DI SATU RASA


Terabai lesu dan usang
Tapi masih lagi kuat berdiri 
Warna memudar dimamah matahari
Dibasuh hujan,
Di situ tersimpan sejuta rahsia.

Empat penjuru 
tempat sembunyikan semua rasa
dinding tercakar dengan tulisan
1, 2, 3...
mengira. 
malam lebih gelap dari hitam
langit seakan menghempap dada.
siang tak tertembus cahaya
semuanya diam.
yang terdengar hanyalah nafas sendiri

Di satu rasa, dia mahu kekal di situ
tapi di satu rasa yang lain
dia mahu keluar melihat langit.

Di satu rasa, nikmati hidup yang berlalu
di satu rasa yang lain
dia mahu berhenti mengira waktu.

Yang ada hanyalah
dinding tercakar, untuk esok
untuk difahami oleh seseorang 
yang telah menghantarnya ke sini. 


DI SATU RASA DI SATU RASA Reviewed by Ray FL on Tuesday, May 27, 2014 Rating: 5
Powered by Blogger.