sini dengan family masa kecik dulu. Hari ni, memang special sangat. Sebab ada engkau.”

“Sebab ada kita.”


Keluar dari planetarium, kami duduk sebentar di sebuah wakaf yang disediakan di situ, selepas membeli dua bungkus air sirap yang dijual oleh seorang penjaja bermotosikal. Sejuk air batu membantu mengembalikan kesegaran dan menghilangkan bahang Khatulistiwa. Dahi Farah kukesat dengan sapu tanganku.

 

“Kesian kau, berpeluh-peluh... mesti penat.”

“Penat memang penat, tapi aku enjoy. Bila kita berjalan, pandangan kita lebih luas, kita lebih fokus dan peka. Don't you think?”

I couldn't agree more. Biarpon lenguh kaki, tapi berbaloi dengan lesson learnt from the nature. Tambah pulak dengan engkau, lagila aku bersemangat. Kalau sorang-sorang memang fikir dua kali jugak.” Huraianku disambut ketawanya yang panjang. Cantik.

“Kau memang malas.” Dia mengkritik. Daguku dicuit.

“Yang malas ni la yang kau gilakan."”Sama-sama kami ketawa lagi.

“Kau pelik.”

“Kau luar biar biasa.”

Two weirdos make an excellent couple, tau?”

“Aku tau kita unik.”

 

Perbualan kami mati bila deruman enjin motosikal yang kuat mengganggu ketenangan alam. Asap yang menebal berkepul mencemar udara nyaman. Sepasang kekasih turun dari motosikal Suzuki RG berwarna hitam, lalu bergandingan tangan menuju ke sebuah wakaf lain yang terletak tak jauh dari wakaf tempat kami berehat.

 

“Aku teringin nak naik motor dengan engkau jauh-jauh. Kalau boleh, aku nak kau bawak aku ke selatan, ke utara, ke timur, ke barat. Ke mana je.”

“Takde masalah. Cakap je bila, tapi kau berani ke? Kau tu tak pernah susah, dah biasa berkereta, berdriver sana-sini. Selesa ke kau nanti naik besi buruk aku?”

“Jangan cakap macam tu, boleh? Tengok, jalan kaki dengan kau pon aku rasa bahagia. Hmm, kalau naik motor dengan kau, mestila lagi aku happy sebab... aku dapat peluk kau sepanjang masa.”

Aku tersengih mendengar usikannnya. Bijak dia bagi jawapan yang mampu buat jantung aku bergetar.

“Tak suka ke, aku peluk?”

“Suka...” Sebenarnya aku segan bila dia cakap macam tu.

“Abih, yang tersipu-sipu ni kenapa? Malu?”

“Tak de la, mana ada malu. Aku segan je.”

“Mengadalah... Dengan aku pun nak segan.” Farah menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Aku tak mau kau hidup susah dengan aku, Farah.”

No, don't say that. We are building our future. Tak ada apa yang datang dengan senang dalam hidup ni. Everything begins with a tiny baby step. Tak ada apa yang sempurna. Tapi itu tak bermakna kita tak boleh bahagia, kan? Yang penting sabar dan usaha. Lebihnya kita serah pada Tuhan. Tawakal.”

“Betul. Kesempurnaan tu dibina, bukan dicari.”

“Tau pun. So?”

 

Wajahnya aku renung dalam-dalam. Bersinar matanya yang jernih. Indah, cukup indah. Mata putihnya yang bersih kebiruan dilengkapi mata coklat cair yang bening. Itulah definisi kesempurnaan menurut kamus hati aku. Anak matanya yang hitam jelas kelihatan membesar, teruja menunggu jawapanku.

 

Separuh berbisik, dia mencuri ruang sebelum sempat aku memanjangkan bimbangku.

“Jangan cakap kat aku tentang perbezaan antara kita. Kita semua sama je.” Bibir yang merah segar tanpa dicemari sebarang pewarna melontarkan kata-kata itu, selalu mau meyakinkan aku tanpa lelah.

“Aku sayang sangat kat kau. Aku rasa inilah cinta.” Hanya itu yang mahu hati aku lafazkan ke hatinya.

Our love naturally nurtured from the heart. Aku tak pernah ragu dengan cinta aku pada kau.”

“Aku nampak. Kau selalu tunjukkan bukti.”

“Cinta aku, sekali je. Engkau.”

 

Sunyi mengisi ruang buat seketika. Pasangan kekasih tersebut berjaya mengalih perhatian kami. Dari perkiraanku, aku rasa si lelaki berusia dalam lingkungan 25 tahun, manakala si perempuan dalam 19 tahun. Tak ramai yang duduk berehat di situ, hanya aku dan Farah, mereka berdua dan sepasang pasangan lain yang berehat dalam kereta. Mereka duduk berpelukan. Berciuman tanpa rasa malu. Aku sendiri yang menjadi malu menyaksikan adegan asmara yang mereka pertontonkan.

 

“Hmm... macam takde tempat lain. Ni mesti nak save budget.”

“Haha, confirm belum kawin. Kalau dah kawin baik beromen dalam rumah je, lagi selesa.” Aku membalas komen Farah selepas kami membisu beberapa ketika. Dia ketawa kecil mendengar ulasanku kemudian memusingkan badannya menghadap aku. Ikatan rambut dibuka lalu terurailah rambut coklatnya yang cantik bergelombang. Aku cuba untuk tidak menghiraukan dia. Tapi dia terus tersenyum merenung aku.

 

“Sayang...” Separuh berbisik, dia memanggil.

“Ye,” jawabku ringkas, masih mengelak untuk memandangnya.

“Pandangla sini, kau asik pandang couple tu je, seronok ye tengok blue film?”

“Tak de la... ni bukan blue film, ni blur film.”

 

Pandangan mata aku alihkan seketika kepada ciptaan terindah Tuhan yang berada di hadapanku. Hati aku berdebar melihat dia yang terlalu istimewa dari semua pengertian. Tak tahan dengan renungannya, lantas aku jauhkan kembali pandanganku ke arah yang lain. Dia mengesot perlahan, mendekatkan bahunya ke bahuku.

 

“Aku nak kiss...” Sengaja dia menggoda, aku tau.

“Hmm...” Pipinya aku cium.

“Kat sini,” dia meletakkan jari telunjuk ke atas bibir. Reaksinya itu membuat aku tersengih lagi.

“Hmm... ni merah muka kenapa?” Aku tau dia sengaja mengusik. Dia memang suka mengusik.

“Kita belum kawin.” Aku pun suka sakat dia. Farah ketawa panjang. Aku ikut sama.

“Pinanglah aku.”

“Kena kumpul duit dulu.”

“So, tak kawin, tak ada kiss kat sini la?” Balasnya sambil menyentuh bibirku dengan jari telunjuknya.

“Tak ada. Dah kawin nanti baru semua boleh.”

“Kalau macam tu, minggu depan kita kawin.”

“Minggu depan?”

“Ye, next week. Kenapa, tak cukup duit?”

“Berapa hantaran? Janganla mahal-mahal sangat, aku tak mampu.”

“Hantaran tu tradisi. Yang wajibnya ada kerelaan.”

“Minggu depan?”

“Ye sayang.  Minggu depan. Kenapa tanya? Kau tak sanggup?”

“Sanggup tapi ada heran sikit... Kenapa tak esok je, sekarang ke, lagi cepat lagi bagus.”

“Masjid dekat je tu.”

 

Lelaki dan perempuan yang masih hanyut melayan nafsu tidak mempedulikan seruan yang bergema. Bingkas, aku dan Farah bangkit untuk menghormati panggilan. Kami bersedia untuk berjalan lagi, tanpa perlu merancang arah kerana arah itu pasti.

 

“Jom lepak Tugu Negara sementara tunggu malam.” Aku mengajak, teringat permintaan dia sebelum ke muzium negara tadi.

“Jom.”

“Eh, tapi kena call Mama dulu, bagitau kita tak balik.”

“Semalam lagi aku dah bagitau dia, aku dengan kau nak jelajah KL. Nanti balik rumah, kita cerita pengalaman kita seharian ni.”

OK, good. Tapi aku risau kalau dia risau nanti.”

“Takla, jangan risau. Kejap lagi jumpa public phone kita call. Kau cakap dengan dia, OK?”

 

Beberapa meter berjalan, kami bertemu telefon awam. Aku mengorek-ngorek kocek seluar.

“Aduhai, tak ada syiling la.”

“Momento.” Farah menyeluk poket jeansnya.

“Hmm, ada pun. Empat puluh sen. Cukupla cakap kejap.”

Nombor pun aku dail. Tujuh angka itu tak pernah aku lupa sejak pertama kali aku mendailnya.

“Dulu aku selalu kumpul syiling nak bergayut dengan engkau.” Kataku, menggamit memori zaman sekolah.

“Hello,” panggilan dijawab.

“Selamat petang, Bibi. Ini Ray mau cakap sama Mama.”

“Oh, Ray, sebentar ya, Mama di taman.”

“Mama tengah lepak kat taman.” Aku memberitahu Farah sambil rambutnya aku belai.

“You're so beautiful.” Sempat aku memuji sementara telefon diserahkan kepada Mama.

“Ray... How's the trip? Is everything OK?”

“Excellent,” jawabku. Farah mendekatkan mukanya ke mukaku, mahu berkongsi gagang telefon.

“I miss you, Ma. We are having a great day.”

“Esok balik petang ke pagi?”

First bus available. Kitaorang tak banyak coins ni, ada empat puluh sen je. Just to inform you that we are OK. Don't worry about us.

"OK, enjoy the trip. Ray, take good care of my daughter."

"I will."

 

Lega hati aku lepas bercakap dengan mak Farah walaupun sekejap. Sekurang-kurangnya dia tau kami selamat dan aku mahu dia tahu bahawa Farah adalah tanggungjawabku. Perbualan singkat itu menebalkan semua perasaan aku terhadap Farah Hanna.

 

“Komunis penah bom tugu ni, lima hari sebelum merdeka yang ke 18.”

“Aku penah baca... Kau tau tak sayang, setiap tahun sehari sebelum harijadi kau, mereka akan adakan satu perbarisan hormat kat sini.” Kata Farah sambil menuruti aku yang melabuhkan punggung ke lantai berdepan dengan tugu. Farah duduk melunjurkan kakinya.

 

“Lenguh? Biar aku urut.”

“Eh, mana boleh. Kena tunggu kawin dulu, baru semua boleh.” Dia mengusik, mengambil kata-kataku di wakaf planetarium tadi.

“Ah, aku tak kira, aku nak jugak...”

Kasut Farah aku buka lalu aku urut perlahan kakinya.

“Cantik kaki kau, jari-jari kau... bulu-bulu halus ni. Pandai tak aku urut?” Pujiku sambil cuba meraih pujian. Kaki seluar jeansnya aku singkatkan ke paras betis. Kuusap perlahan kulitnya yang lembut kemerahan. Hati ini tak henti-henti mengagumi ciptaan Tuhan.


“Pandai sangat, sepandai engkau memuji aku. Kalau dapat letak minyak angin lagi best.”

“Kat rumah nanti, kalau kau nak aku boleh urutkan lagi.”

“Aku pon boleh urutkan kaki engkau. Tapi bila kita dah kawin.”

Mata kami bertentangan. Senyuman berbalas. Terpancar keikhlasan dari ketulusan hati yang berkilau dari redup mata yang indah itu. Kahwin, satu perkataan yang terlalu besar ertinya dan setiap kali dia menyebut perkataan tersebut, ada debaran berkocak dalam darah aku.

 

“Farah...”

“Hmm...”

“Kalau hati kau berubah...”

“Ni cakap apa ni sayang?” Laju dia memotong sebelum sempat ayat aku habiskan.

“Kau dengarla dulu, sayang oiii....” Wajahnya yang tersenyum tadi berubah mendung tapi matanya tetap bersinar merenung mata aku dalam-dalam.

“Tak sayang...Don't get me wrong. Aku cuma terfikir, kau mesti ada terfikir nak ada anak, zuriat. Macam aku jugak. Kau tau aku pasti sangat... Aku nak pikul tanggungjawab sebagai suami dan bapa... kau faham maksud aku, kan?”

“Faham sangat sayang, aku faham sangat-sangat. Siapa yang tak nak zuriat? Kalau boleh aku nak ramai anak dengan kau.”

Terharu aku mendengar jawapannya. Impian yang sama aku selitkan kemas-kemas dalam naluri ini, tak terusik, tak tergambar, tak terluah. Hanya kuasa Yang Esa mampu melihat dan mendengar semua doa-doa sepiku.

 

“Aku pun sama. Sungguh. Tuhan je yang tau betapa besarnya hasrat aku nak nikmati semua tu dengan kau. Tapi kau tau... “

“Sayang, kau dah bagi aku semua yang aku nak. Aku percaya pada cinta kita.”

“Kalau terbuka hati kau untuk terima lelaki lain?”

“Sayang, listen carefully and please keep this in mind because I don't want you to repeat this ever again. If, IF... which I know for certain that it won't happen. If I wanna marry, then it's you. Nobody else but you and you alone. You have my words. You are the guy.”

Dia mengucapkan kata-kata itu sambil mengambil tanganku lalu dicium sambil meletakkannya ke dada.

"How can you be very sure?"

“Sebab aku yakin pada kau dan cinta engkau pada aku.”

 

Farah adalah cinta pertamaku. Jujur aku katakan inila kali pertama dalam hidup aku merasakan kasih sayang sehebat dan sekuat ini. Tak pernah aku berhenti berdoa semoga dia jugalah cintaku yang terakhir. Bersama keraguan yang mengganggu keyakinan hati bila memandang dalam-dalam pada kewujudan diri, bagaimana dapat aku nafikan doa dan harapan dari esensiku, betapa aku tak mahu cinta ini berakhir? Tulus suci dari persahabatan yang terjalin, dialah satu-satunya kawan yang melihat aku dari perspektif yang berbagai-bagai. Dia telah membuka semua pintu, dia mengajar aku mengenali diriku dan menghargai setiap yang aku ada. Aku begitu rasa dihormati. Dengan dia, tiada batasan.

 

Sifat semulajadi aku yang lebih banyak berdiam dan berfikir dalam memerhati membuat aku kurang bergaul. Dalam kata yang mudah, aku tak ramai kawan, apa lagi kawan rapat. Mungkin mereka tafsirkan aku sebagai seorang yang sombong dan sukar untuk didekati tapi Farah dah ubah semua persepsi ini. Kawan-kawan di sekolah hairan dengan keakraban kami. Ramai yang cemburu, aku tau. Ramai yang mau mengisi hati Farah, itu jelas. Walaupun begitu, Farah sedikit pun tak pernah menjarakkan dirinya dari aku. Biar apa orang nak kata, semua tu tak pernah menjadi masalah bagi kami berdua.

 

Kami suka membawa ingatan mengenang zaman persekolahan. Setiap pagi dia akan menunggu aku di pagar sekolah kalau dia sampai lebih awal dan aku turut melakukan perkara yang serupa. Menjelang waktu rehat, jika dia keluar dulu, dia akan siap-siap belikan makanan dan minuman buat kami berdua. Aku juga melakukan yang sama jika aku keluar rehat lebih awal dari dia dan bila tamat sesi persekolahan, kadang-kadang dia menelefon pemandunya untuk tidak menjemputnya di sekolah semata-mata mahu bersama-sama aku mengambil bas mini ke tasik atau ke perpustakaan. Jika tidak pun, kami akan pulang ke rumah terlebih dulu kemudian bertemu lagi di sebelah petang, melakukan apa saja aktiviti bersama. Kelas tambahan, badminton, tennis, perpustakaan atau sekadar duduk bersantai di tepi tasik. Selama dua tahun itu, tanpa kami sedari, telah tersemai benih kasih sayang di hati aku dan Farah Hanna, semua yang kami rasakan waktu ini, masih sama.

 

“Farah, Dah nak malam ni. Kau nak makan apa?”

“Aku apa-apa pon OK. Tom Yam would be great. Kau ada cadangan?”

“Dari sini kita boleh g Dataran Merdeka. Kita makan kat Benteng, OK tak? Ke kau nak makan kat hotel?”

“Hey, jangan mengada-ngadala. Makan kat hotel belum tentu lagi sedap dari makan kat tepi jalan.”

Aku suka dengan sikap dia yang sederhana dan bersahaja. Farah tak pernah meninggi diri. Dengan apa yang dia ada, latar belakang keluarganya, dia bukan seorang yang suka membanggakan diri, berlebih-lebihan apalagi menunjuk-nunjuk. Ini menambahkan rasa hormat dan kagum aku terhadap dia, menguatkan lagi cinta dan kasih sayang aku kepadanya. Dan aku mahu gadis ini selalu mencintai aku.

 

“Kita ambil teksi la.” Sengaja aku menduga lagi.

“Tak nak. Aku nak jalan. Bukan jauh pun.”

“Kau penat, sayang. Aku tak nak kaki kau sakit, bengkak nanti.”

“Kaki kau pon boleh sakit, boleh bengkak. Kaki bengkak boleh surut, sakit boleh diubat. Nikmat tu yang padat.”

“OK la, sayang. Apa je kau nak, aku ikut.”

“Kalau aku tak larat nanti, kau dukung aku, ye?”

“Hahaha... sekarang nak mintak kita dukung dia pulak.”

“Hmm, ye la. Kau cakap tadi, apa je yang aku nak, betul?”

Aku angguk, mengiakan kata-katanya. Peluh di dahi Farah kukesat lagi.

 

“Cantik tugu ni, kan?”

“Kau lagi cantik. Makin cantik bila berpeluh macam ni.”

“Tugu ni simbol kekuatan dan keberanian.” Sambungku.

“Betul, lambang keberanian, pengorbanan, satu padu, kekuatan. Macam kita. Kita pon boleh bina tugu.”

“Kita tengah bina tugu dalam hati kita.”

"Kau memang selalu ada kata-kata yang indah."

"Aku nak bina tugu yang kukuh."

“Biar aku tolong kau angkut semua batu.”

 

Mata kami bertentangan lagi dan seketika kemudian, sama-sama kami alihkan pandangan ke arah tugu yang kelihatan begitu teguh dan bersemangat mengibar bendera Malaysia.

 

“Negara ni dijajah, penjajah demi penjajah. Aku teringat, aku penah baca Sir Stamford Raffles kata, Melayu adalah satu bangsa, satu bahasa, memelihara karektor dan adat budaya... hmm lebih kurang camtu la.”

“Di semua negeri maritim yang terletak antara Laut Sulu dan Lautan Selatan.” Tambahku.

"Yes, exactly that."

“Aku bangga jadi anak melayu. Budaya kita, bahasa kita, adat kita. Cantik.”

“Aku pun sama.”

“Kau memang cantik.”

“Tak, maksud aku, aku pun bangga jadi anak melayu.”

“Ha ha... tapi kau celup banyak sangat, Farah.”

“Jiwa tu yang penting, betul?”

“Betul sangat. Tak ada jiwa, tak adala rasa. Tak ada rasa tak adalah kasih sayang, tak adalah cinta.”

“Macam mana agaknya dunia ni kalau tak ada cinta, erk?”

“Kaku. Macam yang banyak berlaku kat mana-mana. Perang sana sini. Kezaliman, pembunuhan, penganiayaan.”

“Sedangkan haiwan pon hidup dengan asas ni.”

“Kadang-kadang haiwan lebih berperasaan dari manusia.”

Love is a beautiful thing, a precious gift from our Lord. Tapi sayang, ada yang mensia-siakan anugerah ni.”

 

Aku bangun lalu kuhulurkan tanganku kepadanya. Dia mencapai tangan aku dan kami berdiri muka ke muka.

“Definitely. And I won't stay in a world without love.”

"Aku setuju, nyanyikan aku lagu tu, sayang."

Permintaannya aku tunaikan lagi dan aku pun menyanyikan lagu itu ke telinganya.

“You are my loneliness, a place I love to hide, the love I live in.”


Kami memberi tabik hormat tanda penghargaan kepada prajurit-prajurit yang berkorban demi kemerdekaan negara, sebelum perjalanan kami teruskan.

 

Untuk memperjuangkan sesuatu, sesuatu perlu dikorbankan. Inilah realiti. Kata-kata Farah bila aku mempersoalkan cintanya tadi terkesan di hatiku, menyemarakkan semangat yang semakin merah dalam dada ini.

 

*****

 

Tom Yam campur, telur dadar, ayam masak halia, daging merah dan kailan ikan masin memang selalu menjadi pilihan kami. Lama kami duduk makan malam di Benteng. Rezeki dan bunyi kami hayati bersama rasa terima kasih. Untuk masa, kesempatan, udara, tubuh badan, akal fikiran, sendi-sendi, saraf dan deria. Untuk kasih sayang. Untuk segalanya-segalanya. Terima kasih untuk Yang Mencipta.

 

“Sempat lagi nak kejar last bus ni.”

“Ada masa lagi kita jalan-jalan. Pas makan ni kita lepak dataran. Malam minggu, aku nak tengok street racer.”

“Ha ah, lupa lak aku, malam ni malam minggu. Banyak aktiviti manusia kat KL ni.”

“Kalau kita naik motor semalam, kita pun boleh race sama.”

“Ah, aku tak buat tu. Kalau aku buat pun, aku buat sorang. Kau tak leh ikut. Bahaya.”

“Ala, aku nak ikut jugak.” Farah menghirup limau ais yang dia pesan buat kali ke dua. Aku ketawa melihat telatahnya.

“Mana ada orang race bawak awek la sayang oiii...”

“Orang tak buat, kita buat. Kita kan unik.”

Tisu di meja aku capai, lalu aku kesatkan mulutnya yang tercalit sedikit sos cili.

“Comot, makan macam budak-budak.”

Kami gelak.

 

Dua puluh minit selepas sebelas. Aku dan kekasihku masih duduk bersantai di Dataran Merdeka, di antara manusia-manusia lain. Yang berpasangan, yang bersama keluarga, yang bersendirian, yang lebih selesa menghabiskan waktu bersama teman-teman. Berpeleseran dengan Farah seperti itu cukup melengkapi jiwa aku.

 

Di dalam kebisingan bandaraya, antara deruman enjin motosikal dan kereta, bersama selang seli manusia-manusia yang melintasi kami, aku utarakan fikiranku kepada Farah tentang masa depan.

 

“Kau rasa, camne agaknya rupa KL dan manusia-manusia dia, dalam tempoh 20 tahun akan datang?”

“Semakin banyak pembangunan. Makin sesak, makin banyak pencemaran. Aku rasa makin banyak pendatang dan makin banyak kemaksiatan, korupsi, jenayah, bla, bla, bla...”

Ketawa besar aku mendengar jawapan Farah.

“Kau tak fikir macam tu?”

“Dari apa yang kita nampak sekarang ni, dah cukup membuktikan semua tu. Cuma aku berharap yang lain.”

“Tell me.”

“Aku harap tempat ni akan kekal macam ni.”

“Dan kita akan ke sini lagi. Kekal macam ni.” Dia selalu tau untuk membalas kata-kata aku dengan perkataan bijak. Tak dapat aku tahan diri dari membawa dia ke dalam pelukanku. Dahinya aku kucup supaya dia rasa apa yang aku rasa.


“Aku harap negara ni akan menjadi lebih baik, lebih damai dan lebih dihormati. Kemajuan selari dengan ekonomi, pembangunan tak merosakkan ekosistem. Adat dan budaya dipertingkatkan, nilai-nilai murni tak diketepikan. Kemiskinan berkurangan. Kasih sayang diterapkan dalam jiwa, untuk bangsa, negara, keluarga, sesama manusia tanpa mengira status, agama, kulit dan keturunan. Terbukanya peluang-peluang dan kehidupan yang lebih baik untuk kanak-kanak kerana merekalah masa depan. Tapi lumrah manusia, bila dorang dapat satu dorang nak dua. Dapat dua dorang nak tiga. Dah dapat tiga, nak semua.”


“Kita mungkin tak dapat selamatkan dunia, negara ni. Tapi kita boleh tolong apa yang mampu.”

“Betul tu. Sekecil-kecil pemberian adalah sebesar-besar kenikmatan bagi yang memerlukan.”

 

Bendera yang berkibar megah tiba-tiba kelihat lesu dipandanganku. Suram dan kelam di bawah langit malam, sedangkan di bawahnya, dia menyaksikan peristiwa-peristiwa manusia, termasuklah cerita aku dan dia.

 

“Jangan fikirkan sangat.” Farah menepuk pehaku, mengejutkan aku yang lama mendongak merenung bendera.

“Diri kita dulu.”

“Maksud?”

“Aku tak nak terlepas satu saat pon dengan engkau.”

“Define.”

“Aku tak nak sia-siakan pertemuan kita.”

“Lagi?”

“Kita mengembara bersama.”

“Detail?”

“Sama-sama saksikan kehidupan ni. Love is all we need.”

“Make it clear.”

“We are the ones who make a brighter day, so lets start giving.” Lebar senyuman Farah, mengerti maksud aku.

“There's a choice we're making, we're saving our own lives.” Bisiknya ke telingaku. Antara rasa terharu dan pilu, bahagia dan terima kasih, kupeluk tubuh Farahku erat-erat di bawah kibaran Jalur Gemilang berbumbungkan langit malam yang cerah berbintang.

“It's true, we'll make a better day just you and me.”

“Let me hear it.”

“Be my wife, tonight, for all eternity.”

 

*****

 

“Aku seronok sangat.”

“Tak penat?”

“Penat, memang penat. Seharian kita berjalan, maunya tak penat. Tapi seronok. Satu hari nanti, kita akan kenang semua ni. Remaja tak akan datang lagi, Ray. Waktu ini untuk sama-sama kita lukis dan lagukan nanti.”

 

Aku akui kebenaran dalam kata-katanya. Remaja ini satu eksplorasi, satu ekspidisi, satu pemerhatian, bukan satu permainan. Merintis jalan dalam merangka masa depan, membinanya perlu asas yang kukuh. Dua tahun asas itu telah sama-sama kami siapkan, waktunya dah tiba untuk fasa ke dua.

 

Kami berbual tentang perkara-perkara. Ada yang lucu, yang sedih mengusik hati. Tentang dunia yang semakin rosak akibat kejahilan dan kerakusan manusia. Tentang masa depan yang mau dibina.

Bersama dia, waktu seakan tak wujud.

Penat duduk, kami berjalan lagi, menyusuri setiap lorong sunyi dan jalan di bandaraya yang tak pernah lengang dengan kesibukan manusia yang tak henti-henti dengan urusan masing-masing. Mencari rezeki, halal dan haram. Ada yang menjual nasi di warung-warung kaki lima. Ada yang menjaja diri di celahan lorong-lorong hina. Ada yang mencari Tuhan di masjid-masjid sunyi. Ada yang hilang pertimbangan menyuntik ubat ilusi di laluan gelap dan sepi. Kami menyaksikan itu, satu persatu, membincangkannya. Menginsafinya.


“Satu hari nanti, aku nak lawat semua tempat, yang lagi kotor dari ni,” kata Farah sewaktu kami melintasi tempat letak kereta di belakang bangunan usang, di celah-celah pencakar langit yang menggariskan manusia. Untuk seketika, kami berdiri, memerhati ruang. Memandang ke depan, mendongak ke atas. Mereka sama, tapi tak serupa.


Di atas sana, ada manusia menyanyi, menari gembira, bergelak ketawa sambil menghentak gelas, memercik warna-warna merah, hitam, putih dan emas. Lelaki perempuan, bercampur aduk, tak kira bangsa, tak kira agama. Dihanyut kealpaan, selimut pun terbuka satu persatu. Kewarasan tak ditimbangi lagi. Siapa yang peduli?


"Dunia kita punya!!!" Kedengaran jeritan angkuh. Gelas bertukar gelas menjadi khayalan ciptaan manusia-manusia mabuk mengejar dunia. Mengganti maruah dengan kertas; Sekeping kertas yang ada harga. Rela dengan senyuman, si perempuan dipapah masuk ke bilik-bilik hotel mewah. Merebahkan tubuh untuk lelaki-lelaki yang hilang maruah.

 

“Aku mampu beli dunia. Kata je apa kau nak, aku ada semua.” Manusia ketawa lagi, senang hati. Penghawa dingin menyejukkan bahang malam yang hangat. Lampu semakin malap. Bilik pun bertambah gelap. Ada yang melihat, mendengar dan memerhati, tapi mereka tak sedar. Atau mereka tak tahu, atau mereka memang tak ambil tau, tak peduli. Teman di kiri dan di kanan menjadi saksi, sibuk menulis tiap perbuatan dan pergerakan.

 

Di lorong gelap, di hadapan kami, perempuan-perempuan yang kurang sempurna solekan, tulen, palsu, berlumba-lumba mencari teman sejam dua buat melepas belanja sehari. Untuk diri sendiri, mungkin juga untuk dikongsi dengan anak-anak dan lelaki yang disimpan di lorong lain... Derita hidup yang terpaksa  diredah, siapa yang tau? Bersaing sesama sendiri untuk mendapat pelanggan, otakku ligat memikirkan kisah mereka.


Sampai bila? Sampai muda dimamah tua? Sampai teguh menjadi rapuh? Sampai bahagia direnggut lara, sampai harta bertukar debu? Sampai nafas berganti sendu? Sampai dosa memapah pahala?


“Aku sedih tengok kejahilan ni, kesesatan ni... Sebak hati aku. Mengapa diaorang sanggup jadi macam ni? Terpaksa ke? Rela hati ke?"

Kekasihku diam tak menjawab. Aku tau dia berfikir.

 

Seorang pelacur tua yang tak kami tahu apa jantina sebenar melambai-lambai ke arah sebuah kereta yang perlahan-lahan menghampiri tempat mereka berdiri menunggu rezeki.

 

“80.” Dia menawarkan harga.

“Malah sangat tu. Kurang 20?”

“Extra service.”

 

Kami saling berpandangan... aku tarik tangan Farah, kuat aku simpul dalam genggaman. Risau aku bawak Farah berlama-lama kat tempat macam tu. Leka menyaksikan sandiwara dunia, aku terlupa tentang keselamatan kami berdua.

 

“Jangan risau, Ray. Selagi kita bersama, dengan izin Tuhan, tak ada yang dapat kalahkan kita.” Laju kami mengatur langkah, meninggalkan tempat yang busuk dengan segala kemaksiatan itu. Terharu rasa hati, hanya Tuhan yang tau.

“Inilah realiti hidup. Kita tak kan tau kalau kita tak berani tengok.”

Farah menggosok-gosok bahu aku. Dia tahu hati aku mudah terusik dengan hal-hal yang sedemikian. Hatinya terusik sama, aku cukup maklum. Dari matanya aku nampak pilu.

 

Jauh meninggalkan ruangan tersebut, kami akhirnya berhenti di sebuah warung usang yang malap, tersepit di antara rumah haram yang dibina di celah-celap rumah pangsa. Jalan berdebu dan berlopak. Masih ada lagi tempat begini di balik Pembangunan megah kotaraya.

 

“Kita try, OK.” Aku setuju dengan cadangan Farah.

Dua cawan kopi O panas kami pesan.

“Kau lapar?”

“Maggi goreng, kita kongsi?”

 

Dia mengangguk. Sepinggan maggi goreng kami nikmati dengan penuh kesyukuran. Bukan kerana lapar, tapi kerana mahu mencuba. Makan malam di Benteng tadi masih memenuh perut kami. Kopi O bagaimanapun menyegarkan mata, itu memang kami perlukan. Malam masih panjang. Bila bersama, kami tak pernah kering idea. Kami berbual-bual kosong sambil memerhati sekeliling. Warung itu serba kekurangan. Dibina dari papan lapis menjadi tempat menyimpan barang-barang dan dapur kecil. 

Aku tak pasti dari mana datangnya sumber air tapi bekalan lektrik dari generator kecil yang bising jelas kedengaran. Seorang wanita lewat 50 tahun, kurus, sibuk mengemas sana dan sini. Kulitnya gelap, kesan bahang matahari. Seorang lelaki, pasti suaminya, kelihatan lebih uzur. Mungkin berusia sekitar 60 tahun, aku tak pasti. Rambutnya putih penuh beruban. Kurus, seperti isterinya juga.

 

“Anak berdua baru sampai KL ke? Malam-malam ni dengan beg, nak pegi mana?” Ramah lelaki itu bertanya. Hanya aku dan Farah pelanggan jam dua pagi mereka.

“Tak pakcik, kami sengaja cari angin. Terlepas bas nak balik Shah Alam tadi. Jalan-jalan sambil tunggu pagi.” Alasan aku berikan. Lelaki itu mengangguk.

“Cukup ke maggi goreng sepinggan kongsi berdua?” Sampuk isterinya sambil tersenyum kepada kami.

“Kalau tak cukup, kami order lagi." Jawabku. Senyuman aku sedekahkan, lalu mereka berdua pun membiarkan aku dan Farah menjamu selera, sepinggan maggi goreng dan dua cawan kopi O panas.

 

“Sayang, kau rasa kat mana diorang tinggal?” Tanya Farah, berbisik kepadaku.

Aku angkat bahu, “mungkin dekat-dekat sini. Kat kawasan setinggan ni atau kat rumah flat tu.”

Kulihat mata Farah memerhatikan sini sana, satu persatu.

“Aku nak kencingla...” Farah ketawa. Jelas lesung pipitnya menambahkan seri wajah ayu gadisku. Aku pun bangun, melihat-lihat, kalau-kalau ada stesen minyak terdekat.

“Shell terdekat aku nampak tadi dah jauh dari sini, tadi kita lalu kat situ, sekarang baru kau nak terkucil.” Farah mengejek aku.

“Kau nak patah balik sana ke?”

“Jap sayang, Biar aku tanya pakcik tu kalau aku boleh tumpang tandas dia orang.”

 

“Kat belakang sana, gunalah. Hati-hati, gelap sikit belakang tu,” jelas si isteri. Aku pun berjalan ke arah yang ditunjukkan. Gelap. Hanya lampu jalan yang membekalkan sedikit cahaya samar. Pintu yang diperbuat dari zink aku tolak. Berkeriut bunyinya. Bilik air itu kecil, tak berbumbung. 

Aku mendongak ke atas. Langit hitam, terlindung oleh pohon-pohon. Ada sebuah pintu lain di sebelah kiri bilik air tersebut yang menghubungkan satu ruang. Rasa ingin tau mendorong aku menolak daun pintu, perlahan-lahan. Sebiji pelita malap yang lebih banyak mengeluarkan jelaga dari cahaya menerangi ruangan tersebut, mengizinkan aku menyaksikan apa yang menghuni bilik kecil itu.

 

“Kat sini dorang tidur...” Hati kecilku berbisik. Pedih bukan kepalang. Tilam nipis bersama bantal-bantal buruk dan kain selimut terlipat rapi di situ. Ada seorang anak kecil, lingkungan 6 tahun sedang tidur lena, berselimut kain pelikat. Di sebelahnya ada sebuah buku tulis dan sebatang pensil. Tak sempat aku melihat lebih jelas, kedengaran bunyi tapak kaki, memaksa aku meningalkan ruangan yang usang itu, menyelinap kembali ke bilik air dan seterusnya kembali ke meja makan.

 

Farah mengangkat kening. “Lama,” katanya.

Aku diam, soalannya kubiarkan tak berjawab. Sebenarnya tekak aku pedih dari apa yang aku lihat tadi. Mungkin Farah melihat pantulannya di wajahku.

“Kopi lagi, sayang? Aku nak order nasik goreng, lapar pulak dah makin pagi ni.”

Dia mengangguk.

“Nanti cerita kat aku.” Dia tahu, dalam fikiranku, ada yang mengganggu.

 

Sepinggan nasi goreng kampung kami kongsikan lagi bersama dua cawan kopi O.

“Kalaulah aku orang kaya...”

“Kita boleh bantu apa yang kita mampu, jangan risau, sayang.”

 

“Tak ramai pelanggan pagi-pagi macam ni. Biasanya budak-budak motor je. Tapi malam ni sunyi, malam minggu dia orang suka lumba haram.” Kata pakcik pemilik kedai menjawab pertanyaan kami.

“Bukak sampai sarapan. Tu makcik tengah sibuk sediakan barang-barang untuk meniaga pagi esok. Nasi lemak, mee goreng, bee hoon goreng. Kuih-kuih sikit, sekadar yang termampu. Lepas jualan, kami tutup kedai. Petang nanti bukak balik, pukul 5. Camnilah nak, nak teruskan hidup kat bandar besar ni.”Sayu nada lelaki tersebut. Kulihat matanya sayup memandang masa depan. Aku tahan hati untuk bertanya lebih lanjut, walaupun keinginan membuak-buak untuk mengetahui sedalamnya tentang kehidupan mereka.

 

“7.40 ringgit nak. 7 ringgit dahlah.” Jawab lelaki itu bila kami mahu membuat bayaran. Sehelai nota merah bertukar tangan. Tergesa-gesa lelaki tersebut mencari baki.

“Pakcik, tak payah tukar. Simpan lebihnya.”

“Oh, terima kasih banyak nak. Terima kasih. Semoga Tuhan membalas budi baik kamu berdua. Jaga diri.”

Kami akhirnya meninggalkan warung tersebut selepas mengucap salam. Antara piring dan cawan kopi, kami selitkan sekeping nota 50 ringgit.

 

“Aku tak pernah sampai sini.”

“Dengan engkau, semuanya first time.”

“Macam yang kau cakap siang tadi Farah, bila kita berjalan, lebih luas pandangan kita, lebih fokus, lebih peka.”

“Belajar dari alam, belajar dari pengalaman.” Dia memetik kata-kataku. Kami berjalan dan terus berjalan mengikut langkah kaki. Kesian Farah. Macam aku, dia juga kelihatan penat benar.

 

“Kita ambil teksi g stesen keretapi? Esok boleh naik komuter je. Aku tak nak kaki kau bengkak nanti,” cadangan yang sama aku ajukan tapi kali ini aku benar-benar maksudkannya.

Farah menyelak rambutku yang terjuntai jatuh di dahi berserta senyumannya yang indah.

“Tak sayang... Dengan kau aku tak pernah penat. Kalau kaki aku bengkak, kau dukung aku kat bahu kau,” jawabnya. Pipiku dikucup dengan keihklasan, penuh rela. Penuh rasa kasih dengan limpahan sayang.

 

Kami terus berjalan hingga akhirnya sampai ke Tasik Titiwangsa. Badan semakin letih, namun kehadiran dia di sisiku telah menghapus keletihan itu. Ada beberapa jam lagi sebelum subuh tiba. Aku dan dia merancang untuk mengambil bas pertama selepas sarapan pagi.

 

"Jom, tengok air sambil tengok langit." Farah tarik tangan aku. Diheretnya aku ke bawah sepohon pokok depan tasik. Beg galas warna hijau gelap aku lucutkan dari bahunya lalu sebotol air mineral aku keluarkan. Botol 1.5 liter itu bertukar tangan sebelum diserahkan kembali kepadaku untuk dikongsi bersama.

So, apa yang kau nampak tadi?” Farah mengemaskan duduknya dengan kaki melunjur dan badan disandarkan ke pokok. Dia tak pernah lupa apa yang ada di wajahku, sebagaimana dia selalu ingat setiap apa yang kami ucapkan.

“Gelap. Tandas tu kecik tak de bumbung. Lantai licin. Tapi aku nampak lebih dari tu.” Sekilas aku pandang wajah Farah yang tak jemu memandang aku. Kemudian aku baringkan badanku di atas rumput, berbantalkan pehanya. Dia mengusap-ngusap rambutku. Mataku merenung langit malam yang cerah berbintang. Indah dan damai aku rasakan hidup ini. Kasih sayang terasa memenuhi hati. Tangan Farah kuambil lalu aku cium. Kuletakkan ke dadaku, biar dia merasakan degupan jantung aku yang kukuh  mencintainya.

 

“Aku nampak ada pintu, aku pun tolak. Kat belakang pintu tu ada bilik kecik. Ada sorang budak umur dalam 6 tahun tengah tido. Tido pakai pelita. Tilam nipis. Bantal buruk. Kain pelikat. Selimut nipis. Aku rasa diorang tinggal kat situ atau bermalam kat situ sebab nak bukak kedai awal pagi... entahlah...”

“Ohhh.....” Farah kehilangan kata-kata.

“Mungkin anak, mungkin cucu dorang. Ada buku. Aku nampak ada beg sekolah, baju sekolah tergantung kat dinding plywood. Gelap, aku tak nampak semua.” Aku mematikan kata-kata. Kedengaran Farah mengeluh perlahan. Dia mengambil tangannya dari dadaku dan perlahan dia bersuara, "dalam usia macam tu diorang masih mencuba untuk survive. Biarpun tak menjanjikan sesuatu yang besar, tapi mereka tak mengalah dengan kemiskinan.”

Kulihat Farahku mengesat airmata. Lalu aku bangun dan duduk, sapu tangan yang aku gunakan untuk mengesat peluhnya siang tadi aku keluarkan dari poket seluar, untuk menyapu airmatanya. Tak terasa airmataku jatuh sama.

Kami memandang ke langit.

“Maha Suci Tuhan.”

“Sesungguhnya Kaulah pencipta seluruh alam, yang pengasih lagi penyayang. Hanya padaMulah tersimpannya semua jawapan untuk setiap rahsia.” Aku duduk di sisinya. Kami menadah muka di bawah langit malam, membiarkan angin menyentuh kulit.

“Tuhan, janganlah kau jadikan kami antara orang-orang yang terlupa pada kesakitan sesudah Engkau menganugerahkan nikmat-nikmat yang baik kepada kami dan bantulah kami agar tidak tersesat dalam perjalanan. Ameen.”

“Ameen.”

 

*****


Jalur putih pertama kelihatan jelas dihening langit. Damainya indah cahaya subuh, sama-sama kami hayati. Nikmat yg diberi, kami syukuri.

 

Bersama alam yang indah, burung-burung  berlagu gembira, turut mengucapkan selamat pagi. Kami pun mula mengatur langkah berpandukan gema alam. Arah itu pasti. Salam pun diberi, kanan dan kiri.

 

“Sayang, aku lapar.” Farah merangkul lenganku. Matanya nampak letih benar selepas semalam yang panjang.

“Nasik lemak, kopi O, amacam?” Kupimpin tangannya menuju ke arah warung terdekat.

“Pilihan terbaik kita.”

 

Warung malam tadi menjadi pilihan kami untuk menikmati hidangan pertama di hari yang baru. Kali ini dua pinggan nasi lemak bersama dua cawan kopi O.

“Pagi ni pakcik dan makcik belanja sarapan.” Kami disambut mesra oleh kedua pemilik kedai.

Gembira wajah Farah berkongsi waktu bersama aku yang serba tiada. Wajah gembira itu membahagiakan aku, mendamaikan resahku.

Hati ini tak putus memanjat syukur kepada Yang Maha Esa kerana menganugerahkan aku seorang gadis yang begitu sempurna. Cinta yang semakin mendalam, tanpa lafaz janji, semakin kuat tersimpul di hati. Cinta yang mampu membuat aku menangis dan ketawa di masa yang sama.

 

“Tuhan, lindungilah kami. Restuilah kami dalam mencari redhaMu di bumi ini sebagai bekalan di kehidupan yang lain.” Doa aku bisikkan dalam renungan sinar mata Farah Hanna yang bercahaya.

 

Inilah rencana Tuhan, tak siapa dapat menghentikannya, tak siapa dapat mempercepatkan masa dan tak siapa faham tentang rahsia-rahsianya. Hukuman ciptaan manusia yang mendesak aku berhijrah ternyata tidak lain hanyalah kerana ada tangan ajaib yang mau memimpin aku untuk bertemu dengan cahaya hatiku. Sesuatu yang lebih baik, yang begitu istimewa, yang membawa makna sangat besar dan tak ternilai harganya dalam hidupku. Manusia boleh menghukum. Mereka boleh menyiksa dan menganiaya dengan kekuasaan yang mereka ada. Malah lebih menyedihkan lagi bila mereka sanggup menggunakan nama Tuhan dan Nabi dalam melaksanakan hukuman-hukuman yang mereka tulis sendiri. Hukumlah. Hukumlah sesuka hati, namun satu yang tak mungkin mampu mereka nafikan adalah hikmah Tuhan Yang Satu. Mampukah mereka menghurai setiap kejadian dan mentafsir hikmah Pencipta dalam menghadiahkan kenikmatan antara hukuman-hukuman mereka dan juga rahmat dariNya? Keajaiban-keajaiban tersebut, ianya hanya akan terpantul pada kepekaan jiwa. Dari rasa mereka melihat. Dalam melihat, mereka mengamati, dalam mengamati mereka berfikir. Untuk manusia-manusia yang mahu mencari, pasti ada jawapan untuk setiap pergolakan. Dan Tuhan telah menjawab semua pertanyaan-pertanyaan yang tak pernah aku persoalkan.

 

“Dalam bas nanti mesti kita tertido.”

“Aku nak tido atas bahu kau.”

“Lengan aku ni, Farah... dicipta untuk membantalkan tido engkau. Kat mana je. Bila-bila masa pun.”

“Sampai bila-bila?”

“Sampai matahari hilang cahaya.” Kubisikkan hasrat hatiku ke mata Farah Hanna.

“I love you.” Matanya berkaca.

“I love you, too.” Dan kaca itu terpecah di mataku.

 

Jam tujuh pagi. Lalu lintas di pagi Ahad tak sesibuk hari-hari biasa. Aku tak mahu hari ini berakhir, di masa yang sama aku tak sabar untuk pulang ke rumah kerana seharian semalam, telah aku rencanakan sesuatu yang kukuh untuk masa depan kami. Niat suci dari hatiku yang paling dalam ingin aku sampaikan. Niat untuk membawanya menempuh satu pengembaraan yang pasti saja mencabar, dalam satu perjalanan yang lebih panjang, tanpa garis penamat. Aku pasti dia selalu menantikan detik itu. Bukan sekali dua dia melagukan lukisan hatinya, biar dalam gurauan yang terselit kenyataan mahupun dalam kepastian yang diserikan dengan gurau senda.


“Bus Stand Klang jauh jugak dari sini. Naik teksi, bas mini ke nak jalan kaki?” Soalan yang telah aku pasti akan jawapannya sengaja aku tanyakan lagi.


Tanganku dia ambil. Kuat genggaman tangan Farah Hanna memadatkan perasaan antara kami. Bersama tiap denyut nadi yang berdetak seirama, kasih sayang dalam hati pun terus menjalar-jalar.


 “Jalan.” Tegas jawapannya, mengerling sepintas ke wajahku. Kerlingan yang meninggalkan kesan cinta yang berbekas di hati, terpantul hingga ke sanubari. Masa, jarak, kesulitan, ujian, tak akan mampu memadam kesan itu. Meskipun dicuba dengan berbagai dugaan dari setiap sudut, ternyata kesucian sebuah cinta tak akan bisa dikalahkan bila hati saling mengerti dan menghargai.


Di situlah permulaan yang telah dimulakan lama dulu, sesuatu yang tak pernah terlintas di fikiran, berlaku tanpa disedari. Satu pengembaraan, pencarian, kenikmatan. Dan perjalanan itu kami teruskan dengan yakin, berpandukan satu arah yang cukup pasti. Tanpa lelah. Tanpa henti.


"The whole of science is nothing more than a refinement of everyday thinking."


Tags

#buttons=(Accept!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Ok, Go it!